SEARCH pada era kegemilangan mereka.
SEARCH pada era kegemilangan mereka.
Riadz Radzi

Dakwaan bekas penyanyi Search, Amy; pemain bass, Nasir Daud dan waris Allahyarham pemain dram, Yazit Ahmad terhadap pemain gitar Search, Noordin dan Kid serta pemilik syarikat Home Of Champions, Mozylir Mokhtaruddin berhubung penggunaan nama Search untuk mengaut keuntungan dengan penjualan pakaian dan aksesori di atas nama Search tanpa kebenaran mereka, baru-baru ini menarik perhatian ramai dalam industri muzik terutama peminat kumpulan rock legenda itu.

Isu ini mungkin agak basi untuk diulas, namun ia masih menjadi buah mulut di alam siber dalam kalangan peminat Search.

Pada 21 Mei lalu, Amy bersama Nasir dan anak lelaki Yazit, Shahmirnuri dalam satu sesi media menerusi Instagram Live memberi tempoh tujuh hari terhadap pihak terbabit menghentikan aktiviti perniagaan itu dan akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya gagal berbuat demikian.

Bagaimanapun, Mozylir dan Noordin bertegas meneruskan perancangan yang diatur membabitkan kumpulan legenda itu.

Operasi perniagaan pakaian dan aksesori juga diteruskan di beberapa platform media sosial antaranya Facebook, Instagram dan laman web.

Selain itu, Noordin dan Kid bersama penyanyi, Akim Ahmad, Pae (dram) dan Galang (bass) juga akan meneruskan perancangan Konsert Unplugged Search 40 Years anjuran COF Music yang dijangka berlangsung September ini.

Kini, selepas lebih sebulan isu terbabit 'panas', belum nampak ia akan 'dipanjangkan' ke peringkat lebih tinggi lagi.

Noordin berkata, selepas dia bersama Mozylir mengadakan sidang media pada 28 Mei lalu, mereka tidak menerima sebarang surat tuntutan daripada pihak terbabit kecuali notis kenyataan media yang turut diberikan kepada pihak media sebelum ini.

Nasir pula ketika dihubungi wartawan baru-baru ini berkata, pihaknya dinasihatkan peguam supaya tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung isu itu.

Menurut Noordin, perancangan Konsert Unplugged Search 40 Years pada September ini tetap akan diteruskan walaupun berdepan dengan isu ini.

"Konsert tetap akan jalan. Saya sebagai anggota Search ada hak untuk meneruskan kesinambungan muzik Search. Kami ada hak untuk menggunakan siapa saja sebagai penyanyi memandangkan penyanyi asal sudah berundur.

"Kami tak boleh batalkan begitu saja. Banyak pihak sudah memberi komitmen di samping peluang pekerjaan yang diberikan. Jadi, ia perlu diteruskan," katanya.

Noordin turut menafikan dakwaan pihak tertentu mengatakan nama Search sudah didaftarkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan ia adalah milik lima anggotanya iaitu Amy, Nasir, Noordin, Kid dan Yazit.

"Mustahil nama Search sudah didaftar di bawah MyIPO. Kalau ada, kenapa saya tidak pernah dipanggil atau dimaklumkan mengenai perkara itu? Untuk tujuan itu, semua lima anggota Search perlu hadir, tapi saya dan Kid memang tak pernah dimaklumkan apa-apa. Jadi, isu larangan penggunaan nama Search tidak sepatutnya timbul," katanya.

Difahamkan, hanya Amy yang mendaftarkan namanya di bawah MyIPO menggunakan nama Amy Search.

Itulah Search. Kumpulan rock legenda tanah air yang disayangi ramai peminat setianya ini tidak sunyi dengan kontroversi sejak awal kemunculan mereka lagi.

Berdasarkan situasi ini, reaksi peminat Search di media sosial rata-ratanya tidak mahu Search berkubur. Mereka masih rindukan persembahan dan lagu-lagu Search.

Walaupun ramai dilihat memihak kepada Noordin dan Kid serta 'menghentam' Amy dan Nasir, namun kebanyakannya tetap mahukan Search seperti yang mereka minati sejak dulu.

Secara peribadi, saya merasakan isu ini sepatutnya tidak perlu dihebahkan di media sosial apatah lagi hingga ke mahkamah, ia lebih kepada masalah adik-beradik dan boleh diselesaikan dengan duduk berbincang.

Namun, persoalannya bolehkah mereka berbincang? Beberapa hari selepas Noordin mengadakan sidang media, dia dihubungi Datuk M Nasir, penerbit yang sinonim dan cukup rapat dengan mereka.

Difahamkan, ia antara usaha 'memujuk' untuk kumpulan ini kembali berbaik semula.

Sama ada ia berjaya atau tidak, tidak dapat dipastikan. Noordin dan Kid pula seperti sudah tawar hati seolah-olah sudah lama 'memendam rasa'.

Jika mereka berfikir demi kerjaya dan peminat, peribahasa buang yang keruh, ambil yang jernih mungkin boleh diguna pakai oleh Search.

Namun jika sebaliknya, hanya kuasa Allah SWT yang boleh menentukan.

Penulis Pengarang Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 7:00 AM