GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Saipul Adli Mohamad

PADA 17 Ogos lalu, saya melengkapkan dos kedua vaksin AstraZeneca (AZ) bersama isteri selepas kami mendapatkan dos pertama pada 15 Jun dengan tempoh senggang dua bulan.

Saya mendapat slot itu apabila 'berebut' lebih sejuta dos AZ ditawarkan secara sukarela pada 26 Mei lalu yang pada awalnya disediakan kepada golongan berusia 60 tahun ke atas.

Bukan mudah untuk mendapatkan slot dan saya yang pada mulanya menggunakan komputer, beralih menggunakan telefon bimbit apabila ada masalah ketika mahu membuat pengesahan negeri.

Nasib saya baik apabila dapat mendaftar untuk diri sendiri serta isteri dan tarikh 15 Jun dipilih untuk janji temu dos pertama sempena hari lahir saya.

Ramai rakan gagal mendapat slot itu kecewa dengan sistem digunakan kerana mereka berebut mahukan vaksin berikutan kes Covid-19 semakin meningkat.

Beberapa hari sebelum mendapat suntikan dos pertama itu, saya melihat keadaan orang ramai terutama peminat bola sepak di negara Eropah yang terlebih dahulu melengkapkan dua dos suntikan vaksin.

Walaupun dari jauh dan hanya melalui media, agensi berita antarabangsa serta kaca televisyen, saya dapat melihat suasana di 11 bandar tuan rumah Kejohanan Eropah (Euro 2020) itu apabila ditugaskan membuat terjemahan berita mengenai kejohanan berkenaan.

Bertugas dari 7 malam hingga 3 pagi selama sebulan ketika Euro 2020, dapat saya selami suasana perlawanan di Amsterdam, Baku, Bucharest, Budapest, Copenhagen, Glasgow, London, Munich, Rom, Seville dan Saint Petersburg.

Jika kita terkurung dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN), memang terkejut melihat Puskas Arena di Budapest dipenuhi 55,000 penonton pada aksi Kumpulan F antara Hungary dan juara bertahan iaitu Portugal.

Sama seperti stadium di negara lain, warga England tidak takut Covid-19 selepas mendapat dua dos vaksin walaupun hanya sebahagian masuk ke Stadium Wembley dan selebihnya menyaksikan perlawanan di bar atau kafe.

Ada ura-ura mahu memindahkan aksi final ke Itali kerana bimbang dengan varian Delta yang dikatakan bermula di India mula mengancam England.

Tetapi, ia tidak direalitikan dan dua aksi separuh akhir serta final diadakan di Stadium Wembley, yang menyaksikan Itali menewaskan England menerusi sepakan penalti untuk muncul juara Euro 2020.

Aksi Liga Perdana Inggeris yang memasuki minggu kedua menyaksikan penonton dibenarkan kembali ke stadium selepas musim 2019/20 dan 2020/21 yang membosankan tanpa penonton atau penonton terhad berikutan Covid-19.

Di Malaysia, Program Imunisasi Covid-19 (Pick) yang dilancarkan 24 Februari 2021 semakin rancak dan mula menampakkan hasil.

Sehingga 22 Ogos lalu, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) melaporkan 55.6 peratus atau 13,022,246 populasi dewasa di negara ini sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin dan 18,258,947 individu sudah menerima dos pertama, menjadikan kumulatif pemberian vaksin menerusi Pick mencecah 31,281,193 dos.

Nada orang ramai di media sosial berubah selepas banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka di seluruh negara selain menawarkan suntikan walk in.

Jika dulu ramai merintih gagal dapat janji temu, kini semakin ramai memuat naik di Facebook rasa lega apabila mendapat suntikan dos pertama dan kedua.

Peningkatan kes baharu melebihi 20,000 selama tiga hari berturut-turut minggu lalu menunjukkan sebahagian besar pesakit tiada sejarah vaksinasi atau baru mendapat satu dos.

Pada 18 Ogos, 22,242 kes baharu direkodkan iaitu 430 kes (1.9 peratus) membabitkan kategori tiga, empat dan lima manakala 21,812 kes (98.1 peratus) kategori satu dan dua dan secara keseluruhan, 18,631 kes (83.8 peratus) daripada jumlah kes itu tiada atau tidak lengkap vaksinasi.

Pada 19 Ogos, 22,948 kes baharu direkodkan dan mencatatkan kes sembuh tertinggi iaitu 21,720 kes manakala 178 kes kematian dilaporkan.

Daripada 22,948 kes baharu itu, 457 kes (2.0 peratus) adalah kategori 3, 4 dan 5, manakala 22,491 kes (98.0 peratus) daripada kategori 1 dan 2 dan secara keseluruhan, 17,981 kes (78.4 peratus) daripadanya tiada atau tidak lengkap divaksinasi.

Ramai terkejut pada 20 Ogos lalu apabila 23,564 kes baharu Covid-19 direkodkan iaitu yang tertinggi sejak pandemik melanda negara kita, menjadikan 1,513,024 kes kumulatif.

Daripada 23,564 kes itu, 431 kes (1.8 peratus) membabitkan kategori 3, 4 dan 5 manakala 23,133 kes (98.2 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2 dan secara keseluruhan, 19,362 kes (82.2 peratus) daripadanya tiada atau tidak lengkap vaksinasi.

Buat pertama kalinya pada 23 Ogos, kes sembuh melebihi kes positif selepas situasi itu kali terakhir dilaporkan pada 25 Jun 2021 apabila 19,053 kes sembuh direkodkan dan 17,672 baharu dengan 174 kes kematian.

Daripada 17,672 kes itu, 436 kes (2.5 peratus) adalah kategori 3, 4 dan 5 manakala 17,236 kes (97.5 peratus) terdiri daripada kategori 1 dan 2 dengan 14,337 kes (81.13 peratus) tiada atau tidak lengkap vaksinasi.

Data harian itu boleh dijadikan panduan mengenai kepentingan vaksin dan penolakan terhadap vaksin memberi risiko kesihatan, malah aspek lain turut terjejas.

Misalnya, pada 23 Ogos, Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan seorang anggotanya diberhentikan kerja kerana menolak vaksin Covid-19.

TDM menyatakan setiap anggotanya wajib mengambil suntikan itu, terutama sebelum melaksanakan penugasan dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tatatertib.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pula akan menerima menghadap Pengarah Pendidikan Negeri dan 779 guru dilaporkan menolak menerima vaksin, pada 27 Ogos ini.

Perlu diingat, yang sudah lengkap vaksinasi masih boleh dijangkiti Covid-19, namun vaksin mengurangkan komplikasi dan mengelak berada di kategori 4 atau 5.

Jadi, marilah kita mengambil vaksin sebagai perisai melindungi diri, keluarga, masyarakat serta negara. Ia adalah ikhtiar pada ketika kematian sudah tertulis dan dijanjikan tidak akan tercepat atau terlambat, walau sesaat.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 5:59 AM