BANJIR yang berlaku di Yan Kedah, baru-baru ini.
BANJIR yang berlaku di Yan Kedah, baru-baru ini.
minda

Banjir adalah bencana yang sering berlaku setiap tahun di Malaysia menjelang hujung tahun.

Bencana ini tidak seharusnya dipandang ringan kerana memberikan pelbagai implikasi besar.

Saban tahun apabila menjelangnya musim tengkujuh, statistik kematian akibat lemas di air menunjukkan peningkatan yang mendadak berikutan daripada kealpaan masyarakat dalam memahami bahaya bencana banjir secara menyeluruh.

Kedudukan negara kita yang berada di Hemisfera Utara iaitu bahagian utara dari garisan Khatulistiwa yang bercirikan kelembapan tinggi dan hujan yang banyak memungkinkan bencana alam yang berasaskan air seperti banjir berlaku dengan kerap. Hujan lebat yang dibawa oleh angin Monsun Timur Laut adalah faktor semula jadi yang mengakibatkan bencana banjir berlaku di negara kita.

Namun, ironinya sesetengah masyarakat melihat banjir sebagai satu pesta tahunan untuk melaksanakan aktiviti air yang membabitkan aktiviti menjaring, memancing, menjala dan mandi-manda.

Tidak dinafikan ada individu yang terputus punca pendapatan dan mencari pendapatan sampingan dengan menangkap ikan.

Namun, seharusnya masyarakat Malaysia perlu memahami banjir sebagai sebuah bencana alam yang boleh mengakibatkan risiko lemas dan kematian.

Secara teknikalnya, bencana ini berlaku apabila kadar taburan hujan yang tinggi berlaku pada Ogos hingga Mac.

Mengikut laporan Jabatan Metreologi bermula bulan Ogos kadar taburan hujan dijangka 100mm/j hingga 300mm/j berikutan tiupan Angin Monsun Barat Daya di negeri Semenanjung.

Manakala, pada September dijangkakan kadar taburan hujan adalah 100mm/j hingga 350mm/j kecuali di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan sebahagian di Perak dan Selangor yang akan menerima taburan hujan yang lebih tinggi iaitu 200mm/j hingga 500mm/j.

Perubahan kadar taburan hujan yang ketara akibat perubahan angin Monsun Timur Laut iaitu meningkatkan taburan hujan sejumlah 800mm/j hingga 1000mm/j akan berlaku bermula pada akhir November hingga Mac akan datang.

Peningkatan mendadak kadar taburan hujan yang dikenali sebagai musim tengkujuh ini memerlukan perhatian dan tindakan yang sewajarnya dalam kalangan masyarakat Malaysia supaya tidak menjadi bulan kematian 'percuma' akibat daripada kelemahan kita memahami risiko bencana banjir.

Sehubungan itu, menjadi kewajipan seluruh masyarakat untuk bersiap siaga bukan sahaja bertujuan mengelakkan kematian semata-mata, tetapi juga untuk mengurangkan kerugian daripada aspek material.

Menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia di bawah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, bagi tempoh 2018 sehingga 2019, dianggarkan kerugian sekitar RM44 juta daripada sekitar 800 kejadian banjir yang melanda seluruh Malaysia dalam tempoh itu.

Laporan dan amaran daripada Jabatan Meteorologi Malaysia perlu diambil tindakan dan perhatian sehingga akar umbi supaya pencegahan awal dari semua peringkat lapisan masyarakat dapat mengurangkan kerugian kepada individu dan kerajaan.

Suatu langkah amaran yang dekat dengan masyarakat seperti amaran dan peringatan berkaitan risiko Covid-19 melalui telefon pintar perlu ditiru mekanisma pelaksanaannya supaya kesedaran masyarakat dapat ditingkatkan dan seterusnya mengurangkan kadar kerugian dan kematian akibat banjir.

Pada masa sama, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan mengawal anak daripada bermain di kawasan banjir.

Bencana yang berulang pada setiap tahun ini perlu ditangani dengan lebih sistematik dan dilatakan kepada seluruh masyarakat.

Walaupun kebajikan mangsa banjir diambil perhatian oleh kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan pelbagai badan sukarelawan (NGO) lain apabila berlakunya bencana banjir, implikasi negatif daripada kerosakan dan kos yang besar tetap ditanggung oleh negara.

Tidak dinafikan kerajaan sudah melaksanakan usaha seperti pembinaan terowong Smart bagi menyelesaikan isu banjir kilat di Kuala Lumpur namun masalah ini masih meruncing di kawasan pendalaman apabila tibanya musim tengkujuh.

Penyelesaian dari aspek teknikal yang membabitkan peruntukan kewangan yang tinggi seperti melebar dan mendalamkan sungai serta membina longkang banjir di kawasan pedalaman seluruh negara perlu dilakukan supaya kerugian yang besar saban tahun dapat dikurangkan pada masa depan.

Manakala dari aspek pencegahan awal, sehingga hari ini negara belum mempunyai sebuah pelan atau model pencegahan kelemasan yang holistik.

Keperluan pembangunan model pencegahan kelemasan sistematik yang memfokuskan penyelesaian dari akar umbi akan dapat membantu pihak keselamatan merangka pelan perancangan yang rapi dan tersusun seterusnya mengubah tabiat dan sosiobudaya masyarakat terhadap insiden kelemasan ketika bencana banjir.

Pencegahan melalui pendidikan di peringkat awal kanak-kanak dengan memfokuskan penguasaan kemahiran berenang, pemahaman berkaitan bencana banjir dan perubahan gaya hidup yang lestari alam akan mampu menurunkan tahap impak bencana dan statistik kelemasan pada masa depan.

Sehubungan itu, masyarakat Malaysia perlu berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing bagi memastikan bencana banjir tidak lagi menjadi musim korban nyawa.

Hakikatnya negara tidak akan dapat mengelak daripada berlakunya bencana banjir kerana ia adalah kitaran semulajadi, namun kita boleh mengurangkan kesan bencana banjir jika kita sanggup melakukan perubahan secara drastik supaya musim tengkujuh bukan lagi pembunuh pada hujung tahun.

Penulis Pengarah Pusat Kokurikulum Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 7:01 AM