Norhayati Nordin

DIAM tak diam, kira-kira sebulan lagi kita akan melangkah ke tahun baharu 2022. Diharapkan ia akan membawa seri dan sinar yang lebih baik buat seluruh dunia.

Hampir dua tahun bergelut dengan penularan Covid-19 dalam negara, sukar untuk memastikan wabak 'pembunuh terbesar' ini akan berakhir sepenuhnya meskipun kebanyakan penduduk dunia sudah divaksinasi.

Ditambah kemunculan varian baharu Covid-19 dikenali Omicron yang berasal dari Afrika Selatan dan didakwa memiliki lebih banyak mutasi selepas disahkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini, situasi kembali membimbangkan.

Namun, yang pasti kehidupan tetap perlu diteruskan seperti biasa. Apatah lagi, di Malaysia kini sudah rancak dengan aktiviti ekonomi kembali dijalankan termasuk industri hiburan tempatan yang suram sebelum ini nampaknya sudah kembali bersinar.

Panggung berprestij negara iaitu Istana Budaya juga sudah dibuka untuk persembahan langsung kepada penonton yang lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Begitu juga pihak stesen televisyen juga tidak ketinggalan menerbitkan program baharu yang memberi peluang penonton datang menonton secara live dalam jumlah terhad ditetapkan mengikut keluasan dewan atau studio iaitu kira-kira 30 peratus daripada kapasiti asal.

Menariknya lagi, dengan kelonggaran mengikut protokol kesihatan dibenarkan kerajaan ini, panggung wayang juga kembali beroperasi dengan menawarkan rangkaian tayangan filem baharu yang hebat dan mantap.

Sekalipun penonton juga sudah disediakan perkhidmatan 'menonton wayang di rumah' dengan pakej bayaran ditetapkan, namun tradisi menonton ke panggung seperti dulu pastinya amat dirindui.

Apatah lagi, menonton dari layar lebar projektor panggung dengan diiringi sistem audio lebih 'gempak' sambil pada masa sama turut menikmati bertih jagung, siapa yang tidak rindu?

Namun, sebagai penonton filem pastinya saya amat menunggu-nunggu tayangan beberapa filem hebat tanah air yang sudah siap dibikin sepenuhnya, tapi belum lagi ditayangkan pawagam akibat 'diperam' seketika oleh penerbit kerana situasi Covid-19.

Mana tahu, tahun depan akan ditayangkan di pawagam kita filem seperti Munafik 3, Mat Kilau, Abang Long Fadil 3 dan Polis Evo 3 yang difahamkan cukup hebat jalan cerita serta garapannya.

Kalau diamati secara teliti, sebenarnya banyak filem tempatan kini yang dihasilkan berkualiti. Apatah lagi, jika karya itu mendapat sentuhan pengarah berkaliber yang secara tidak langsung sudah membuktikan acuan tersendiri karya mereka.

Selama sudah menonton banyak filem tempatan sebelum ini, saya menyifatkan industri perfileman negara mempunyai potensi yang bagus. Cuma, kita sebagai penonton perlu menyokong karya seni ini dan jangan sesekali dengan mudah melabelkan ia 'sampah.'

Bagi saya, tiada karya berstatus sampah pernah dihasilkan oleh penggiat seni kita, berikutan setiap filem itu ada jalan cerita yang mahu disampaikan kepada penonton. Cuma, yang kurang itu mungkin cara garapan 'rencahnya' yang barangkali dapat dinikmati segelintir penonton saja dan ada juga sebaliknya.

Namun, tidaklah sampai ia tidak boleh ditonton atau difahami langsung oleh penonton kerana penggunaan dialog diucap masih menggunakan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Malaysia termasuk ada juga filem dwibahasa dengan gabungan bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil. Malah, bagi mempermudahkan penonton faham, disediakan juga terjemahan bahasa.

Justeru, filem Malaysia lambang negara. Saya tumpang gembira dengan kejayaan filem Prebet Sapu atau judul bahasa Inggeris, Hail, Driver! yang sudah mewakili Malaysia untuk pencalonan ke Academy Awards atau Oscar, tahun depan.

Semoga ada rezeki buat filem Prebet Sapu ini mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia. Apatah lagi, jika dilihat pada tahun lalu hingga kini sebenarnya ada saja pencapaian filem Malaysia yang memenangi anugerah di luar negara.

Antaranya, filem Geran yang menang Anugerah Daniel A Craft di New York Asian Film Festival 2020, begitu juga filem Mimaland menang Filem Seram Terbaik di AltFF Alternative Film Festival Spring 2021 di Toronto, Kanada.

Tidak hanya itu, ada juga filem indie, Belaban Hidup: Infeksi Zombie menang kategori Seram dan Sains Fiksyen bagi genre filem cereka di World Film Carnival (WFC) Singapore 2021 serta filem The Garden of Evening Mists merangkul beberapa trofi antarabangsa seperti Filem Cereka Terbaik, Anugerah Akademi Kreatif Asia (AACA) selain mengungguli kategori Rekaan Kostum dan Solekan Terbaik, Anugerah Golden Horse Ke-56 serta ada lagi beberapa filem Malaysia yang lain turut berjaya di pentas antarabangsa.

Jadi, sudah tiba masanya juga untuk kita sebagai penonton tidak memandang rendah dan mudah menjatuh hukum kepada karya filem tempatan dihasilkan ini.

Sebagaimana saya katakan, mungkin di mata kita ia kurang, namun pada pandangan masyarakat luar amat berbeza. Justeru, ternyata 'selera' setiap orang itu tidak sama.

Mengkritik filem tidak salah, tetapi jangan sampai melabelkan sebagai 'sampah.' Untuk saya, selesa menyokong produk tempatan kerana ia juga secara tidak langsung menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara tercinta ini

Kini, yang saya nantikan filem tempatan terbaik mana akan berjaya merangkul anugerah di Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang berlangsung pada 10 Disember ini di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Penulis wartawan hiburan, Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 5:59 AM