GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Boleh dikatakan aplikasi video TikTok adalah antara platform media sosial yang popular masa kini, bukan sahaja dalam kalangan generasi muda, orang dewasa tetapi juga kanak-kanak.

Aplikasi berkenaan pada mulanya dikenali sebagai 'Douyin' yang bermaksud video pendek dan apabila ia semakin popular, ia diberi nama baharu iaitu TikTok . Diberikan secara percuma, ia digunakan untuk menonton dan memuat naik video berdurasi 60 saat dari semua perkara (tarian, pergerakan bibir, video haiwan lucu) .

Halaman "For You" ("Untuk Anda") disusun untuk setiap pengguna, berdasarkan minat yang dinyatakan serta pengguna boleh mengikuti, memberi komen dan menyukai setiap video.

Cuma yang menjadi persoalan, sejauh mana aplikasi ini selamat untuk kanak-kanak memandangkan ia tidak mempunyai batas sempadan dan sesiapa sahaja bebas untuk melihat apa yang dimuatkan dalam aplikasi tersebut tanpa sebarang sekatan.

Memandangkan ia semakin menjadi pilihan kanak-kanak di Malaysia seawal usia empat tahun, Bernama mendapatkan penjelasan daripada Pensyarah Perubatan & Pakar Psikiatri, Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), Universiti Putra Malaysia iaitu Dr Ruziana Masiran untuk mengupas perkara ini.

"Pengguna yang berusia di bawah 13 tahun boleh melihat versi TikTok yang ditapis, tetapi ada yang bimbang kanak-kanak mungkin berbohong tentang umur mereka mereka untuk melihat kandungan yang tidak ditapisr. Tambahan pula, pandemik Covid-19 menjadi penyebab berlakunya peningkatan jumlah pengguna TikTok kerana mereka berada di rumah sepanjang masa," katanya.

Menurut Dr Ruziana menerusi sumber dari Global Web Index, sehingga Februari 2020, dianggarkan TikTok memiliki 800 juta pengguna aktif diseluruh dunia dan di Amerika Syarikat sahaja pada tahun 2020, penggunaan TikTok meningkat dua kali ganda kepada 82 minit sehari pada bulan Februari berbanding 38 minit pada bulan Mei 2019.

"Data tersebut juga menunjukkan 90 peratus pengguna TikTok mengunjungi aplikasi lebih dari sekali sehari. Rata-rata masa yang dihabiskan dalam aplikasi, menurut TikTok, hampir 5 minit, iaitu lebih lama daripada Snapchat dan Instagram.

"Walaupun 41 peratus pengguna TikTok di seluruh dunia berumur 16 hingga 24 tahun, sepertiga daripada pengguna TikTok di Amerika Syarikat berumur 14 tahun ke bawah," jelasnya.

Gadai privasi kanak-kanak

Kanak-kanak berumur empat hingga 15 tahun yang menggunakan TikTok menghabiskan purata 80 minit sehari di TikTok, berbanding dengan 85 minit sehari menonton video di YouTube.

Menurut Dr Ruziana, maklumat berkenaan berdasarkan data dalam laporan tahunan oleh Qustodio (aplikasi kawalan keibubapaan berpangkalan di Barcelona, Sepanyol), daripada 60,000 keluarga dengan anak-anak berusia 4-14 tahun di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Sepanyol.

Beliau menegaskan, biarpun TikTok memberi peluang kepada kanak-kanak dan remaja mezahirkan ekspresi kreatif menggunakan kerangka yang mudah dengan pengguna mempunyai akses percuma untuk penyuntingan video, audio dan gambar yang serupa dengan alat profesional, namun medium sosial ini perlu dilihat lebih meluas lagi dengan kesan berpanjangan dari sudut negatif.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penggunaan TikTok mengundang bahaya kepada kanak-kanak kerana kelompok ini berpotensi terkena Pemangsa Seksual atau Pengantunan Seksual.

"Walaupun platform ini berusaha keras untuk mengurangkan risiko pemangsa seksual dalam kalangan anak-anak di bawah umur, masalah ini masih berleluasa di TikTok. Contohnya, individu dewasa boleh menghantar mesej dan gambar berbentuk seksual kepada kanak-kanak. Terdapat banyak kejadian di mana ibu bapa harus melaporkan tingkah laku pemangsa kepada polis," katanya.

Menurut beliau lagi, lebih membahayakan pengunaan TikTok boleh memudaratkan privasi di mana aplikasi tersebut boleh menggadai privasi kanak-kanak, remaja serta keluarga mereka.

"Contohnya, apabila anak-anak membuat video di rumah mereka, mereka mendedahkan ruang privasi di dalam rumah, berkongsi lokasi, mempamerkan kereta ibu bapa mereka dan mempamerkan nombor plat kenderaan. Akibatnya, pihak tidak bertanggungjawab boleh mengambil peluang atas maklumat-maklumat peribadi sebegini dan pelbagai ugutan, jenayah siber, mahupun jenayah secara fizikal boleh berlaku.

"Kanak-kanak dan remaja juga boleh terdedah kepada komen negatif di ruang TikTok, sama seperti di platform media sosial yang lain. Semakin banyak pengguna sesuatu platform media sosial itu, lebih besar peluang untuk menerima komen negatif dan ini boleh memberi kesan buruk terhadap harga diri dan keyakinan seseorang kanak-kanak dan remaja," jelasnya.

Boleh ketagihan

Memandangkan aplikasi TikTok mempunyai bahan "aliran tanpa henti" , pelajar (kanak-kanak dan remaja) cenderung menghabiskan masa yang lama, bahkan mungkin berupaya menjadi ketagih menonton video selama berjam-jam pada satu-satu masa. Tambahan pula tiada batasan masa untuk sesiapa bergabung dan ia digunakan di seluruh dunia.

"Kanak-kanak atau remaja juga boleh menjadi obsesif dengan penampilan mereka. Ada dalam kalangan kanak-kanak atau remaja yang menggunakan aplikasi ini untuk sentiasa meningkatkan penampilan mereka bagi menarik perhatian pengikut mereka dan orang lain," katanya.

"Keadaan ini berupaya menjadikan kehidupan sosial mereka tidak seimbang serta membunuh kehidupan sosial kanak-kanak berikutan penggunaan tanpa sempadan yang membawa kepada hubungan dengan keluarga menjadi renggang kesan daripada menghabiskan sebahagian besar masa untuk membuat video," katanya.

Justeru bagi mengawal keadaan sebelum menjadi lebih parah, Dr Ruziana berkata, ibu bapa perlu mengetahui nama akaun TikTok anak mereka, mengikuti akaun anak, dan memastikan akaun mereka diletakkan sebagai peribadi.

Beliau menyarankan penggunaan ciri "Family Pairing Feature" di dalam TikTok (alat kawalan ibu bapa yang membolehkan ibu bapa menghubungkan akaun TikTok anak mereka dengan mereka sendiri, memberikan mereka kawalan langsung terhadap tetapan privasi anak).

Selain itu ibu bapa digalakkan membuat dialog terbuka dengan anak mengenai jenis video yang mereka suka tonton dan hantar.

"Jadikan perbualan tentang TikTok mereka ini perbualan yang santai agar mereka suka berkongsi dengan ibu bapa. Nasihatkan anak bahawa posting yang negatif boleh kembali merosakkan reputasi mereka di masa hadapan terutama ketika mereka di kolej atau semasa bekerja kelak," katanya.

Selain itu, beliau berkata, ibu bapa juga perlu mengajar anak untuk mengawal bahagian komen sama ada akaun peribadi atau akaun awam.

"Ajar anak untuk kawal bahagian komen, sama ada akaun adalah peribadi atau awam. Anak anda mempunyai kuasa untuk memutuskan sama ada mereka mahu membenarkan komen pada video mereka dari semua orang, pengikut sahaja - atau membataskannya terus. Sekali lagi, ini dapat ditetapkan sama ada di peringkat akaun, atau disesuaikan untuk setiap video yang mereka buat," katanya.

Tontonan pengaruhi minda

Sementara itu, pakar Psikologi Universiti SEGi, Kota Damansara, Prof Datin Dr Mariani Md Nor berkata, bagi kanak-kanak, TikTok juga menjadi satu daripada aktiviti main mereka sealiran dengan dunia kanak- kanak pada usia itu untuk bermain.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya salah gaya penggunaan aplikasi itu disamping membuat atau menonton tontonan yang salah ia boleh meninggalkan impak negatif.

"Apabila pengisian tontonan lebih kepada unsur seksual, tontonan dan penggunaan TikTok dalam kalangan kanak kanak boleh mempengaruhi minda, perasaan dan juga tingkah laku mereka.

"Sama ada tontonan atau pelakuan yang mereka mainkan sendiri dalam TikTok menggambarkan pemikiran mereka dan jika tidak dikawalselia bahkan menjadikan TikTok sebagai platform untuk meluahkan emosi, perasaan serta tingkah laku," katanya, sambil menambah, aspek baik TikTok tidak menjadi masalah, namun yang sebaliknya, boleh menjejaskan pertumbuhan serta perkembangan kanak-kanak.

Menurut beliau, apa yang diperlukan ialah perkembangan holistik kanak-kanak merangkumi perkembangan intelektual sosial emosi dan kerohanian.

Beliau berkata, unsur negatif dalam TikTok sedikit sebanyak boleh mempengaruhi cara mereka berfikir, cara mereka mempamerkan tingkah laku malah cara mereka meluahkan perasaan dan berkomunikasi bersama individu lain.

Untuk itu, beliau menegaskan, ibu bapa perlu mengawal mainan serta tontonan TikTok kerana aplikasi itu juga mempunyai manfaat dari segi meningkatkan kreativiti selain meningkatkan keyakinan diri serta memperluaskan aspek perkembangan bahasa.

Mengulas lanjut Mariani berkata dari sudut privasi, data peribadi kanak-kanak boleh dicuri oleh mana-mana pihak yang mempunyai niat tertentu apabila pelakuan TikTok oleh kanak kanak itu menjadi viral.

"Pastinya mereka akan jadi tontonan ramai dan secara tidak langsung privasi kanak kanak diceroboh dan mereka juga boleh menjadi sasaran pedofil yang memang sentiasa ingin mendapatkan wajah kanak-kanak dengan mudah boleh didapati dari tontonan TikTok.

"Kanak-kanak ini juga boleh menjadi mangsa terhadap mereka yang sentiasa mahu mencari peluang dan kesempatan dari platform Tiktok ini," ujarnya.

Berhubung persoalan sama ada Malaysia perlu membuat sekatan berhubung perkara ini (TikTok) memandangkan aplikasi tersebut dilihat tiada sekatan dan bebas malahan menerusi aplikasi itu juga pernah terjadi viral gambar pasangan kanak-kanak bercium, beliau berpandangan perlu ada kaedah sesuai untuk mengawal selia terutama aspek yang boleh menjejaskan pemikiran kanak-kanak dalam usia mereka yang akan meningkat dewasa.

"Tontonan TikTok dengan tema seksual perlu dipantau penggunaan dalam kalangan anak-anak yang masih lagi kecil kerana tontonan yang berulang kali boleh menjadi tiruan buat mereka," katanya.

Rencana ini bersempena Hari Kanak-Kanak Antarabangsa yang disambut setiap 1 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 10:39 AM