FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Najiy Jefri

Kes positif Covid-19 di lokasi penggambaran kembali 'menghantui' apabila tiga pelakon drama bersiri Kiblat Yang Hilang, Sweet Qismina, Farisha Irwayu dan Laila Nasir dijangkiti virus itu selepas menjalani penggambaran drama itu di Hulu Langat, Selangor awal bulan ini.

Kemudian penggambaran filem Tariandi di Kuala Kangsar, Perak yang membabitkan Sweet turut menyaksikan seorang lagi pelakon, Akif Halqi dan empat kru positif Covid-19.

Kini, seramai 41 kru dan pelakon filem itu menjalani kuarantin di sebuah hotel di Ipoh.

Sebelum itu mereka ditempatkan di Pusat Kuarantin Kolej Sains Kesihatan Bersekutu, Ulu Kinta, Perak sejak Rabu lalu.

Melihat kepada situasi yang berlaku, syarikat produksi drama dan filem sepatutnya lebih proaktif dalam merencana kerja penggambaran bagi mengekang penularan Covid-19 yang sudah melanda negara lebih setahun.

Langkah keselamatan secara komprehensif perlu segera digerakkan dan sepatutnya bukan lagi masalah untuk tidak memahami prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan kerajaan.

Segala SOP yang sudah digariskan perlu dilaksana sebaik mungkin di lokasi penggambaran bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berlaku lagi.

Sepatutnya isu kes positif dalam kalangan kru produksi mahupun pelakon yang dijangkiti ketika di lokasi penggambaran tidak wajar berulang.

Jika sebelum ini, rata-rata tidak jelas dengan SOP yang ditetapkan dan meminta pihak kerajaan mengeluarkan garis panduan, namun bagaimana masalah ini boleh terjadi?

Adakah ia berlaku disebabkan kecuaian diri sendiri yang tidak peka mahupun tidak ambil peduli terhadap situasi yang melanda negara ketika ini.

Syarikat produksi dinasihatkan supaya jangan mengambil sikap sambil lewa terhadap penularan Covid-19 yang semakin mengganas dan mencatatkan peningkatan yang tidak menentu ketika ini.

Pada masa sama, tindakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang mewajibkan syarikat produksi menjalani ujian calitan sebelum memulakan penggambaran adalah satu langkah terbaik.

Langkah ini juga dilakukan di Indonesia apabila setiap selebriti perlu melakukan ujian calitan sebelum memulakan kerja mereka.

Bagaimanapun, difahamkan ada juga penerbit mengambil mudah kerana ingin menjimatkan kos selain tidak memakai pelitup muka dan duduk bersantai beramai-ramai ketika beberapa pihak menjalankan tinjauan.

Sekiranya masalah ini terus berlaku dan kes membabitkan di lokasi penggambaran berleluasa, jangan terkejut sekiranya aktiviti penggambaran terpaksa dihentikan.

Kemudian, janganlah nak menuding jari menyalahkan kerajaan mahupun pihak lain, sebaliknya kawalan kendiri perlu diperhebatkan agar insiden pelakon mahupun kru dijangkiti pandemik Covid-19 tidak berulang.

Dalam situasi sekarang, setiap individu adalah barisan hadapan. Masing-masing perlu menjaga keselamatan diri sendiri dan orang lain.

Sama-samalah menegur jika terlihat perkara yang salah supaya penularan Covid-19 ini dapat dihentikan segera.

Dalam pada itu, penulis juga ingin menyarankan kepada kerajaan untuk mempercepatkan pemberian suntikan vaksin kepada penggiat seni.

Bukan apa, sekurang-kurangnya dapat merancakkan kembali industri hiburan serta memberi hidangan kepada penonton.

Bukan itu saja, selebriti yang sudah diberi suntikan vaksin juga dapat meyakinkan rakyat Malaysia supaya mengambil vaksin Covid-19 apabila sudah dipanggil nanti.

Penulis Wartawan Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 6:15 AM