GUNUNG Kinabalu.
GUNUNG Kinabalu.
Syah Rul Aswari Abdullah

Apabila menerima pengesahan untuk bertugas ke Sabah pada 2016, hati menjadi keluh-kesah. Apa tidaknya, ketika itu, penulis menjangka akan pulang ke Kuala Lumpur selepas beberapa tahun bertugas di Kuantan. Lagipun, mengenangkan berdasarkan pengalaman rakan sebelum ini, lazimnya wartawan dari Semenanjung yang ditugaskan di situ akan berada untuk tempoh lebih daripada tiga tahun. Terdetik juga dalam hati: "Ini mesti sebab aku bujang!"

Sehingga pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, penulis masih tidak percaya akan bekerja di sini. Meskipun masih dalam negara - bagi kebanyakan warga Semenanjung, Sabah dikira jauh. Sebagai perbandingan, tempoh penerbangan dari Kuala Lumpur (KL) ke Jakarta atau ke Bangkok, lebih singkat berbanding KL-Kota Kinabalu (KK).

Tidak mengejutkan juga, jika mahu menebus tiket penerbangan untuk Malaysia Airlines, KK tidak dikira dalam Zon 1. Ia dalam Zon 2 bersama Bangkok, Jakarta, Phnom Penh dan Ho Chi Minh.

Sabah juga amat luas memandangkan ia negeri kedua terbesar di Malaysia. Luasnya kira-kira dua kali ganda Pahang. Perjalanan dari KK ke Sandakan sahaja mengambil masa lebih enam jam. KK ke Tawau pula mengambil masa kira-kira lapan jam. Ia lebih lama daripada tempoh perjalanan warga KL untuk pulang ke Kelantan.

Bezanya, tiada lebuh raya bertol di sini. Rata-rata rakyatnya akan menggunakan jalan melalui Kundasang untuk mengembara dari pantai barat ke pantai timur Sabah.

Menjejakkan kaki ke negeri ini, perkara pertama yang penulis belajar adalah nama tidak menggambarkan agama. Sering kali penulis terkeliru sama ada seseorang itu beragama Islam atau bukan. Di negeri ini, bangsa bukanlah petunjuk mutlak untuk mengetahui status agama seseorang. Agama juga tidak merujuk kepada bangsa, kaum dan etnik tertentu.

Sebagai contoh, jiran penulis yang pada awalnya disangka bukan Muslim sebenarnya orang Kadazan beragama Islam. Individu sama mengajak penulis ke majlis hari ulang tahun anaknya.

Ada juga seorang kenalan Dusun beragama Islam. Rakan lain daripada kaum sama pula beragama Kristian.

Hal ini mungkin kerana kebanyakan daripada mereka lebih terbuka untuk berkahwin campur.

Pada rakyat Sabah, ia bukan satu perkara 'pelik bin ajaib' jika satu keluarga mempunyai ramai ahli keluarga dengan agama berlainan.

Ini belum mengambil kira asimilasi kepercayaan tertentu yang diwarisi daripada nenek moyang mereka. Keunikan gaya hidup ini jelas dilihat pada upacara tertentu seperti jika berlaku kematian.

Untuk mengelak daripada terkeliru, penulis lazimnya akan terus bertanyakan sama ada seseorang itu Muslim atau tidak. Apabila menyunting berita mengenai kematian, kami juga perlu lebih peka untuk tidak sewenang-wenangnya menggunakan perkataan Allahyarham atau Allahyarhamah. Ini kerana nama seseorang mungkin kedengaran seperti orang Islam, tetapi sebenarnya bukan.

Malu juga untuk mengaku, ketika itu, penulis baru mengetahui lebih jelas mengenai kaum dan etnik Sabah seperti orang Bugis, Kadazan dan Bajau. Ini belum dikira lebih 30 kumpulan lain seperti Iranun, Murut, Rungus, Orang Sungai, Bisaya, Melayu Brunei serta Melayu Cocos. Ada banyak bahasa, namun semuanya dapat difahami apabila mereka bertutur menggunakan bahasa Melayu dalam loghat Sabah.

Penulis juga, pada satu ketika, berpeluang menghadiri majlis perkahwinan di gereja di Tambunan. Upacaranya amat panjang iaitu hampir dua jam. Ia diselangi dengan ucapan paderi, doa dan lagu dalam tiga bahasa termasuk bahasa Melayu. Bukan pelik apabila mereka sering menggunakan perkataan Allah di dalam gereja.

Majlis resepsi pula diadakan di dewan bersebelahan gereja. Tiada masalah mengenai makanan apabila tuan rumah menyediakan dua stesen bufet untuk makanan halal dan tidak halal.

Toleransi antara kaum dan agama yang kuat ini juga dapat dilihat apabila ada banyak papan iklan di persimpangan jalan utama yang memaparkan iklan mengenai program agama bukan Islam.

Tidak keterlaluan dikatakan apabila gereja sama ada kecil atau besar mudah ditemukan di simpang jalan menghala ke pusat bandar.

Keterbukaan ini juga dapat dilihat apabila satu gereja di Bukit Padang - berhampiran dengan tempat tinggal penulis - akan membuka parkirnya untuk pengunjung bazar Ramadan. Jika di Semenanjung, ia mungkin ditularkan oleh netizen sehingga menjadi bahan berita. Namun di sana, ia bukan perkara menghairankan.

Makan semeja dengan orang yang bukan seagama juga bukannya perkara pelik.

Mereka juga tidak terlalu cepat melatah mengenai isu berkaitan makanan. Bukannya mereka tidak menitikberatkan hukum, cuma rata-ratanya tidak menjadikan ia sebagai isu besar dalam pergaulan seharian.

Pokok pangkalnya, mereka tetap menghormati agama dan kepercayaan masing-masing.

Meskipun tidak lama bertugas di negeri ini, ia sempat 'membuka mata' penulis bahawa ada banyak perkara yang kita, sebagai orang Semenanjung, boleh belajar daripada penduduk Sabah. Paling utama - jika mahu hidup harmoni, kita mesti bersedia untuk bertoleransi.

Jika asyik mahu berbalah mengenai siapa 'tuan tanah' dan siapa 'pendatang' maka selama-lamanyalah kita tidak akan bergerak ke hadapan.

Selamat Hari Malaysia 2021.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 5:59 AM