PDRM.
PDRM.
minda

Kecekapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini cukup disanjung, malah dianggap antara yang terbaik di dunia daripada pelbagai aspek.

Namun, entah di mana silapnya, kini kredibiliti pasukan keselamatan itu semakin menjadi persoalan tatkala usaha membersihkan petualang dalam pasukan giat dijalankan.

Semakin ligat pihak pengurusan mempergiat usaha 'membersihkan' pasukan, kini semakin terbuka kelompongan pasukan berkenaan satu persatu.

Tohmahan terhadap pasukan keselamatan itu juga semakin menjadi-jadi dan lebih mengecewakan ada antaranya didalangi bekas pegawai dan anggota itu sendiri yang kini menyertai kumpulan haram yang mengambil kesempatan dengan situasi semasa.

Imej PDRM sebenarnya mula menjadi bualan selepas janji PDRM membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low tidak tertunai.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pada 13 Januari tahun lalu bagaimanapun mengakui kegagalan menepati janji membawa pulang Jho Low adalah penyesalan terbesarnya.

Abdul Hamid sebenarnya sudah melakukan apa yang termampu namun usahanya itu terhalang.

Beliau sudah melakukan operasi dengan pihak tertentu untuk tujuan itu namun usaha berkenaan terpaksa berhenti separuh jalan.

"Saya tak berputus asa dan akan terus berusaha untuk membawa pulang Jho Low ke Malaysia," katanya seperti dipetik kepada media.

Selain isu pencarian Jho Low, pasukan berkenaan kemudiannya tercalar lagi apabila belum dapat membantu usaha Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesan usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat.

Muhammad Sajat sebelum ini dikenakan waran tangkap selepas gagal hadir sebutan semula pertuduhan berpakaian wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.

Pada 6 Januari lalu, dia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini atas tuduhan sebagai seorang lelaki berpakaian menyerupai wanita pada 2018.

Abdul Hamid turut menasihati Sajat supaya keluar dari persembunyian kerana kesalahan yang dilakukan adalah kecil.

"Dia sudah memang di luar negara, masa dia lari dari mahkamah itu kita tidak dapat kesan, hanya kita tahu lebih kurang dia di mana.

"Kita ada teknik mengesan misalnya ada di Kedah, Perak, kita cuba hendak menahan dia di sempadan. Tetapi, kena faham, sempadan kita bukan sahaja tembok, kalau mereka gunakan lorong tikus, ini sukar bagi kita," katanya.

Beliau ditanya pemberita media selepas merasmikan Seksyen K9 Bahagian Bantuan Teknik D6 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM di Langkawi pada 4 April lalu. Isu Sajat sebenarnya kelihatan remeh namun jika benar dia sudah lolos ia membuktikan usahawan berkenaan mempunyai kemahiran yang tinggi kerana mampu lolos walau dengan laluan tikus. Di mana kecanggihan peralatan, teknik, kemahiran anggota E1 dan E3 yang selama ini cukup membanggakan PDRM pada kaca mata masyarakat, malah sering dipuji negara luar.

Belum reda isu 'kehilangan' Sajat, timbul lagi satu isu, kali ini membabitkan sindiket jenayah terancang, Geng Nicky diketuai Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.

Pelbagai usaha dilakukan termasuk meminta bantuan Interpol menjejakinya namun sehingga 4 April lalu, polis masih giat mengesan ahli perniagaan berkenaan.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, setakat ini, tiada perkembangan baharu dan polis masih mengesannya.

"Tiada perkembangan baharu setakat ini," katanya pada sidang media berkenaan.

Ketiga-tiga suspek terbabit menyentak pelbagai kontinjen PDRM membabitkan Kuala Lumpur, Johor, Selangor, Kedah, Perak, Perlis dan Kelantan.

Kontinjen berhampiran sempadan pastinya tercalar jika mereka benar-benar lolos manakala Selangor memiliki laluan tikus menjadi lokasi Datuk Nicky tinggal dan menjalankan aktiviti.

Sehingga sekarang kegiatan Geng Nicky yang mengetuai Geng 21 dikatakan terencat susulan pemburuannya.

Hakikatnya, saya mengagumi PDRM walaupun masyarakat hari ini mengecam pasukan itu dan saya percaya Abdul Hamid mempunyai ramuan untuk mengembalikan kegemilangan pasukan keselamatan itu.

Saya berharap Abdul Hamid dan kementerian berkaitan terutama Kementerian Dalam Negeri (KDN) boleh duduk semeja mencari formula mengembalikan maruah pasukan yang disanjung tinggi ini.

Justeru, KDN, melalui menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pasti sibuk memikirkan kaedah mengembalikan kredibiliti dan imej pasukan berkenaan.

Pasti ramai pihak berharap kedua-dua pihak membuat perjumpaan empat mata dan membincangkan isu lebih serius bagi masyarakat dan bukan sahaja mengenai isu dalaman PDRM terutama berkaitan pertukaran atau kenaikan pangkat pegawai polis yang tidak memberi kesan kepada masyarakat awam.

Penulis Penyunting Eksekutif Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 7:00 AM