FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
ASP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Pemimpin dalam kalangan penjawat awam atau agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan semestinya seseorang jeneral yang bengis dan garang di medan perang.

Tetapi, cukup sekadar untuk memimpin dengan baik bagi sebuah bala tentera sama ada di peringkat tertinggi, pertengahan atau bawahan di bawah naungannya.

Kejayaan demi kejayaan cemerlang PDRM terbentuk dan terserlah sejak awal apabila kepemimpinan tertinggi PDRM berjaya membentuk dan melaksanakan dengan penuh berkesan dan berani.

Pada masa sama, turut menghapuskan bintik-bintik hitam dalam PDRM itu sendiri dan bertindak membersihkan dengan 'cecair peluntur' paling kuat yang ada dalam pasukan supaya kain menjadi putih bersih semula.

Penulis ingin mengetengahkan banyak ciri pemimpin dalam bidang keselamatan pada masa kini seperti Leader by Karisma dengan menggunakan ketokohan, integriti serta aura, Leader by Experience dengan menggunakan segala pengalaman yang ada, Leader by Book iaitu bekerja secara lurus dengan mengikut buku, Leader by Follow/Copyright iaitu mengikut acuan pemimpin terdahulu serta Leader By Zig Zag iaitu kadang lurus, tetapi kadang berselekoh.

Ada sesetengah pemimpin menggunakan prinsip Leader by Glamouring iaitu mencari glamor dengan menggunakan media sosial, Leader by Autokratik apabila menganggap dia saja yang betul dan orang lain semua tak betul, Leader by Cable iaitu menjadi ketua dengan sebab memiliki payung kuat dan stabil serta Leader by Waiting iaitu hanya menunggu pencen.

Pemimpin sebenarnya adalah seseorang yang dapat melihat bagaimana sesuatu dapat diperbaiki dan mengumpulkan orang untuk bergerak menuju visi lebih baik itu. Pada masa sama, pemimpin dapat berusaha mewujudkan visi mereka menjadi kenyataan sambil mengutamakan orang lain.

Bagaimanapun, kita dapat menentukan kepemimpinan berdasarkan unsur bersama yang kita semua boleh setuju. Berikut adalah 10 cara untuk menentukan seni memimpin:

• Visi pemimpin - Memimpin bermaksud mempunyai visi dan berkongsi dengan orang lain. Hanya apabila anda dapat memberi inspirasi kepada orang lain, adalah mungkin untuk berkongsi tujuan bersama untuk mengarahkan usaha dan dedikasi seluruh pasukan. Apa visi anda? Visi anda mesti berani dan bercita-cita tinggi.

• Motivasi - Seorang pemimpin tahu bagaimana memotivasi lebih baik daripada orang lain dan ini adalah salah satu fungsi utama mereka sebagai pengurus orang. Melalui motivasi, seorang pemimpin menyalurkan tenaga dan potensi profesional rakan sekerja mereka untuk mencapai objektif.

• Berkhidmat sebagai pemimpin - Pemimpin berada dalam perkhidmatan pasukan dan bukan sebaliknya. Anggota kumpulan mesti mendapat dan merasakan sokongan pemimpin mereka, alat yang diperlukan untuk melakukan pekerjaan mereka dengan betul mesti ada pada mereka.

Mereka mesti mempunyai pengiktirafan atas usaha mereka dan mengetahui bahawa ada seseorang yang memperhatikan untuk memperbaiki kebiasaan yang buruk.

• Empati - Antara sifat asas mana-mana pemimpin yang mencari kejayaan adalah kecerdasan emosi dan kemampuan itu - sering kali wujud - yang membuatkan pemimpin meletakkan diri mereka di tempat orang lain, memahami masalah mereka dan menyelesaikan masalah.

Pemimpin mengetahui rahsia organisasi mereka dan oleh itu dapat berempati dengan pelanggan dan ahli pasukan mereka. Empati itu dapat memberi inspirasi dan menjalin hubungan yang akhirnya akan membawa kepada kejayaan.

• Kreativiti - Definisi kepemimpinan ada kaitannya dengan kreativiti. Pemimpin yang baik dapat mewujudkan persekitaran untuk mendorong semua anggota pasukan mereka untuk mengembangkan kemahiran dan imaginasi mereka sehingga dapat menyumbang kepada projek dan visi bersama organisasinya.

• Ketelitian - Pemimpin yang baik menetapkan batas tinggi bagi orang mereka kerana ingin mencapai tujuan dan membawa pasukan terbaik daripada pasukan mereka, sekali gus mencapai hasil yang hebat.

• Mengurus sebagai pemimpin - Pemimpin mesti berada di barisan hadapan untuk memimpin dan membimbing pasukan mereka sepanjang keseluruhan proses sehingga matlamat tercapai.

• Pembentukan pasukan - Kepemimpinan sejati adalah bekerja dalam satu pasukan untuk mencapai tujuan bersama. Pengurusan orang adalah antara tugas paling sukar dihadapi pemimpin. Berkat sikap positif, penting bagi pemimpin yang baik dan kepercayaan pada rakan kerja mereka, akan mendapat hasil lebih baik.

• Mengambil risiko - Pemimpin adalah orang yang bertanggungjawab untuk mengambil risiko yang tidak sanggup ditanggung orang lain. Mereka cukup yakin untuk membuat keputusan.

• Memperbaiki - Kepemimpinan sejati mencari peningkatan berterusan dan mempunyai kemampuan untuk mengubah orang dalam pasukan mereka menjadi bintang, orang yang meningkat dan mengembangkan kemahiran mereka melalui pengaruh pemimpin mereka.

Kepemimpinan yang baik datangnya daripada keikhlasan hati untuk berbakti kepada tanah air tercinta. Semoga kita warga PDRM memiliki hati bersih dan murni dalam menabur bakti kepada masyarakat.

Insya-Allah, kita sama-sama berdoa mendapat kesihatan yang baik untuk diri dan keluarga pada musim getir ini dan berbaktilah dengan nawaitu kerana Allah SWT.

Penulis Ketua Polis Balai Nusa Bestari, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 8:00 AM