GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Tuan Asri Tuan Hussein

Sejurus tentera Amerika Syarikat (AS) berundur daripada Afghanistan pada pertengahan Ogos lalu, Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOCHA) awal-awal lagi memberi peringatan yang rakyat negara itu bakal berdepan krisis kemanusiaan serius.

Kini, selepas dua bulan berlalu segala-galanya mula menjadi kenyataan. Berdasarkan laporan terkini UNOCHA, dianggarkan 18 juta daripada 40 juta penduduk negara itu dikategorikan sebagai golongan yang perlukan bantuan.

Daripada jumlah itu, sebahagian besarnya iaitu 14 juta orang terpaksa bergelut untuk hidup kerana kekurangan makanan.

Ini bermakna, satu pertiga daripada keseluruhan populasi negara itu kini berdepan ancaman kebuluran.

Berdasarkan maklumat terkini, rakyat Afghanistan pada masa ini menjual apa saja saki-baki barangan yang mereka miliki di tepi jalan, demi mencari duit untuk membeli makanan.

Laporan saluran televisyen berita antarabangsa Aljazeera tiga hari lalu pula mendedahkan kemudahan perubatan terutama ubat-ubatan di hospital negara itu hanya mampu bertahan untuk beberapa minggu lagi. Diulangi, beberapa minggu, bukan beberapa bulan.

Selain, kekurangan makanan dan kemudahan perubatan, rakyat Afghanistan juga berdepan masalah pengangguran, tempat tinggal selain sistem ekonomi dan pendidikan yang amat lemah.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, António Guterres sebelum ini dilaporkan berkata, masyarakat antarabangsa perlu bersolidariti bagi mengatasi krisis kemanusiaan yang meruncing di Afghanistan.

Beliau juga mengumumkan PBB memerlukan sumbangan kewangan masyarakat antarabangsa AS$604 juta (kira-kira RM2.4 bilion) bagi membantu rakyat Afghanistan dalam tempoh empat bulan akan datang.

Semua perkembangan ini menyebabkan penulis bersama rakan-rakan di Muslim Care Malaysia (MCM) tidak senang duduk.

Mengikut perancangan, rombongan sukarelawan MCM bakal ke sana pada pertengahan November depan untuk melaksanakan misi bantuan kemanusiaan selepas usaha untuk pergi lebih awal tidak kesampaian berikutan pelbagai halangan.

MCM tidak bersendirian, tetapi bersolidariti dengan dua lagi NGO iaitu Yayasan Amal dan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) dengan jumlah peserta misi dijangka membabitkan 17 orang termasuk wakil media.

Perancangan dan gerak kerja awal sudah dimulakan sebulan lalu, dengan sasaran mengumpulkan sekurang-kurangnya RM1 juta daripada rakyat Malaysia yang terkenal dengan sikap pemurah dan prihatin.

Anda boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun MCM; Maybank (564490413882), Bank Islam (14014010147470) atau CIMB (8604171675). Kirimkan slip sumbangan kepada Johari (0169978323) atau Safuan (0134886447).

Sumbangan RM1 juta bukan jumlah yang besar untuk membangunkan semula sebuah negara yang sistem pentadbiran dan sosialnya sudah porak-peranda, angkara kerakusan AS yang menjajah selama 20 tahun dan sebelum itu Rusia selama sembilan tahun bermula Disember 1979.

Tapi, jumlah itu yang MCM, Yayasan Amal dan Papisma rasakan rasional dan praktikal sebagai langkah awal dan dalam tempoh terbatas.

Malangnya, selepas sebulan usaha mengumpul sumbangan digerakkan, perkembangannya amat perlahan. Setakat 13 Oktober lalu, jumlah terkumpul hanya sekitar RM430,000, belum pun separuh daripada jumlah sasaran.

Kami tidak goyah kerana cabaran dan kesukaran sudah menjadi asam garam dalam melakukan kerja kebajikan.

Cuma timbul rasa gundah, mengapa agaknya sumbangan rakyat Malaysia untuk bantuan kemanusiaan kepada Afghanistan tidak serancak komitmen yang diberikan untuk membantu Palestin, Syria, mahupun Rohingya.

Selepas melakukan 'tinjauan rambang' dan 'risik-risik' maklum balas yang diterima menunjukkan rakyat Malaysia umumnya dan umat Islam, khususnya 'tidak mesra' dengan Afghanistan, konflik dan kemelutnya.

Kebanyakan kita tidak cukup mengenali dan memahami konflik di Afghanistan, sebagaimana kita mengenali serta memahami apa yang berlaku di Palestin dan Syria.

Ada juga yang 'berat' nak menghulurkan duit kepada Afghanistan kerana beranggapan negara itu pengeluar dadah, manakala ramai rakyatnya menagih dadah. Jadi, mereka tidak layak dibantu.

Hakikatnya, dua tanggapan itu tidak betul. Taliban yang menguasai tampuk pentadbiran Afghanistan pada masa ini, sama sekali berbeza dengan pendekatan Taliban yang ekstrem 20 tahun lalu.

Malah, Taliban adalah gelaran terpaksa diwarisi dan dilabelkan kepada mereka oleh orang luar, terutama AS bertujuan mengekalkan stigma negatif.

Hakikatnya, kumpulan Taliban Baru ini lebih berpendidikan, bersikap terbuka dan bertoleransi.

Imej Afghanistan sebagai negara pengeluar dadah pula adalah antara jenayah sosial yang dilakukan AS sepanjang 20 tahun memporak-perandakan hidup rakyat negara itu.

Terlalu panjang untuk dihuraikan di sini mengenai kerosakan demi kerosakan yang dilakukan AS ke atas Afghanistan. Sebaliknya, satu mesej penting yang ingin disampaikan adalah barisan kepimpinan Afghanistan kini bukan pengganas.

Mereka berhak dan layak mentadbir negara mereka sendiri. Mungkin mereka ada kelemahan tertentu, tapi mereka wajar diberi ruang dan peluang.

Jangan kita mudah terpedaya dengan dakyah segelintir media Barat yang nyata memaparkan laporan yang tidak adil terhadap kumpulan Taliban Baru yang kini mentadbir Afghanistan.

Jika dibuat perbandingan, tiada salahnya Taliban Baru mengambil alih dan mentadbir negara mereka sendiri. Yang salah ialah Israel yang merampas negara Palestin dan menganiaya penduduknya.

Tapi, kerakusan dan kekejaman Israel ini tidak digembar-gemburkan oleh media Barat terbabit, malah ia dipaparkan sebagai sesuatu yang sah serta diberi pengiktirafan.

Perlu disedari, rakyat Afghanistan pada masa ini amat memerlukan sokongan dan bantuan terutama daripada negara Islam termasuk Malaysia.

Penulis Penasihat Media Muslim Care Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 5:59 AM