GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Dunia dan akhirat tidak dapat dipisahkan. Bahkan dunia adalah jambatan ke akhirat. Kehidupan di dunia akan memberi impak kepada kesudahan apabila kembali ke akhirat. Oleh itu, kita dituntut menjadikan kehidupan di dunia ini sebagai modal untuk menuai hasilnya di akhirat. Dengan kata lain, kita dituntut menseimbangkan keperluan kehidupan dunia dan akhirat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan." (Surah al-Qasas, ayat 77)

Sehubungan itu, kita juga diperintahkan Allah SWT supaya menuntut ilmu untuk dunia dan akhirat. Malah, menuntut ilmu adalah fardu (wajib) ke atas setiap Muslim.

SAW bersabda yang bermaksud: "Menuntut ilmu adalah fardu ke atas setiap Muslim." (Riwayat Bukhari)

Tuntutan menuntut ilmu dunia dan ilmu akhirat bertepatan perintah Allah SWT supaya manusia menseimbangkan keperluan dunia dan akhirat. Maka, seharusnya difahami kedua-dua konsep ilmu itu. Biasanya juga disebutkan sebagai ilmu dunia dan ilmu akhirat.

Takrif ilmu berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat ialah pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain. Ilmu dunia biasanya dimaksudkan dengan ilmu pengetahuan yang hanya untuk keperluan hidup di dunia sahaja.

Namun, kedua-dua ilmu dunia dan ilmu akhirat adalah keperluan manusia. Malah, ilmu adalah satu-satunya warisan Nabi SAW kepada umatnya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menempuh perjalanan untuk menuntut ilmu, maka Allah memudahkan perjalanannya menuju syurga. Malaikat akan menaungi penuntut ilmu dengan sayapnya kerana reda terhadap perkara yang dia lakukan. Semua penghuni langit dan bumi akan memohon ampun bagi mereka yang memiliki ilmu pengetahuan, demikian juga ikan di dalam air. Keutamaan seseorang yang berilmu pengetahuan atas seorang ahli ibadah bagaikan bulan dengan sekumpulan bintang.

Ketahuilah bahawa ulama adalah pewaris Nabi. Dan sekalian nabi tidaklah mewariskan wang dinar mahupun dirham (harta), melainkan ilmu. Maka sesiapa yang mengambilnya, maka dia telah mendapatkan keberuntungan besar." (Riwayat Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Majah, al-Baihaqi dan Ibnu Hibban)

Oleh itu, kita dituntut mempersiapkan diri dengan kedua-kedua keperluan dunia dan akhirat. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan daripada pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh yang lain daripada mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya." (Surah al-Anfal, ayat 60)

Menurut Ibnu Kathir ayat ini bermaksud gunakanlah apa yang dianugerahkan Allah kepadamu berupa harta yang melimpah dan kenikmatan panjang dalam berbuat taat kepada Rabbmu serta bertaqarrub kepada-Nya dengan pelbagai amal menghasilkan pahala di dunia dan juga di akhirat.

Kita juga tidak boleh melupakan bahagian kita di dunia iaitu apa-apa yang dibolehkan oleh Allah di dalamnya berupa makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan pernikahan. Sesungguhnya Tuhan memiliki hak, dirimu memiliki hak, keluargamu memiliki hak serta orang yang berziarah kepadamu pun memiliki hak. Maka berikanlah setiap sesuatu dengan haknya. (Lihat Tafsir al-Quran al-'Azim, 6/228)

Maka jelaslah menuntut kedua-dua ilmu dunia dan akhirat adalah wajib. Malah, menuntut ilmu dunia juga sebenarnya sebahagian daripada ilmu akhirat kerana ilmu dunia yang bermanfaat akan mendapat pahala jika ilmu dunia itu dipelajari, kemudian digunakan untuk memanfaatkan dunia sehingga membawa kepada ganjaran baik, maka ia termasuk ilmu akhirat.

Sistem pendidikan negara, sudah diintegrasikan ilmu dunia (akademik) dan ilmu akhirat secara holistik. Ia bertepatan seruan Allah SWT supaya memanfaatkan kurniaan-Nya di dunia ini untuk manfaat akhirat. Firman-Nya bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya?" Katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat." Demikianlah Kami jelaskan ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang yang (mahu) mengetahui." (Surah al-A'raf, ayat 32)

Tuntutan ini juga jelas daripada anjuran Rasulullah SAW yang mengingatkan kita agar memanfaatkan lima perkara sebelum tibanya lima perkara. Sabdanya: "Gunakanlah dengan baik lima perkara sebelum datang lima (yang lain): Masa mudamu sebelum datang masa tuamu, sihatmu sebelum datang sakitmu, kayamu sebelum datang fakirmu, waktu lapangmu sebelum datang waktu sibukmu dan hidupmu sebelum datang matimu." (Riwayat al-Baihaqi dan al-Hakim)

Rasulullah SAW juga memberi amaran kepada orang yang meninggalkan urusan dunia semata-mata menuntut akhirat. Sabdanya: "Kamukah yang berkata begitu dan begini? Demi Allah, sesungguhnya aku orang yang paling takut kepada Allah dalam kalangan kamu, paling bertakwa dalam kalangan kamu kepada-Nya, namun aku berpuasa dan berbuka, bersolat dan tidur dan berkahwin. Maka sesiapa yang membenci sunahku, ia bukan daripada kalanganku." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kesimpulannya, perintah menuntut ilmu tidak membezakan ilmu dunia dan akhirat. Bahkan, menuntut kedua-duanya adalah wasilah (cara) Allah SWT menganugerahkan kebaikan.


Penulis Ketua Unit Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 6:01 AM