PENDUDUK Palestin berdepan bom asap yang dilepaskan pasukan keselamatan Israel dalam kejadian protes di Damascus Gate di Baitulmaqdis pada 22 April lalu.
PENDUDUK Palestin berdepan bom asap yang dilepaskan pasukan keselamatan Israel dalam kejadian protes di Damascus Gate di Baitulmaqdis pada 22 April lalu.
Nadir Al Nuri

SEPERTI biasa bumi Palestin tidaklah bernama Palestin kalau tidak melalui ujian dalam bulan Ramadan.

Malah, Ramadan kali ini dilihat lebih 'berarna' apabila berlaku beberapa peristiwa yang menjadi rekod buruk baharu kezaliman dan penindasan Zionis ke atas penduduk tanah yang dijajahnya.

Ia bermula dengan peristiwa pemasangan penghadang besi di Bab Al-Amudi atau Damascus Gate, salah sebuah pintu masuk utama ke Masjid Al-Aqsa.

Siri cubaan Zionis menyekat laluan masuk penduduk Al-Quds ke masjid itu bukanlah perkara baharu.

Pada tahun 2017 mereka menyekat pintu masuk Bab Ar-Rahmah, tetapi tunduk apabila penduduk melakukan protes.

Tahun 2019 sekali lagi mereka cuba menyekat kebebasan keluar masuk ke Masjid Al-Aqsa dengan memasang penghadang elektrik tetapi sekali lagi usaha penjajahan itu gagal akibat kebangkitan dan kemarahan penduduk.

Sebab apa setiap kali menjelang Ramadan ada sahaja pertembungan yang akan tercetus di Al-Aqsa?

Sebabnya ialah pada 28 Ramadan setiap tahun, penduduk Yahudi akan cuba mengosongkan masjid untuk menyambut sambutan mereka yang bernama Hari Al-Quds.

Dalam acara ini mereka akan mengadakan ritual keagamaan termasuk memukul batang tubuh sendiri dan meminum arak di lapangan Masjid Al-Aqsa.

Kali ini usaha menawan sebahagian masjid sekali lagi gagal apabila pada 18 Ramadan penghadang di hadapan Bab Al-Amudi diangkat kerana peningkatan kemarahan penduduk dan kebangkitannya.

Bagaimanapun, itu tidak bermakna Aqsa sudah terselamat.

Murabitin Aqsa, Puan Hanadi Halwani yang kami temu ramah melalui Zoom menyebutkan bahawa penjajah cuba melakukan perubahan ke atas sejarah panjang pemilikan umat Islam ke atas masjid melalui dua cara.

Pertamanya ia dibuat untuk berkuasa ke atas masa – iaitu ada masa yang khas untuk penduduk Islam menunaikan solat dan ada masa yang khas untuk penduduk Yahudi.

Kemudiannya ia dibuat dengan cuba berkuasa ke atas tempat iaitu mengambil sebahagian kawasan masjid sebagai tempat membina semula rumah ibadat mereka yang dikenali sebagai Solomon's Temple.

Ini termasuk usaha menggali terowong di bawah masjid untuk mencari kesan peninggalan tempat ibadah yang kononnya menjadi takhta pemerintahan Nabi Sulaiman dahulu.

Selepas isu Bab Al-Amudi, bumi Palestin digemparkan dengan kejadian operasi penuh berani di pos kawalan tentera penjajah Za'tarah di Nablus pula.

Seorang pemuda turun dari kereta yang dipandu, melepaskan tembakan ke arah tentera penjajah sebelum menaiki kereta semula dan berjaya melarikan diri menyebabkan 3 orang tentera cedera parah.

Israel kaget, sudah begitu lama mereka tak berdepan kebangkitan rakyat khususnya yang melibatkan kegiatan operasi berani mati ke atas tenteranya.

Ternyata, rakyat sudah terlalu marah melihat gelagat musuh yang bermaharajalela.

Kini, ruang berita penuh pula dengan isu perebutan kawasan Syeikh Al-Jarrah di Palestin di mana penduduk asal yang sudah tinggal berpuluh-puluh tahun di sana dihalau keluar oleh keputusan mahkamah yang tidak adil untuk membolehkan penduduk Yahudi membina penempatan haram di lokasi sama.

Setelah beberapa tahun Gaza mencuri tumpuan dunia, kini Tebing Barat dan Kota Al-Quds pula tampil menyatakan dengan tegas bahawa walaupun dalam keadaan berpuasa, mereka tidak akan sekali-kali tunduk dan berundur untuk membiarkan penjajah tidur lena di saat bumi milik mereka masih lagi tergadai dan teraniaya.

Semoga Ramadan berakhir dengan baik untuk mereka.

Penulis adalah rakyat Malaysia tunggal menetap di Palestin. Beliau boleh dihubungi melalui WhatsApp +60135132140 untuk pertanyaan dan kerjasama. Salurkan sumbangan ke Tabung Kecemasan Covid-19 melalui akaun Persatuan Cinta Gaza Malaysia Maybank 564810507826.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 5:59 AM