GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Profesor Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed

Kerajaan melalui Bajet 2022 memberikan penekanan berkenaan pembayaran elaun program latihan industri RM900 sebulan kepada pelajar yang menjalani program latihan industri di sektor awam. Kerajaan turut menyeru agar pihak swasta memberi elaun sekurang-kurangnya RM900 sebulan atas khidmat pelajar itu. Selain itu, kerajaan juga akan menyediakan insentif kepada majikan yang menggaji perantis lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 tahun sebanyak RM900 sebulan bagi tempoh enam bulan; iaitu meningkat berbanding RM800 sebelum ini. Kerajaan turut bercadang untuk melanjutkan galakan cukai bagi Program Latihan Industri Berstruktur sehingga tahun taksiran 2025 dan turut diperluaskan kepada pelajar di peringkat ijazah sarjana, sijil profesional serta Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 dan 2.

Semua langkah yang digariskan di atas datang daripada niat murni kerajaan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membantu pelajar termasuk semasa pelajar menjalani latihan industri. Perkara ini amat bermakna kepada pelajar kerana ia dapat membantu pelajar yang menjalani latihan industri terutamanya pelajar dalam kategori keluarga B40 dan sebahagian M40 untuk menampung keperluan harian dan bulanan mereka semasa menjalani latihan industri yang melibatkan antara lain kos perjalanan, makan minum dan terdapat juga pelajar yang terpaksa menyewa rumah.

Pada ketika ini, pelajar yang menjalani latihan industri di sektor awam diberikan bayaran elaun RM900 sebulan dan kerajaan menyarankan sektor swasta turut memberikan bayaran elaun sekurang- kurangnya RM900 sebulan.

Namun, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian berdasarkan seruan kerajaan agar sektor swasta juga memberikan bayaran elaun latihan industri kepada pelajar sekurang-kurangnya RM900 sebulan.

Pertamanya, pada ketika ini sebahagian sektor swasta masih bergelut untuk kembali semula kepada situasi sebelum berlakunya Covid-19. Sebahagian juga memerlukan tempoh masa yang agak panjang untuk pulih dan perkara ini juga selari dengan dapatan Kajian Selidik Kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada isi rumah dan perniagaan oleh Kementerian Kewangan Malaysia sebelum ini yang menunjukkan 42.5 peratus perniagaan memerlukan lebih enam bulan untuk pulih dan kesan yang sama juga berkemungkinan berlaku disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. Impaknya turut kelihatan apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menguncup 4.5 peratus pada suku tahun ketiga 2021. Berdasarkan kenyataan Jabatan Perangkaan Malaysia, prestasi ekonomi pada suku tahun ketiga 2021 dari segi penawaran dipengaruhi oleh kemerosotan dalam semua sektor utama ekonomi terutamanya sektor Pembuatan dan Perkhidmatan.

Berdasarkan situasi semasa, Malaysia masih dalam proses pemulihan ekonomi dan sebahagian besar industri masih belum pulih sepenuhnya kesan daripada Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, maka pelaksanaan bayaran elaun latihan industri sekurang-kurangnya RM900 sebulan di sektor swasta berkemungkinan dilihat agak sukar untuk dilaksanakan di sebahagian sektor swasta dan terdapat beberapa kekangan yang menyebabkan ia akan mengambil masa untuk dilaksanakan secara menyeluruh.

Selain daripada kesan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sektor swasta juga pada ketika ini sedang dalam proses pemulihan dan secara tidak langsung membantu dalam usaha mengurangkan kadar pengangguran ke tahap 4.5 peratus (729,600 orang) pada bulan September 2021. Walaupun kadar pengangguran terus mencatatkan penurunan iaitu 4.5 peratus (729,600 orang) pada September 2021 berbanding bulan sebelumnya iaitu bulan Ogos 2021 pada tahap 4.6 peratus ataupun 748,800 orang, namun angka 729,600 orang yang menganggur merupakan bilangan yang agak tinggi yang memerlukan pekerjaan sama ada di sektor awam, swasta atau berkecimpung dalam bidang keusahawanan.

Sektor swasta juga mungkin akan mengutamakan mereka yang berpengalaman, tetapi sedang menganggur atau mereka yang kehilangan pekerjaan jika dibandingkan dengan pelajar latihan industri sekiranya pelajar latihan industri itu perlu dibayar elaun sekurang-kurangnya RM900 sebulan.

Atas beberapa kekangan ini maka ia menjadi satu cabaran kepada sebahagian sektor swasta untuk membayar elaun pelajar latihan industri sekurang-kurangnya RM900 sebulan. Namun, seruan kerajaan dan KPT ini perlu dihalusi oleh sektor swasta berdasarkan kepada kemampuan semasa mereka untuk membayar elaun pelajar latihan industri terutamanya sektor swasta yang memperolehi keuntungan semasa berlakunya krisis kesihatan di negara kita. Terdapat juga sektor swasta yang beroperasi sepenuhnya dan kukuh kedudukan kewangan mereka yang boleh menyahut seruan kerajaan dan KPT untuk membayar elaun pelajar latihan industri sekurang-kurangnya RM900 sebulan.

Kesimpulannya, seruan kerajaan dan KPT agar pihak swasta memberi elaun sekurang-kurangnya RM900 sebulan untuk latihan industri adalah langkah murni membantu pelajar menampung keperluan mereka semasa menjalani latihan industri.

Namun, ia banyak bergantung kepada sejauh mana kemampuan organisasi di sektor swasta untuk memberikan kadar elaun yang disarankan dan sekiranya kedudukan kewangan organisasi tersebut kukuh maka diharapkan organisasi dapat menyahut seruan kerajaan dan KPT untuk memberikan kadar elaun latihan industri sebagaimana yang dibentangkan dalam Bajet 2022.

Penulis Profesor Madya, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 6:00 AM