GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
ASP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

"Hoi slow sikit lah, anak aku nak tidur ni." Pekik Mamat kepada jiran sebelah rumahnya, Dollah apabila Dollah menyanyi korus lagu Ukiran Jiwa dendangan Awie di set karaoke di rumahnya di kawasan perumahan kos rendah.

Dollah bergegas memperlahankan televisyennya. Baik Mamat atau Dollah, mereka sudah tepu duduk di rumah pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dan sudah tidak tahu apa lagi nak dibuat.

Duduk sudah, berdiri sudah, tidur sudah, habis semua kerja dibuatnya. Begitu juga Senah isteri Dollah yang sudah menskrol TikTok melayan marah komen pendakwah terkenal berkrisis dengan Mamat Rapper dan tokoh usahawan kosmetik memberi ceramah kepada seorang gelandangan. Di sudut hadapan rumah, Hussin yang bekerja sebagai pengawal keselamatan pasar raya bercerita kepada Jusoh berkaitan pekerjaannya.

Dia menceritakan kisah tindakan menangkap tidak kurang 25 orang sehari kerana mencuri bahan makanan seperti ayam, ikan dan lain-lain dengan menyembunyi dalam baju dalam pasar raya itu.

Begitu tertekan dilihat orang sekarang akibat PKP dan pandemik Covid-19. Ramai tidak lagi bekerja dengan ekonomi tidak menentu pada musim paling sukar sekarang ini. Kesukaran amat dirasakan bukan kepada semua penama yang disebutkan di atas sahaja, tetapi ramai lagi rakyat Malaysia sekarang ini.

Pun begitu pada zaman amat sukar ini, ada pihak mengambil kesempatan turun berhimpun membuat bantahan kononnya untuk menunjukkan kepada masyarakat yang kerajaan gagal.

Geng baju hitam pula menonjolkan diri tanpa mempedulikan prosedur operasi standard (SOP) dan arahan kerajaan dengan berkumpul dan berhimpun melaungkan entah apa yang cuba disampaikan dengan agenda tersendiri.

Entah apa hendak jadi sekarang kerana ketika kerajaan berusaha bersungguh-sungguh untuk melawan Covid-19 ini dan keperitan amat dirasakan rakyat, ada pihak menjadikan pandemik ini sebagai agenda untuk memenuhi hasrat peribadi atau politik mereka.

Dalam penulisan kali sempena Hari Kebangsaan, saya ingin mengulas mengenai kemerdekaan dan polemik dalam pandemik Covid-19 serta kesannya terhadap individu dan masyarakat.

Hakikatnya, kita harus bersyukur apabila kita sekeluarga masih boleh bernafas dan meneruskan hidup dalam keadaan begitu sukar ini kerana ramai sudah kecundang dengan makan tidak menentu dan keadaan hidup amat perit dalam menempuhi suasana genting ini.

Ramai seakan sudah berputus asa untuk meneruskan kehidupan. Apa yang perlu kita masukkan ke dalam jiwa dan fikiran sedang mengalami kesusahan sekarang ini adalah aura positif supaya ia dapat menyerap jiwa dengan berfikiran tenang dan sabar.

Jangan kata saya kerja kerajaan, cukup bulan dapat gaji, senanglah nak bercakap manakala mereka yang kerja bergaji hari pula sukar meneruskan hidup. Kerajaan sememangnya amat peka dan sensitif akan perkara ini.

Sasaran 80 peratus penduduk mendapat suntikan vaksin akan dicapai dalam masa terdekat, jadi kita sama-sama bersabar dan berusaha sebaik mungkin untuk meneruskan kehidupan walau sesukar mana pun. Insya-Allah, kita akan mengecap kebahagiaan dalam tempoh terdekat dengan syarat terus bersabar dan berfikiran positif untuk menyerap aura positif ke dalam jiwa kita.

Bagaimanakah kita hendak menyerap aura positif supaya jiwa kembali tenang dalam menguruskan keadaan sukar? Beberapa saranan boleh dibuat individu untuk menguruskan dan meneruskan kehidupan ini.

• Menghargai diri sendiri dan kehidupan perlu diteruskan. Fikirkan kita sudah mempunyai keluarga bahagia di saat ini dan akan datang, sebarang rintangan adalah perkara ringan bagi kita.

• Tonjolkan kelebihan diri dengan melakukan perkara dan berfikiran positif.

• Tenang dalam berfikiran dan membuat keputusan dengan hati yang damai, tulus dan ikhlas.

• Pelbagaikan aktiviti kehidupan dengan maksud penuhi ruang ada dengan melakukan perkara bermanfaat atau sempurna tidak kira walaupun ia cuma menanam sayur di hadapan rumah.

• Sentiasa senyum, ramah, santun, berbudi bahasa, ceria dan berbaik sangka. Insya-Allah, kita dapat melakukan perkara di atas yang akan dapat menyerap aura positif ke dalam jiwa walau sesukar mana pun keadaan.

• Jangan mencampuri urusan orang lain dalam hidup kita. Uruskan keluarga kita dalam lingkungan pagar rumah sahaja agar fikiran tidak bertambah dengan beban yang ada.

Namun, jika jiran sedang berdepan masalah dan kesusahan, kita harus membantu mereka.

Jika saranan di atas dipraktikkan, nescaya kita dapat mengecapi kemerdekaan sempurna dalam diri dan kemerdekaan dalam situasi pandemik Covid-19 ini.

Merdeka dalam situasi sekarang tidak sama dengan 31 Ogos yang biasa kita sambut saban tahun sebelum ini. Corak pemikiran merdeka di zaman Covid-19 dan waktu sukar ini mesti seiring. Corak pemikiran atau mindset bermula daripada akal akan menghasilkan tindakan selari mengikut apa difikirkan.

Jika kita sentiasa berfikiran positif dan baik, Insya-Allah akan membuka pintu kecemerlangan dan peluang kejayaan akan semakin menghampiri kita. Inilah yang akan membebaskan diri kita daripada segala bentuk halangan yang sebenarnya bermula dari dalam minda kita sendiri!

Ubah pemikiran, bererti anda bakal mengubah kehidupan. Buanglah prasangka buruk terhadap kemampuan diri dan orang sekeliling kita kerana ini akan mempengaruhi emosi secara tidak langsung. Pesaing dan halangan sebenar-benarnya adalah diri kita sendiri bagi mencapai cita- cita.

Oleh itu, kita perlu jelas dengan apa yang ingin dicapai dalam tempoh terdekat dan pada masa depan.

Sematkan dalam minda dan percayalah tindakan yang dilakukan serta kawal emosi dengan bijak. Jika kita sering bermain dengan emosi dan membesarkannya, sukar untuk berkembang dan berjaya.

Ingatlah, pemenang adalah mereka yang benar-benar mahukan kejayaan dan memberikan 100 peratus usaha supaya impian menjadi kenyataan. Insya-Allah, sama-sama berdoa supaya Covid-19 ini terhapus. Selamat menyambut Hari Kebangsaan ke-64 bertemakan Malaysia Prihatin.

Penulis Ketua Polis Balai Nusa Bestari

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 6:00 AM