Syarifah Dayana Syed Bakri


"Omicron lah pula."

Mungkin itulah kata-kata sebahagian besar daripada kita selepas membaca laporan berkaitan penemuan varian baharu Covid-19 yang dikenali sebagai Omicron.

Menginjak ke bulan Disember, maka genaplah dua tahun Covid-19 wujud dalam kehidupan penduduk dunia. Dalam tempoh ini, kita hadapi emosi bercampur-baur.

Panik, tenang, panik, tenang dan kini panik semula.

Selepas sebahagian besar penduduk dunia mula menerima vaksin, banyak negara mula melonggarkan sekatan dan membuka sempadan antarabangsa secara berperingkat.

Bagi umat Islam, berita pembukaan semula Makkah dan kebenaran melaksanakan ibadat umrah menjadi berita yang melegakan. Malah, di Masjidil Haram juga, jemaah dibenarkan solat tanpa perlu melakukan penjarakan.

Namun, ketenangan ini tidak lama apabila kita dikejutkan dengan kemunculan varian Omicron pula.

Sebelum ini, varian Covid-19 yang muncul diberi nama bermula dari Alpha, Beta, Gamma dan Delta dengan varian Delta turut bercambah ke Delta Plus.

Kemunculan varian Delta menjadi titik tolak huru-hara global apabila ia menyebabkan lonjakan kes dengan beberapa siri gelombang jangkitan.

Malah, Delta muncul di saat pemberian vaksin masih di peringkat awal dan belum menyeluruh.

Selepas Delta, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut mengumumkan kemunculan varian Lambda dan Mu. Bagaimanapun, kedua-dua varian berkenaan dilihat lebih terkawal dan tiada sebarang sekatan besar-besaran dilaksanakan.

Ia berbeza dengan Omicron apabila banyak negara mula mengambil langkah drastik dengan menghentikan penerbangan dari negara Afrika selepas ia mula dilaporkan.

AFP melaporkan, Afrika Selatan kesal dengan 'hukuman' yang diterima selepas berjaya mengesan varian Covid-19 baharu Omicron.

Menurut kementerian luar, tindakan beberapa negara di seluruh dunia untuk mengharamkan penerbangan dari Afrika Selatan berikutan penemuan varian itu sama seperti menghukum Afrika Selatan kerana penjujukan genomik lanjutannya dan keupayaan untuk mengesan varian baharu dengan lebih cepat.

Sedangkan varian berkenaan dikatakan sudah berada di Eropah sebelum kes pertama dilaporkan di Afrika Selatan.

WHO berkata, larangan perjalanan berisiko itu mendatangkan lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan. Ini kerana tahap bahaya Omicron masih belum dikenal pasti.

Ketika ini, saintis sedang berusaha gigih untuk menentukan tahap ancaman yang ditimbulkan varian baharu itu.

Berdasarkan laporan AFP, seorang doktor di Afrika Selatan berkata, berpuluh-puluh pesakitnya yang disyaki positif jangkitan Omicron hanya menunjukkan gejala ringan seperti keletihan.

Pengerusi Persatuan Perubatan Afrika Selatan, Angelique Coetzee, memberitahu AFP bahawa dia melihat 30 pesakit dalam tempoh 10 hari lalu yang diuji positif untuk Covid-19 pulih sepenuhnya tanpa dimasukkan ke hospital.

Coetzee berkata, adalah malang bahawa Omicron disifatkan sebagai varian yang sangat berbahaya kerana tahap keganasannya masih tidak diketahui.

Malaysia turut mengikut jejak langkah negara lain dengan melarang kemasukan dari beberapa negara Afrika. Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, kewujudan pelbagai varian ini berlaku kerana sifat semula jadi virus itu yang menyesuaikan diri mengikut keadaan yang mencetuskan pelbagai bentuk varian baharu daripada virus Covid-19 ini.

Katanya, pelaksanaan larangan sementara kemasukan untuk beberapa negara adalah pendekatan proaktif bagi mengelakkan wujud kluster baharu membabitkan varian Omicron ini.

Sebagai orang awam, kita perlu mengikut saranan mereka yang ahli dalam bidang ini. Jangan abaikan langkah keselamatan diri walaupun sudah menerima dua dos vaksin.

Bagi mereka yang belum mendapatkan vaksin, inilah masa terbaik berbuat demikian. Usahlah dengar cakap-cakap orang yang bukan ahli. Kereta kita bermasalah, kita rujuk ke mekanik. Mengapa dalam hal berkaitan vaksin, kita rujuk kepada penjual basikal?

Jika sudah tiba masa dapatkan dos penggalak, janganlah mengelak. Itulah usaha kita untuk menyumbang kepada kemaslahatan umat.

Mereka yang tidak terbabit dalam bidang sains atau kesihatan awam memang sukar memahami mengapa Covid-19 ini terlalu degil hingga muncul pelbagai varian.

Namun, usahlah kita bersangka-sangka pihak berkuasa sengaja membiarkan virus ini membiak hanya kerana nak lariskan vaksin atau menyokong agenda syarikat farmaseutikal pula.

Rujuk dan dengar sajalah saranan pakar. Semoga Allah permudahkan urusan kita semua menghadapi si Omicron.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 5:59 AM