Video yang menunjukkan betapa ramainya pengunjung di kawasan rekreasi Sungai Pisang tular.
Video yang menunjukkan betapa ramainya pengunjung di kawasan rekreasi Sungai Pisang tular.
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my

Sejak beberapa hari lalu, kecoh di media sosial apabila beberapa gambar dan video yang menunjukkan betapa ramainya pengunjung di kawasan rekreasi Sungai Pisang tular.

Ini berikutan keizinan untuk merentas daerah dalam negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi mereka yang sudah lengkap mengambil dua dos vaksin Covid-19.

Sejujurnya, pertama kali saya melihat hantaran-hantaran yang dimuat naik ke media sosial itu memang membuatkan saya rasa takut dan risau.

Risau kerana nampaknya, seperti tidak ada penjagaan prosedur operasi standard (SOP), tidak ada penjarakan sosial dan tidak mustahil, ada juga mereka yang belum menerima dua dos lengkap vaksin, namun 'curi-curi' merentas daerah untuk beriadah.

Tapi, apa pun saya anggap itu semua adalah apa yang saya nampak dalam video yang tak berapa jelas. Mungkin di sana, situasinya berbeza. Yang tahu hanya mereka yang berada di sana.

Tidak hanya di Sungai Pisang, beberapa pantai rekreasi dalam Selangor juga nampaknya 'diserang' oleh orang ramai.

Jalan sekitar Pantai Remis katanya begitu sesak dengan pengunjung.

Saya sendiri yang mencuba nasib untuk keluar 'mengejar' matahari terbenam di Pantai Bagan Lalang pun tersangkut dalam kesesakan lalu lintas yang agak teruk.

Saat melangkah keluar dari kereta, saya pun terkejut kerana sepanjang beberapa kali saya ke Bagan Lalang, itu kali pertama saya melihat sendiri ratusan atau mungkin ribuan manusia berada di pantai berkenaan.

Itu cerita hari Sabtu lalu. Ahad pula, saya cuba ke Pantai Morib. Fuh! Memang saya tak nafikan, ramai pengunjung datang dan beriadah bersama keluarga.

Bila saya semak di media sosial, ada yang mula menuding jari kepada satu sama lain. Ada yang menyalahkan masyarakat dan ada juga yang menyalahkan kerajaan.

Kalau tanya pendapat saya, apabila diizinkan untuk keluar beriadah, orang yang memenuhi kriteria yang ditetapkan hanya melakukan apa yang diizinkan.

Ya lah, selepas berbulan-bulan berada di dalam rumah, kemudian dibenarkan keluar bebas, siapa yang tak mahu mengambil peluang itu, betul tak?

Mungkin kita antara yang bertuah sebab tak terlalu tertekan dan dapat menangani tekanan dengan cara yang berkesan.

Tapi, bagi individu lain yang cara hidupnya berbeza, latar belakangnya berbeza, isi dan isu dalam rumah tangganya berbeza, mungkin tekanan mereka berbeza.

Tak sama dengan apa yang kita alami.

Apabila diumumkan kebenaran untuk merentas daerah, mungkin itu adalah sedikit tiupan semangat yang tersisa dalam diri mereka untuk bangkit semula dan lakukan sesuatu.

"Keluar beriadah, kononnya untuk jaga kesihatan mental? Tapi, ramai-ramai begini, mental okey tak?"

Siapa kita untuk menghakimi orang lain dalam situasi sekarang terutamanya, dari sudut kesihatan mental. Kita tak berada di tempat orang lain dan tak tahu apa yang mereka lalui.

Apabila ada yang sudah keluar rumah dan berniat untuk mandi sungai atau beriadah, siapa yang terfikir bahawa destinasi yang ingin mereka tujui itu akan turut dikunjungi ramai pengunjung lain.

Cumanya, kita kena sentiasa beringat untuk mengikuti segala SOP yang sudah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Seperti yang diumumkan baru-baru ini mengenai pandemik yang akan bertukar kepada endemik, kita perlu biasakan diri untuk hidup bersama Covid-19 selagi penawarnya tidak ditemui.

Jangan pernah ada yang lupa bahawa kita belum menang dan virus ini juga nampaknya tidak pernah mengalah. Namun, hidup tetap perlu diteruskan.

Penulis Wartawan Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 7:01 AM