CHINA melarang penampilan lelaki berimej feminin seperti  lelaki memakai subang di telinga dalam acara awam.
CHINA melarang penampilan lelaki berimej feminin seperti lelaki memakai subang di telinga dalam acara awam.
Syarifah Dayana Syed Bakri


Imej sesebuah negara menjadi perkara utama yang perlu diambil berat dan ia boleh dilihat berdasarkan nilai budaya yang ditonjolkan rakyat negara berkenaan.

Elemen hiburan menjadi sebahagian budaya yang diterima masyarakat namun, sudah pasti ia bukan mewakili keseluruhan budaya masyarakat negara itu.

Berikutan itu, kerajaan China melalui Pentadbiran Televisyen dan Radio Nasional mengeluarkan lapan garis panduan yang antara lain menekankan keperluan untuk mengetengahkan budaya tradisional China.

Antara langkah yang ditekankan adalah media utama di China perlu memboikot selebriti lelaki yang berpenampilan feminin dalam usaha membersihkan industri hiburan daripada pengaruh negatif.

Akhbar South China Morning Post (SCMP) melaporkan, Beijing kini semakin kritikal terhadap trend semasa yang dilihat memberi ruang kepada lelaki feminin termasuk idola pop yang memakai alat solek atau lelaki yang tidak berpenampilan maskulin sebagaimana dalam budaya tradisional China.

Malah, ada pihak menyelar penampilan selebriti seumpama itu yang disifatkan sebagai ancaman terhadap nilai budaya tradisional.

Garis panduan itu juga menekankan keperluan untuk mengetengahkan budaya tradisional China, budaya revolusi dan sosialis serta perlu menampilkan standard kecantikan yang betul termasuk memboikot idola lelaki feminin dan selebriti internet biadab.

Walaupun dokumen itu mendapat sokongan banyak pihak namun ada yang menyifatkan ia hanya mengundang masalah dan diskriminasi terhadap mereka yang bersifat lembut secara semula jadi.

Seorang profesor di Universiti Hong Kong, Geng Song pula berpendapat bahawa lelaki feminin tidak dapat mempertahankan negara.

Selain penampilan di televisyen, imej lelaki kurang maskulin ini juga dilarang dipaparkan dalam permainan video.

AFP melaporkan pihak berkuasa China mengarahkan syarikat gergasi permainan Tencent dan NetEase untuk menghentikan tumpuan terhadap keuntungan dan menyekat imej watak lelaki yang dianggap sebagai 'lembut.'

Langkah itu adalah yang terbaharu oleh China untuk memperkukuh penguasaan mereka dalam sektor teknologi, yang menyebabkan saham di beberapa nama besar dalam industri itu merudum.

Menurut AFP, pegawai memanggil syarikat permainan termasuk Tencent dan NetEase, dua peneraju dalam dunia permainan bernilai berbilion dolar di China untuk berbincang lebih lanjut mengenai industri itu yang diarahkan untuk mengehadkan masa permainan hingga tiga jam seminggu.

Antara isu yang dibincangkan adalah imej watak lelaki dalam permainan dalam talian yang mendapat perhatian kalangan pemimpin Parti Komunis.

Pihak berkuasa meminta penyiar untuk menolak 'nilai yang tidak normal' seperti 'lelaki lembut' dan meminta pihak berkenaan menampilkan individu dengan penampilan lebih maskulin dan hukuman akan dikenakan ke atas syarikat yang melanggar peraturan.

Malah, pembangun permainan video perlu menghantar tajuk baharu sebelum dikeluarkan untuk kelulusan kerajaan selain perlu menghasilkan tema bersifat nasionalistik.

BBC melaporkan pada 2019 China mengambil langkah mengaburkan bahagian telinga selebriti lelaki yang mengenakan subang sekiranya mereka tampil dalam rancangan televisyen.

Malah, tatu dan ikatan rambut juga dikaburkan dari skrin.

Di China, homoseksualiti tidak menyalahi undang-undang namun pihak berkuasa tegas terhadap penapisan dan menyunting bahan berkaitan gay seperti dalam filem Bohemian Rhapsody.

The Diplomat melaporkan terdapat kebimbangan bahawa penekanan rasmi pada lelaki maskulin akan berubah menjadi tindakan rasmi terhadap kaum gay di China atas nama melindungi golongan muda, sebagaimana yang dilihat di Rusia.

China sudah mula menerapkan penapisan yang lebih ketat untuk LGBT dan istilah berkaitan di media sosial.

Awal musim panas ini, syarikat gergasi media sosial WeChat menghapuskan beberapa belas akaun rasmi kumpulan LGBT yang dikendalikan pelajar.

Di bawah peraturan sama China turut melarang penyiaran program realiti pencarian bakat yang disifatkan membawa pengaruh buruk kepada anak muda di negara itu.

Tindakan keras itu bagi mengekang budaya tidak bermoral yang boleh menyesatkan golongan muda.

Stesen penyiaran juga diarahkan menolak penyiaran estetika tidak normal seperti pempengaruh kurang sopan serta bintang yang moralnya rendah.

Pihak berkuasa China berusaha menerapkan nilai tradisional terhadap golongan lelaki di negara itu dengan meningkatkan penyediaan kelas gimnasium.

Mereka mengkritik penghibur lelaki yang mempamerkan penampilan dengan pengaruh dari Jepun dan Korea Selatan.

Langkah diambil China dianggap sedikit keras oleh segelintir pihak namun ia pasti membawa perubahan positif khususnya untuk golongan muda di negara berkenaan.


Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 6:00 AM