PULAU Langkawi dipilih sebagai projek rintis di bawah program gelembung pelancongan sudah bersedia menerima kehadiran pelancong yang lengkap dua dos vaksinasi Covid-19, bermula 16 September. FOTO Arkib NSTP
PULAU Langkawi dipilih sebagai projek rintis di bawah program gelembung pelancongan sudah bersedia menerima kehadiran pelancong yang lengkap dua dos vaksinasi Covid-19, bermula 16 September. FOTO Arkib NSTP
Hafiz Ithnin

Sebelum ini, saya ada lapan inap desa, sekarang hanya tinggal empat. Itu pun tunggu masa nak 'bungkus', bang," kata seorang pemilik inap desa di Langkawi kepada penulis.

Malah, pemilik itu turut mendakwa jika sebelum ini nilai sewaan semudah RM8,000 sebulan direkodkan, dalam tempoh lebih empat bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan, RM1,000 belum tentu dapat diraihnya.

"Mujur saya belum ada keluarga. Bagaimanapun, pekerja terpaksa diberhentikan dan mereka ada anak yang masih kecil. Sebagai pemilik saya tiada pilihan dan rasa simpati hanya mampu diucap kerana keadaan yang memaksa," katanya.

Ternyata penutupan sektor pelancongan negara dalam tempoh panjang memberi kesan berantai kepada rakyat. Ia fakta!

Jika ingin membuat perbandingan angka kehadiran pelancongan pada 2019 iaitu sebelum berlaku penularan pendemik Covid-19 berdasarkan data dikeluarkan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), lebih 3.9 juta pelawat dan pada tahun lalu, hanya kira-kira 1.9 juta pelawat direkodkan.

Sebaik sahaja kerajaan mengumumkan untuk membuka semula Pulau Langkawi di Kedah sebagai program perintis gelembung pelancongan negara hari ini, pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Ada yang berasakan ia perlu kerana 'memberi kebebasan' selepas lama terperuk di rumah dan ada juga yang melihat ia satu tindakan yang tidak wajar memandangkan angka kes Covid-19 masih di aras belasan ribu.

Namun, sedikit melegakan apabila program vaksinasi negara begitu agresif dilaksanakan dan sudah pun menampakkan hasilnya apabila dilaporkan jumlah kematian semakin menurun.

Setiap reaksi terdapat justifikasi tersendiri, tiada betul atau salah.

Namun, perlu diingatkan bahawa pendapatan yang terjejas mampu memberi kesan kepada kesihatan mental.

Tidak sekadar itu, tidak mustahil juga akibat terputusnya pendapatan, ada pasangan suami isteri yang bercerai-berai. Akhirnya institusi kekeluargaan runtuh. Berlaku sekali lagi kesan domino di situ.

Situasi ini diceritakan sendiri oleh seorang kenalan penulis di Langkawi ketika membuat tinjauan di pulau pelancongan itu baru-baru ini.

Katanya, lebih tragik apabila terdapat kes bunuh diri akibat tertekan kehilangan mata pencarian dan rumah tangga pula hanya tunggu hari menuju retak.

"Kami lega apabila kerajaan mengumumkan Pulau Langkawi sebagai program perintis untuk gelembung pelancongan negara.

"Bagi mereka yang tidak terkesan mungkin berasakan pembukaan sektor ini sesuatu yang remeh. Bagaimana dengan kami yang rata-rata bergantung kepada sektor ini? Cucuk kad ATM tak keluar duit. Anak bini macam mana?" katanya kepada penulis.

Meskipun hanya berborak kosong sementara menuju Pantai Cenang yang menjadi destinasi popular di Langkawi, kata-katanya ternyata ada kebenarannya.

Ketika berada di Pantai Cenang, penulis melihat jalan yang dahulunya meriah dengan pelbagai aktiviti ekonomi dan orang ramai, kini tidak ubah seperti bandar tinggal. Kosong dan hanya daun kering menjadi penghuninya.

Di sepanjang pantai peranginan itu juga, tidak begitu ramai pengunjung walaupun aktiviti riadah sudah dibenarkan kepada masyarakat setempat.

Mungkin, aura 'sugul' Cenang turut memberi kesan kepada mereka. Sepanjang berada di Pulau Langkawi, penulis yang sudah lengkap vaksinasi menginap di tiga penginapan berbeza untuk meninjau sendiri persediaan mereka menerima kehadiran pelancong hari ini.

Ketiga-tiga penginapan itu terdiri daripada segmen inap desa, villa dan resort empat bintang.

Menjadi kewajipan, mereka ingin melihat status vaksinasi lengkap dan status risiko yang tercatat di aplikasi MySejahtera.

Malah, sebelum berlepas ke sana, penulis sudah mencetak keputusan ujian saringan Covid-19 menggunakan Rapid Test Kit Antigen (RTK-Antigen) sebagai persediaan sekiranya pemilik penginapan ingin memeriksanya.

Terdapat juga tempat penulis bermalam yang meletakkan syarat untuk tidak membawa pengunjung luar dan memaklumkan bahawa bilik sudah disanitasi hanya pemilik boleh masuk.

Selain itu, pekerja yang mengemas tidak boleh mengaksesnya selepas tetamu daftar masuk dan kunci di dalam sampul surat tertulis sudah disanitasi diletakkan di atas dulang sahaja.

Pada hemat penulis, ia sesuatu yang wajar dilaksanakan oleh pemilik penginapan untuk memastikan tiada risiko yang dibawa oleh pengunjung yang boleh memberi kesan khususnya kepada perniagaan mereka.

Selama beberapa hari di Pulau Langkawi, penulis juga dapat melihat pemain industri lain seperti pusat rekreasi sudah mula melaksanakan kerja pembersihan dan menyediakan prosedur operasi standard (SOP).

Malah, terdapat pemain industri yang meletakkan syarat hanya pekerja yang sudah lengkap vaksinasi boleh kembali bekerja.

Pada hemat penulis, sempena pembukaan Pulau Langkawi hari ini, pengunjung perlu mengambil inisiatif menjaga SOP yang ditetapkan dan mengambil inisiatif secara peribadi untuk bersama-sama bercuti dalam norma baharu ini.

Menarik nafas lega juga apabila Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan SOP terbaharu semalam, pengembara ke Langkawi mesti membuat ujian saringan sebelum ke Pulau Langkawi.

Sekurang-kurangnya sebagai orang luar, pengunjung tidak menjadi pembawa virus berkenaan.

Jika program perintis ini berjaya, mungkin lebih banyak destinasi percutian domestik akan dibenarkan beroperasi kelak.

Realitinya kita sendiri tidak tahu, pengakhiran penularan virus ini. Jadi, perlu siap siaga untuk hidup bersamanya dengan amalan norma baharu termasuk untuk beriadah atau melancong.

Penulis Wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 9:25 AM