FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
ASP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Terkesan betul mendengar tagline ni, 'Tak handsome tak apa, janji kaya' yang sering diucapkan tokoh usahawan saham tanah air. Ada kawan saya bertanya, "habis aku ni dah lah tak hensem dan tak kaya ni, macamana."

Aduhai, ditanya kenapa jadi begitu, kamu ikutlah cakap tokoh itu dan belajarlah, jangan asyik mengelamun dan berangan sambil menoreh getah di kampung untuk jadi kaya dan doa sesat minta kena nombor ekor.

Dijawabnya pula, dia tiada modal untuk belajar saham dan keadaan di kampung liputan Internet tidak berapa bagus. Ada saja alasan apabila orang tidak mahu berusaha.

Berusaha bukanlah untuk menjadi kaya sahaja dengan niat dan teruskan komitmen untuk sedikit maju daripada keadaan sekarang sudah cukup. Memanglah semua orang berangan dan bercita-cita mahu menjadi kaya dan bergaya, tetapi tidak semua mampu mencapainya.

Semua orang bermimpi untuk menjadi kaya dan sentiasa berimaginasi mengenai apa yang mereka akan buat jika mereka seorang jutawan. Tapi sayangnya, tidak semua tahu strategi bagaimana hendak menjadi kaya.

Adakah perlu untuk lahir daripada keluarga kaya untuk menjadi kaya? Sama seperti pergi belajar di kolej atau berbisnes, semua memerlukan strategi dan langkah betul untuk berjaya. Perjalanan untuk menjadi kaya bukan satu jalan lurus. Sama seperti perjalanan ke destinasi, melalui lebuh raya pun ada liku-likunya, kadangkala trafik sesak, ada yang kemalangan.

Beberapa persoalan sering terlintas di pemikiran kita. Misalnya: 'Mengapakah ada orang lahir miskin dan ada pula dilahirkan dalam keluarga kaya?' Benarkah seseorang yang kaya itu adalah disebabkan tuah dan orang miskin jadi miskin disebabkan takdir?

Benarkah bahawa untuk menjadi kaya kita perlu belajar daripada mereka yang kaya? Kaya atau miskinnya seseorang itu, telah ditentukan Allah SWT.

Namun, tidak salah untuk kita melihat, belajar dengan mencontohi kejayaan mereka yang kaya agar nasib diri kita berubah kepada lebih baik. Dalam al-Quran sendiri menyebut bahawa, tidak akan diubah nasib sesuatu kaum itu, sekiranya mereka tidak merubahnya sendiri.

Jadi, mari kita selami bagaimana cara orang kaya berfikir? Bagaimanakah minda orang kaya berfikir? Jika dikaji pemikiran orang kaya di dunia seperti Bill Gates, Warren Buffett atau di Malaysia, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary kita akan dapat melihat ciri-ciri dan sifat peribadi berbeza berbanding orang biasa.

Antaranya:

• Suka berniaga atau usahawan semula jadi. Hampir semua orang kaya memiliki perniagaan sendiri kecuali mereka yang mewarisi kekayaan keluarga. Dalam sejarah, hampir tidak pernah berlaku orang makan gaji menjadi kaya raya. Jadi jika mahu menjadi kaya, anda perlu memulakan perniagaan sendiri. Orang kaya ada kalanya melakukan multi tasking dalam kehidupan sehariannya, maksudnya melakukan lebih daripada satu kerja pada satu masa!
• Berpandangan jauh dan mempunyai visi. Orang kaya percaya untuk menjadi kaya mereka perlu berpandangan jauh. Mereka ada matlamat hidup, tidak kira sama ada matlamat jangka panjang dan jangka pendek. Bagi mereka, kekayaan bukanlah sesuatu yang perlu ditunggu atau diberikan pihak lain, tetapi diraih dengan perancangan yang baik.
• Sukakan duit: Sifat orang kaya memang sukakan duit, namun bagi mereka wang bukanlah segala-galanya. Mereka tahu tiada batasan had kekayaan apabila bekerja sendiri berbanding kerja makan gaji. Mereka menghargai duit dan belajar untuk meningkatkan jumlah duit itu dan percaya wang dan kekayaan perlu untuk mencapai tujuan hidup. Dalam erti kata lain, dengan wang dimiliki boleh meningkatkan taraf hidup, taraf kesihatan dan kualiti kebahagian mereka miliki.
• Tidak menganggap duit sebagai punca kejahatan: Bagi mereka dengan mempunyai banyak wang, akan dapat mengelakkan mereka daripada terjerumus ke dalam masalah akibat tidak memiliki duit seperti merompak, membunuh dan mencuri.
• Orang kaya suka menyimpan. Mereka sentiasa menyimpan sekurang-kurangnya 50 peratus hasil pendapatan mereka. Oleh itu, jika ingin keluar dari kemiskinan maka anda perlu berusaha untuk lebih banyak menyimpan.
• Orang kaya selalu membuat pelaburan untuk menggandakan kekayaan. Wang menghasilkan wang! Kebiasaannya orang kaya akan faham bahawa wang yang diperoleh daripada keuntungan perniagaan bukanlah untuk dibelanjakan melainkan untuk diproduktifkan sehingga kembali menghasilkan wang.

Mereka akan melaburkan duit dimiliki dan berusaha melaburkan semula keuntungan perniagaan untuk mengembangkan perniagaan mereka, menambah pelaburan emas, perak, amanah saham dan pasaran saham dengan harapan agar duit ini akan berganda menjadi lebih banyak pada masa hadapan.

Bagaimanapun, apa saja bentuk pelaburan adalah berisiko tinggi. Anda perlu belajar untuk melaburkan duit dimiliki, tanpa ilmu pengetahuan anda mungkin akan mengalami kerugian dalam pelaburan dilakukan.

Warren Buffet pernah berkata, jangan melabur jika anda tak tahu apa yang anda lakukan. Islam menggalakkan umatnya untuk menjadi kaya dengan meletakkan pelbagai garis panduan dan tatacara untuk seseorang itu menjadi kaya.

Misalnya, gemar menolong orang lemah, baik dalam bentuk fizikal atau material. "Tidaklah kalian semua diberi pertolongan dan diberikan rezeki melainkan kerana orang lemah di antara kalian." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Pada masa sama, Islam menggalakkan umatnya bersilaturahim. Tawakal kepada Allah SWT terhadap apa yang telah kita usahakan dalam mencari rezeki.

Jadi, kesimpulannya penulis seorang anggota keselamatan bercerita dan menulis bagaimana hendak menjadi kaya. Sudah termaktub dan terbukti, makan gaji tidak akan menjadi kaya. Tetapi, kita seharusnya bersyukur masih mempunyai kerja walau tidak kaya.

Penulis Ketua Polis Balai Nusa Bestari, IPD Iskandar Puteri, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 7:52 AM