PUNCA berlaku tekanan dalam kalangan anggota polis adalah daripada masalah peribadi seperti masalah keluarga dan kewangan. - Gambar hiasan
PUNCA berlaku tekanan dalam kalangan anggota polis adalah daripada masalah peribadi seperti masalah keluarga dan kewangan. - Gambar hiasan
ASP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

ISU ketidakpuasan hati terhadap pekerjaan dalam sesebuah organisasi sering kali berlaku sama ada ia nampak nyata atau kurang nyata secara mata kasar.

Ketidakpuasan hati ini akan berkisar sama ada berkaitan jawatan diberikan, isu gaji, kenaikan pangkat atau suasana di tempat kerja itu sendiri. Ia kerap berlaku kerana sesebuah organisasi atau jabatan sama ada kerajaan atau swasta tidak boleh memenuhi tuntutan semua pekerja di bawah jagaannya kerana ia bergantung sistuasi semasa dan keadaan yang mendesak atau memerlukan.

Bak kata pepatah ditelan mati emak, diluah mati bapa seseorang ketua atau pemimpin perlu bijak mengatur sesuatu situasi supaya suasana pekerjaan akan nampak lebih harmoni sama ada berasaskan keuntungan di pihak swasta atau kecemerlangan di jabatan kerajaan.

Jika ketua tidak pandai mengolah atau mentadbir urus dengan jayanya akan wujud beberapa masalah kepada kakitangannya. Jadi, umpama menarik rambut dalam tepung situasi itu perlu ditangani dengan berhati-hati supaya ia tidak akan menyemakkan keadaan sekeliling.

Penulisan kali ini menyentuh mengenai isu rasa tidak puas hati di tempat kerja kerana ramai meminta penulis mengulas mengenainya, bukan bererti menyanggah lalu besi kuat atau menyalak di gunung tinggi dan tegap, tetapi lebih kepada 'penyu menangis siapa tahu'.

Menerusi tulisan bertajuk Work dan motivation (1964), kepuasan kerja adalah orientasi emosi dimiliki pekerja terhadap peranan mereka membuat persembahan di tempat kerja. Kepuasan kerja adalah komponen penting untuk motivasi pekerja dan galakan ke arah prestasi lebih baik. Ramai orang telah menentukan kepuasan kerja selama ini.

Hoppok & Spielgler (1938) mendefinisikan kepuasan kerja sebagai kumpulan bersepadu psikologi, fisiologi dan persekitaran keadaan yang mendorong pekerja untuk mengakui bahawa mereka berpuas hati atau senang dengan pekerjaan mereka. Selanjutnya, peranan pekerja di tempat kerja ditekankan kerana terdapat pengaruh pelbagai elemen pada pekerja dalam organisasi.

Clark (1997) berpendapat bahawa sekiranya pekerja tidak berpuas hati dengan tugas diberikan kepada mereka, mereka tidak pasti akan faktor seperti hak mereka, keadaan kerja tidak selamat serta rakan sekerja tidak bekerjasama.

Berbalik kepada bidang kepolisian, punca berlakunya tekanan dalam kalangan pegawai polis adalah daripada masalah peribadi seperti masalah keluarga, kewangan dan sebagainya yang dapat menyumbang kepada peningkatan tekanan terhadap diri seseorang pegawai polis (Patterson, 2009). Ini dibuktikan oleh kajian Arjunaidi (1997) yang mendapati ketegangan dalam kalangan pegawai polis mempunyai hubungan signifikan dengan taraf perkahwinan, pendidikan, persekitaran kerja, hubungan sosial, struktur organisasi, bebanan kerja dan budaya organisasi.

Terdapat bukti kajian lalu yang menunjukkan tekanan kerja dapat memberi kesan kepada kesejahteraan hidup pegawai polis dan prestasi organisasi (Bakker & Heuven, 2006; Tang & Hammontree, 1992).

Antara kesan utama akibat daripada berlakunya tekanan dalam kalangan pegawai polis iaitu kesan pertama adalah akibat ancaman melampau daripada pihak luar akan menyebabkan perubahan ketara daripada segi psikologi, tindak balas fisiologi dan tingkah laku (Violanti 1998).

Pihak yang berkaitan khususnya pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) seharusnya peka dengan situasi tekanan dialami pegawainya dan mencari pendekatan berkesan untuk menangani masalah ini bagi memelihara kredibiliti dan integriti organisasi.

Pendekatan teknik psikologi yang berkesan dan persekitaran kerja kurang tekanan adalah salah satu faktor perlu dititik beratkan dalam usaha membendung isu ini daripada terus membelenggu organisasi kepolisan. (Roger Baker & Hazril Ibrahim 2014)

Kesimpulannya kepuasan hati terhadap persekitaran serta suasana kerja memberi kesan positif terhadap kepuasan kerja pekerja. Keadaan kerja yang buruk menyekat pekerja untuk menggambarkan kemampuan mereka dan mencapai potensi sepenuhnya dalam bidang mereka ceburi.

Semoga pihak tertinggi PDRM khasnya dan pembaca yang berkhidmat dalam sebuah organisasi kerajaan dan swasta dapat mengolah supaya kesempurnaan di tempat kerja terjamin.

Akhir kalam, terimalah sebuah pantun - PDRM organisasi mulia dan berwawasan, diasas oleh pemikiran bukan mata pedang, pihak tertinggi bahagian pengurusan jeling dan sapalah nasib ASP (KUP) Khas untuk penyandang.

Penulis adalah Ketua Polis Balai Nusa Bestari, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 5:59 AM