Pokok bunga hiasan spesis ‘ixora sunkist’ menjadi sasaran pencuri di Jalan Kuantan-Gambang, dekat Taman Tas, Kuantan. - Foto Asrol Awang
Pokok bunga hiasan spesis ‘ixora sunkist’ menjadi sasaran pencuri di Jalan Kuantan-Gambang, dekat Taman Tas, Kuantan. - Foto Asrol Awang
minda

Tindakan segelintir individu yang melakukan perbuatan vandalisme termasuk mencuri pokok bunga hiasan yang ditanam oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) disifatkan tidak beretika dan bertanggungjawab.

Perbuatan seperti itu sudah lama berlaku meskipun satu dunia berdepan fasa transformasi ketamadunan hidup bermasyarakat yang bertambah maju dari segi lahiriah dan rohaniah.

Sedang masyarakat satu dunia berdepan cabaran hidup yang getir disebabkan penularan wabak Covid-19, masih ada segelintir masyarakat yang tanpa rasa bersalah keluar rumah dan melakukan vandalisme.

Baru-baru ini, berlaku lagi kecurian pokok bunga hiasan yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab di Jalan Kuantan-Gambang, Kuantan, Pahang. Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) menganggarkan 150 pokok bunga hiasan spesies ixora Sunkist yang ditanam bertujuan mengindah dan menceriakan jalan sudah dicuri. Kecurian pokok bunga hiasan sering berlaku di sekitar bandar ini dan dianggarkan kerugian mencecah RM50,000 setahun. Sebelum ini, sebanyak empat unit lampu hiasan yang baru sahaja dipasang dengan kos keseluruhan RM3,000 dicuri di Kuantan.

Vandalisme dan kecurian ini bukan sahaja berlaku di Kuantan, malah banyak lagi kes seperti ini dikesan di beberapa kawasan PBT seperti di Kuala Lumpur, Kuching dan sebagainya.

Terdapat banyak faktor terjadinya masalah vandalisme ini. Secara rasionalnya, kes kecurian harta benda awam berlaku disebabkan oleh kesempitan hidup si pelaku yang memungkinkan mereka untuk menjual harta-harta awam itu bagi mendapatkan wang.

Ada juga pihak yang mencuri harta benda awam untuk kegunaan mereka di rumah dan bukannya untuk menjual barangan itu. Disebabkan sifat manusia itu pelbagai, ada juga sebilangannya yang melakukan vandalisme untuk berseronok dan ingin melakukan sabotaj terhadap kerajaan.

Kesan vandalisme ini tidak harus dipandang enteng kerana ia membabitkan perbelanjaan kerajaan yang kebanyakannya disumbangkan oleh rakyat melalui sistem percukaian. Pihak PBT terpaksa menanggung kos pembelian pokok bunga hiasan baru bagi menggantikan pokok bunga yang dicuri. Kos ini
juga membabitkan kos penyelenggaraan yang dibazirkan dek kerana kegiatan yang tidak beretika itu.

Hakikatnya, peruntukan kewangan yang dibazirkan ini sepatutnya boleh digunakan untuk membiayai kos operasi dan pembangunan yang lain di dalam kawasan PBT berkenaan. Selain itu, pokok bunga yang dicuri itu boleh mencacatkan pemandangan alam sekitar yang selama ini bertindak sebagai alat untuk menceriakan persekitaran.

Perbuatan sebegini juga boleh menimbulkan persepsi buruk kepada pelancong yang melancong di negara ini. Mereka mungkin beranggapan bahawa mentaliti rakyat Malaysia masih lagi ketinggalan dan belum bersedia untuk menjadi sebuah negara yang maju.

Sememangnya tugas PBT sekarang semakin mencabar dengan ledakan teknologi maklumat, revolusi perindustrian 4.0 dan ditambah pula penularan kes wabak Covid-19 yang semakin tinggi. Namun, peranan hakiki seperti memperindahkan kawasan bandar perlu juga dititikberatkan. PBT dipertanggungjawabkan untuk memastikan kawasan pentadbirannya berada dalam keadaan yang cantik, bersih dan mampu memberikan keselesaan kepada penduduk.

Selain mencantikkan landskap di sesebuah kawasan PBT, penanaman pokok bunga juga bertujuan mendidik masyarakat mencintai keindahan dan dalam masa yang sama mampu menarik pelancong. Untuk mencapai hasrat yang diinginkan, masalah vandalisme harus dibanteras secara tuntas.

Undang-undang kecil berkaitan vandalisme yang dikuatkuasakan oleh pelbagai PBT tidak mencukupi bagi menangani masalah itu. Setakat ini, Undang-undang Kecil Vandalisme (MPK) 1994 menetapkan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya bagi pelaku yang didapati bersalah melakukan vandalisme.

Hukuman yang lebih berat harus dikenakan terhadap pelaku supaya perkara sebegini tidak berulang lagi. Denda sedia ada mungkin boleh disulami dengan pelaksanaan hukuman khidmat masyarakat. Malah, PBT juga boleh memikirkan cara seperti menggunakan sistem name and shame di mana nama dan maklumat si pelaku dimuat naik ke dalam laman web PBT.

Hukuman sama juga perlu dikenakan terhadap individu yang bersubahat dengan si pelaku seperti pengusaha kedai bunga yang sanggup membeli pokok hiasan dari si pelaku dengan harga yang murah. Pemahaman mengenai hukuman baharu yang bakal diperkenalkan perlulah dilakukan secara menyeluruh bagi memastikan hukuman itu mampu bertindak sebagai alat pencegahan jenayah dan bukannya bertujuan menghukum pesalah semata-mata.

Oleh itu, PBT juga boleh menubuhkan skuad yang dikhususkan untuk memantau dan menguruskan perihal vandalisme di kawasan masing-masing. Skuad yang akan ditubuhkan itu perlu mendapatkan kerjasama komuniti setempat dan NGO supaya pemantauan dapat dijalankan secara menyeluruh dan pada masa sama mengangkat usaha ke arah mencapai matlamat Local Agenda 21 (LA21).

Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) juga dirasakan perlu bagi membantu pihak berkuasa mengenalpasti si pelaku vandalisme terbabit. Justeru, usaha mengekang aktiviti vandalisme ini akan menjadi lebih mudah jika komuniti setempat bersikap prihatin dan cakna dengan kebertanggungjawaban bersama dalam menjaga harta awam.

Dalam konteks ini, mereka perlu mengamalkan sikap tegur-menegur jika mendapati ada pihak yang cuba melakukan perbuatan vandalisme. Laporan bergambar perlu dihantar kepada PBT dan polis supaya siasatan dan tindakan segera dapat dijalankan. Apa-apa pun, penghargaan perlu diberikan kepada PBT yang berusaha bersungguh-sungguh mencantikkan bandar yang akhirnya memberikan keselesaan dan kesejahteraan buat masyarakat setempat.

Penulis Pensyarah Dasar Awam Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Kampus Raub Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 7:00 AM