GOLONGAN yang dilahirkan pada zaman perkembangan teknologi yang pantas dan cekap.
GOLONGAN yang dilahirkan pada zaman perkembangan teknologi yang pantas dan cekap.
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh dan Dr Wan Rohani Wan Mokhtar

Generation NET atau generasi Z mengikut Don Tapscott dalam bukunya Grown Up Digital menyatakan generasi itu adalah golongan yang dilahirkan antara 1998 hingga 2009.

Generasi itu adalah golongan yang berusia antara 12 hingga 23 tahun sekarang. Ini bermakna generasi ini sedang berada dalam alam pendidikan sama ada di peringkat sekolah menengah, kolej atau universiti. Malah, mereka sedang membesar menuju alam kerjaya dan kepemimpinan masa hadapan.

Oleh kerana generasi ini lahir bersama zaman perkembangan teknologi, mereka memiliki ciri-ciri yang berbeza dengan generasi sebelumnya yang urusan hidup mereka bergantung kepada alam fizikal.

Antara ciri-ciri yang dapat dilihat pada generasi Z ialah mereka sangat pantas dan cekap menggunakan peralatan digital serta tidak terpesona dengan kecanggihan internet seperti generasi sebelumnya kerana mereka lahir selepas internet serta peralatan digital yang canggih wujud.

Lantaran lahir dalam era kecanggihan dan kepantasan maklumat, mereka tergolong dalam golongan yang sangat tidak sabar kerana mereka mahukan hasil yang segera. Mereka mahukan keputusan yang cepat dan tindakan yang pantas.

Antara kelebihan dimiliki generasi ini juga ialah mereka suka beraktiviti dan boleh melakukan beberapa tugasan pada satu masa. Mungkin mereka mampu membuat kerja sekolah sambil menonton video dan sambil berinteraksi dengan rakan melalui media sosial.

Mungkin juga generasi ini mampu membuat kerja sambilan sambil belajar. Antara ciri lain generasi ini ialah mereka bukan pendengar yang baik serta kurang kemahiran interpersonal. Mereka menggunakan alam digital untuk berkomunikasi dan saling berhubungan sesama mereka.

Generasi ini juga pantas melayari maklumat di serata dunia dan menerokanya tanpa perlu diajar

Sesungguhnya ciri-ciri yang dimiliki generasi Z ini menimbulkan cabaran untuk mendidik mereka. Ibu bapa dan guru yang bertanggungjawab mendidik mereka tidak mudah untuk menggalas tugas itu.

Biasanya generasi Z menjadi anak kepada generasi X iaitu golongan yang lahir antara 1965-1976 atau berusia antara 45 hingga 65 tahun. Jurang antara kedua-dua generasi ini mungkin menimbulkan sedikit masalah dalam mendidik mereka. Oleh itu, ibu bapa dan guru yang mendidik generasi Z perlu mendidik mereka dengan bijaksana.

Oleh kerana generasi Z kurang bersabar, ibu bapa dan guru perlu bijak mengimbangkan keperluan mereka. Ternyata golongan ini mempunyai pendapat dan prinsip yang jelas, tetapi kurang senang menerima cadangan atau idea tanpa alasan atau fakta konkrit.

Oleh itu, ibu bapa tidak boleh terlalu lambat bertindak terhadap kehendak mereka dan setiap penolakan terhadap permintaan mereka perlu disertakan dengan hujah dan alasan relevan.

Kebetulan, kita sedang melalui fasa pandemik dan akan beralih kepada fasa endemik.

Mengikut Kamus Dewan, endemik bermaksud penyakit yang sentiasa terdapat pada orang atau daerah tertentu. Bermakna, kita akan hidup bersama Covid-19. Berdasarkan kenyataan Menteri Kesihatan, kita mula memasuki fasa endemik ini akhir Oktober ini selepas tercapainya imuniti kelompok di seluruh negara.

Generasi Z ini juga perlu dididik supaya menjadi seorang yang optimis dengan kehidupan mereka. Sikap optimis adalah tanda seseorang itu beriman kepada Allah SWT. Generasi Z perlu dididik supaya bersikap optimis. Mereka mesti diterapkan dengan keimanan kukuh.

Dunia tanpa sempadan adalah cabaran besar buat mereka. Gajet umpama pisau yang boleh menjadi aset berguna atau sebaliknya.

Rasulullah SAW bersabda: "Tidak beriman seorang hamba sehingga beriman kepada takdir baik dan buruknya, sehingga ia mengetahui bahawa apa yang menimpanya (yang sudah ditakdirkan) tidak akan terlepas daripadanya, dan (mengetahui) apa yang belum menimpanya (yang belum ditakdirkan) nescaya tidak akan pernah terkena kepadanya." Hadis Riwayat Tirmidzi

Sebagai seorang Muslim mesti optimis terhadap semua qadak dan qadar daripada Allah SWT, namun yakin dengan janji Allah SWT kepada orang yang beriman.

Itulah kekuatan sebenar seorang Mukmin. Dengan sikap ini pasti kita akan berjaya melalui ujian Allah SWT dengan hati yang reda. Allah SWT berfirman: "Apa jua jenis rahmat yang dibukakan oleh Allah kepada manusia, maka tidak ada sesuatu pun yang dapat menahannya dan apa jua yang ditahan oleh Allah maka tidak ada sesuatu pun yang dapat melepaskannya sesudah itu. Dan (ingatlah) Dialah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." Surah Faathir, ayat 2

Tuntasnya, cara mendidik generasi Z tidak sama seperti mendidik generasi sebelumnya. Jika ingin menasihati generasi sebelum ini dilakukan dengan cara bersemuka dan berkumpul, mungkin cara ini tidak lagi efektif untuk diguna pakai pada generasi Z kerana mereka bukan pendengar yang baik serta tidak suka berkumpul secara fizikal.

Nasihat yang lebih berkesan untuk generasi ini adalah melalui berkomunikasi di media sosial.

Layan mereka dengan lembut dan sabar kerana mereka bukan generasi yang boleh dirotan dan dimarahi. Mendidik mereka perlu kata-kata lembut yang boleh mempengaruhi jiwa.

Pengetahuan generasi ini sangat luas kerana mereka golongan celik IT. Ibu bapa dan guru juga perlu lebih luas pengetahuan dalam apa jua bidang terutama bidang IT. Jika tidak, generasi ini tidak akan hormat terhadap guru dan ibu bapa. Oleh kerana mereka gemar beraktiviti, perlu wujudkan pelbagai aktiviti untuk mereka terutamanya aktiviti berbentuk maya serta berikan kerjasama.

Kesimpulannya, suka atau tidak, inilah perubahan zaman. Generasi ini akan menjadi pemimpin yang penuh dengan cabaran teknologi dan digital. Oleh itu, generasi ini perlu dididik dengan cara berbeza dan agak unik. Jika generasi Z dibentuk dengan acuan betul, mereka boleh mencapai kejayaan lebih cemerlang daripada generasi terdahulu serta dapat membangun negara dengan pesat.

Penulis Pensyarah Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 5:59 AM