GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
DSP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

KETIKA keluar dari bank selepas mengeluarkan wang daripada mesin juruwang automatik (ATM), kelihatan sekumpulan kanak-kanak berpakaian lusuh menghulur satu plastik karipap sambil di dalam beg disandang dapat dilihat bermacam-macam kuih-muih.

Sambil menghulur sebungkus karipap kepada penulis, dia berkata: "Uncle, ambiklah ini percuma daripada kami."

Penulis terkedu kehairanan bagaimana seorang budak yang tidak terurus hidupnya dan entah datang dari mana menghulur sebungkus karipap dan menyatakan ia adalah percuma.

Kerana kasihan, penulis menghulur RM10 tanpa mengambil kuih itu dan hanya berniat sedekah. Penulis kemudian ke kereta untuk menunggu seorang rakan yang masih berurusan di dalam bank sama.

Dalam masa 20 minit menunggu dalam kereta, penulis dapat melihat tidak kurang lapan individu menghulurkan wang sedekah kepada kanak-kanak terbabit tanpa mengambil karipap atau kuih percuma ditawarkan mereka.

Naluri sebagai polis digunakan untuk menyiasat apabila persoalan mula bermain di fikiran sama ada ia satu taktik atau sindiket mempergunakan kanak-kanak terbabit demi kepentingan mereka. Atau ia jalan pintas terkini untuk meraih simpati dan mendapat sumbangan.

Jika mereka mahu menjual kuih, sudah tentu tidak ramai orang yang berurusan di bank mahu membelinya dan berlalu begitu saja, tetapi apabila dikatakan percuma, orang akan memandangnya sebagai satu bentuk derma.

Maksud tersirat dalam situasi ini adalah meraih rasa kasihan dan orang ramai akan menderma secara ikhlas kepada mereka. Lagipun, jika mereka sekadar menadah tangan sahaja, mungkin simpati diraih tidak setinggi mana dan orang ramai akan berlalu pergi.

Rakyat Malaysia diakui sebagai masyarakat penyayang dan tidak kedekut untuk menghulur sedikit wang terutama kepada kanak-kanak, tetapi jika mereka dipergunakan sindiket untuk meraih keuntungan mudah, sudah pasti kita akan berasa marah.

Ini kerana, dapat dilihat di sudut lain, sebuah van bercermin gelap menurunkan lima lagi kanak-kanak seolah-olah berlaku pertukaran syif. Bayangkan jika dalam tempoh 20 minit mereka mampu meraih sekitar RM200, berapa pula pendapatan dalam sehari.

Sindiket ini bergerak meraih keuntungan ribuan ringgit sehari dan bagaimana nasib budak terbabit, ke mana mereka dibawa pergi dan apakah diberi makan minum yang cukup atau tempat tinggal yang baik. Wallahua'lam.

Persoalannya, bukan kita kedekut untuk menghulur bantuan atau sedekah kepada yang memerlukan atau tidak baik sekiranya kita mengungkit atau mempersoalkan duit diberi itu.

Sudah pasti, niat sedekah adalah kerana Allah sama ada untuk diri sendiri atau mewakili ibu bapa terutama orang tua yang sudah meninggal dunia. Mungkin ada berpendapat, usah ditanya ke mana duit kita pergi sebab kita sudah menunaikan tanggungjawab kerana Allah.

Cuma musykil dengan nasib kanak-kanak terbabit yang digunakan orang berkepentingan dan meraih keuntungan berganda-ganda dengan taktik seperti itu. Misalnya, budak yang bekerja hanya diberi makan sahaja, sedangkan taukenya menggunakan kereta mewah seperti Toyota Vellfire ke hulu ke hilir sambil berjoli dan mengeksplotasikan kanak-kanak terbabit.

Malang sungguh jika mereka menjadi mangsa eksploitasi tenaga kanak-kanak. Eksploitasi merujuk kepada penggunaan kanak-kanak dalam aktiviti membolehkan pihak lain mendapat faedah daripada segi kewangan, seksual, politik serta kepentingan lain yang boleh mengancam kesejahteraan fizikal dan psikologikal mahupun kelangsungan hidup kanak-kanak.

Manakala kanak-kanak pula didefinisikan sebagai seseorang di bawah umur 18 tahun seperti termaktub dalam Akta Kanak-Kanak 2001.

Eksploitasi menggunakan kanak-kanak banyak berlaku kebekelangan ini apabila seseorang kanak-kanak digunakan untuk mendapat keuntungan ekonomi. Ia termasuk memanfaatkan kanak-kanak menjadi pengemis, penjual kuih, pekerja seks komersial atau memanfaatkan mereka untuk melakukan hal lain demi populariti dan keuntungan ekonomi.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bekerjasama dengan polis bagi menangani isu kanak-kanak dieksploitasi untuk mengutip dana di tempat awam menerusi Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 32 akta itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali kepada mereka yang mengeksploitasi kanak-kanak untuk mendapatkan dana.

Ibu bapa atau penjaga kanak-kanak diselamatkan itu pula boleh dikenakan bon oleh mahkamah menurut Seksyen 30 akta sama bagi memastikan mereka tidak mengabaikan kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak terbabit.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memaklumkan kepada polis jika terdapat kes sedemikian dan tindakan akan diambil ke atas pihak mengeksploitasi kanak-kanak.

Satu perbincangan antara agensi perlu diadakan bagi mengadakan operasi bersepadu untuk pihak JKM menyelamatkan kanak-kanak terbabit manakala polis menahan, menyiasat dan mendakwa pihak yang mengeksplotasi mereka.

Memang Akta Kanak-Kanak mempunyai peruntukan untuk tindakan diambil, namun kita mempunyai kekangan sedia ada dan sedar wujudnya masalah dalam sistem itu.

Jadi, perbincangan semula dengan beberapa kementerian dan agensi termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu diadakan bagi memastikan akta itu dilihat semula.

Akta Orang Papa 1977 sudah ketinggalan zaman, satu lagi adalah Akta Pungutan Rumah ke Rumah dan di Jalan 1947. Ada kekurangan dalam sistem sekarang dan apabila operasi dibuat dan kanak-kanak diselamatkan, kebanyakan kes hanya mampu diberi amaran kepada mereka supaya tidak melakukannya sekali lagi.

Sebaliknya, mereka keluar semula ke jalan berlainan untuk kutip derma dan mempergunakan semula kanak-kanak untuk kepentingan individu tidak bertanggungjawab.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 5:59 AM