SOP berkaitan pilihan raya yang ditetapkan perlu dipatuhi semua pihak.
SOP berkaitan pilihan raya yang ditetapkan perlu dipatuhi semua pihak.
Noor Mohamad Shakil Hameed

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan diadakan pada 20 November depan bakal menguji kreativiti calon dan parti yang akan bertanding. Hal ini kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menetapkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial secara bersemuka berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya dilarang mulai 25 Oktober hingga 27 November ini.

Buat pertama kali kita bakal menyaksikan calon dan parti yang bertanding tidak akan mengadakan aktiviti dan program kempen pilihan raya seperti yang dibuat selama ini. Majlis perjumpaan secara beramai-ramai dan kempen dari rumah ke rumah yang cukup sinonim dengan proses pilihan raya tidak akan berlaku kali ini.

Ironinya, walaupun kelihatan pelik dan janggal, setelah mengambil kira kebimbangan penyebaran wabak Covid-19 khususnya varian Delta serta iktibar daripada PRN Sabah, kita percaya ini adalah antara langkah dan keputusan KKM yang wajar dan tepat. Jujurnya kita tidak mahu pisang berbuah dua kali angkara kedegilan ahli politik yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh kempen kelak dan hal ini sudah terbukti ketika PRN Sabah.

Oleh itu, kita berharap semua calon dan parti politik menghentikan desakan untuk KKM melonggarkan SOP sebaliknya perlu memahami tujuan serta objektif pelaksanaan larangan itu. Terimalah keputusan ini dengan berlapang dada demi keselamatan semua pihak dan inilah masanya untuk calon serta parti berfikir di luar kotak dengan kreatif untuk menjayakan kempen selepas penamaan calon kelak.

Hakikatnya kita berada dalam era ledakan teknologi. Platform media sosial seperti Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram boleh menjadi alat kempen yang berkesan untuk memancing undi melalui kaedah kreatif. Banyak kelebihan menggunakan platform ini antaranya dapat menjimatkan kos kempen setiap calon dan parti yang bertanding. Melalui platform digital ini calon tidak perlu mencetak poster dan risalah untuk ditampal serta diedarkan seperti biasa sebaliknya hanya memerlukan poster atau risalah secara dalam talian.

Malah, calon dan parti juga boleh menyediakan pelbagai reka bentuk dan corak poster yang lebih menarik serta mengikut kesesuaian kumpulan sasaran. Misalnya boleh menghasilkan poster dengan kandungan yang berbeza dan bersesuaian mengikut peringkat umur agar mudah untuk difahami segenap lapisan pengundi.

Di samping itu, penggunaan video khususnya aplikasi TikTok yang semakin popular dalam kalangan generasi muda wajar dimanfaatkan sepenuhnya oleh calon untuk mempromosikan diri secara lebih kreatif. Pengundi boleh menilai kehebatan calon daripada segi cara berkomunikasi dan menyampaikan hujah serta strategi menerangkan manifesto yang bakal dilaksanakan.

Calon wajar menggunakan aplikasi video untuk membuat kempen secara langsung di samping menyediakan beberapa siri rakaman untuk dimuat naik dalam platform media sosial masing-masing.

Kandungan poster, risalah serta video dalam platform media sosial ini juga cukup mudah untuk disebarkan dalam sekelip mata. Dengan hanya tekan butang share semua maklumat berkenaan boleh dihebahkan sepantas kilat tanpa sebarang kos tambahan dan hanya memerlukan kadar penembusan atau liputan internet yang baik. Penggunaan media sosial sebagai alat kempen perlu dilihat sebagai amalan norma baharu yang lebih efisien, pantas, mudah serta menjimatkan. Oleh itu, apa yang diperlukan ialah semua calon merangka perancangan untuk mengoptimumkan penggunaan pelbagai platform digital demi meraih perhatian dan menarik sokongan pengundi.

Setiap calon sewajarnya ada pasukan media yang efektif bagi menjayakan kempen secara maya ini. Hal ini sangat penting kerana bahan kempen yang akan dimuat naik dalam media sosial memerlukan sentuhan kreativiti individu yang pakar dalam bidang komunikasi media digital serta reka bentuk dan grafik. Pasukan ini perlu merangka konsep dan kandungan kempen supaya dapat menembusi semua lapisan masyarakat terutama golongan pengundi tradisional yang berumur 50 tahun ke atas.

Calon dan pasukan kempennya perlu menggunakan peluang yang ada untuk lebih mendekatkan diri dengan pengundi melalui sentuhan peribadi. Ini dapat dilakukan dengan membalas komen pengundi dan terus aktif bersosial tanpa terlalu formal bagi mendekatkan dengan pengundi. Setiap calon misalnya perlu ada page atau laman Facebook utama mereka sendiri, tetapi page lain juga boleh dibuat untuk menambah tahap popular dan penembusan kepada pengundi.

Bagaimanapun, kempen secara digital tetap ada kelemahannya dan bakal memberikan cabaran yang besar kepada calon. Antaranya, kekangan faktor capaian Internet yang lemah di sesetengah kawasan, pengundi warga emas yang kurang mesra digital dan masih berharap kepada kaedah bersemuka untuk mengenali calon serta calon tidak dapat membuat sentuhan peribadi (personal touch) melalui perjumpaan bersemuka.

Tuntasnya, PRN Melaka bakal menjadi rujukan dan tanda aras penting menjelang PRN Sarawak serta Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak khususnya daripada segi kaedah kempen norma baharu ini. Semoga kaedah baharu ini terus mengekalkan kemeriahan pesta demokrasi di negara kita.


Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 10:10 AM