GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Profesor Madya Dr Rasidah Hamid

Kuala Lumpur: Setiap tahun, pengangguran dalam kalangan siswazah menjadi antara isu yang diperbincangkan sama ada di pihak berkuasa mahupun pihak lain yang berkepentingan.

Ketika dunia sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19, kebolehpasaran graduan akan menjadi lebih sukar dan setiap graduan perlu merebut peluang pekerjaan yang semakin terhad. Berita penutupan operasi syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akibat pandemik Covid-19 yang bermula pada Mac 2020 amat membimbangkan dan sudah pasti menyumbang kepada pengangguran yang tinggi.

Penularan wabak yang berpanjangan pasti menimbulkan pelbagai implikasi negatif terhadap kerjaya bakal graduan.

Kini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sangat proaktif dalam mentransformasikan pendekatan lebih bersifat fleksibel dan entrepreneurial, serta menepati kehendak lokal dan bersifat global.

Ini bagi mewujudkan sistem pendidikan tinggi yang mampu melahirkan insan yang holistik, seimbang dan mempunyai minda keusahawanan yang berupaya bertindak sebagai penjana pekerjaan (job creator).

KPT menambah nilai sektor pendidikan tinggi negara seperti yang dihasratkan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT).

Pelan ini sangat signifikan dalam mendepani cabaran Covid-19 kerana ia berkait rapat dengan usaha memperkasa kualiti dan menyerlahkan lagi keterlihatan nilai keusahawanan graduan.

Sasarannya untuk mencapai matlamat menyemai minda keusahawanan dan mewujudkan ekosistem yang kondusif bagi melahirkan 'penjana pekerjaan' dan bukan saja 'pencari pekerjaan' dalam kalangan graduan.

Strategi keusahawanan tidak hanya kepada laluan akademik biasa tetapi juga kepada pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Tumpuan diberikan kepada keberhasilan melebihi input, di samping mengaplikasikan teknologi dan inovasi serta konsep pembelajaran bersepadu elemen keusahawanan.

KPT komited untuk menerapkan nilai-nilai dan kemahiran keusahawanan dalam kalangan pelajar IPT sama ada daripada kursus umum, kursus tujahan atau kursus kemahiran.

PROFESOR Madya Dr Rasidah Hamid
PROFESOR Madya Dr Rasidah Hamid

Ketetapan kandungan kurikulum boleh dibahagikan kepada tiga komponen utama iaitu komponen kesedaran, pembudayaan dan pengukuhan terhadap keusahawanan.

Malahan, KPT melalui Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sentiasa komited melaksanakan inisiatif di bawah job creator framework agar kadar kebolehpasaran graduan akan terus meningkat dari semasa ke semasa.

Aktiviti keusahawanan telah lama diakui sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi di samping bertindak sebagai penggerak utama dalam meningkatkan tahap inovasi, kreativiti dan daya saing sesebuah negara.

Menariknya, pelan ini dirangka khusus bagi melahirkan graduan yang holistik, berdaya keusahawanan, seimbang serta memperkasakan TVET (Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional).

Ketika

ini, penyertaan graduan yang menamatkan pengajian terbabit dalam bidang keusahawanan mencapai lima peratus. KPT optimis jumlah itu akan meningkat dan mencapai sasaran sepuluh peratus selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) menjelang 2025.

Hakikatnya pelajar perlu mengambil peluang dan memanfaatkan kursus keusahawanan yang ditawarkan dengan matlamat memberi nilai tambah bagi mencapai nilai komersial yang tinggi.

Justeru, perancangan tersusun dan pelaksanaan padu di peringkat IPT diharap berupaya mewujudkan ekosistem keusahawanan yang kondusif serta lestari.

Usaha ini menyeimbangkan nilai Keusahawanan dan Akademik graduan dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19.

Pelaksanaan berimpak tinggi dan bersasar ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 graduan pada 2021 hingga 2022 untuk menceburi bidang keusahawanan.

Penulis adalah pensyarah Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan

Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 11:10 AM