FILEM Belaban Hidup: Infeksi Zombie diiktiraf di Rusia, 28 Mac lalu.
FILEM Belaban Hidup: Infeksi Zombie diiktiraf di Rusia, 28 Mac lalu.
Georgie Joseph


Dalam pada disajikan dengan haru-biru kisah dalam industri hiburan tempatan, kita jangan lupa dan menutup mata terhadap pencapaian manis anak seni tempatan.

Berita kemenangan Belaban Hidup: Infeksi Zombie arahan Ray Lee semestinya begitu membanggakan rakyat Malaysia.

Filem indie berkenaan mengungguli kategori seram dan sains fiksyen bagi genre filem cereka di World Film Carnival (WFC) Singapore 2021.

Lebih bermakna, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengucapkan tahniah atas kemenangan itu.

Bukan setakat itu, filem terbabit mencipta satu lagi kejayaan apabila diumumkan Filem Terbaik dan Filem Seram Terbaik di International Symbolic Art Film Festival (ISAFF) di St Petersburg, Rusia, pada 28 Mac lalu.

Syabas buat pasukan produksi Belaban Hidup: Infeksi Zombie!

Jujur diakui, berita ini jelas tidak tampak penting di mata segelintir pengikut filem tempatan. Mungkin di mata mereka ia sekadar filem biasa dan kemenangan itu pun daripada festival yang kurang popular.

Tidak kisah dari festival sekecil mana pun, pencapaian itu tetap bertitik tolak daripada usaha produksi itu.

Kemenangan itu berbaloi dan bermakna buat mereka kerana hasil penat lelah menjual filem itu, mereka beroleh kemenangan.

Namun kenapa agaknya sukar untuk produksi sebegini diberi pengiktirafan yang lebih? Cukup sekadar perkongsian daripada warganet kita sekurang-kurangnya memberi semangat kepada pembikin filem lain untuk mara tampilkan karya mereka.

Kejayaan Belaban Hidup: Infeksi Zombie ini sebenarnya mengingatkan penulis kepada pencapaian filem indie, Minari di Amerika Syarikat. Ada sedikit persamaan daripada konsepnya apabila menyentuh mengenai budaya.

Dalam Belaban Hidup: Infeksi Zombie, ia memfokuskan kepada budaya Dayak di kepulauan Borneo, namun diterjemahkan kepada kisah zombi. Ia masih istimewa dan bermakna kerana elemen budaya itu dijadikan fokus utama.

Dalam Minari pula, filem itu memfokuskan kepada perjuangan keluarga keturunan Korea untuk terus memartabatkan bahasa ibundanya. Diterjemahkan dalam plot kekeluargaan, intinya masih mengenai budaya itu sendiri.

Melihat pencapaian demi pencapaian diraih kedua-dua filem ini, sememangnya ia memberikan rasa sama mengenai perjalanan kedua-duanya. Kedua-dua filem ini tidak meletakkan nama yang cukup gah sebagai watak utama.

Untuk Belaban Hidup: Infeksi Zombie sendiri, nama Altimet dan Pekin Ibrahim mungkin cukup untuk menghebahkannya. Namun tidak disangkal plot cerita dan kreativiti yang dicurahkan dalam karya ini adalah jantung paling penting.

Perkara itu diakui sendiri pengarahnya Ray yang menyifatkan faktor keunikan budaya Dayak dipaparkan dalam filem berkenaan mungkin menjadi punca kemenangan berpihak kepada mereka.

Ray berkata, idea untuk menghasilkan filem berkenaan bermula sejak 2016 melalui kerjasama dengan penulis skrip, Misha Minut yang juga penerbit bersama yang berasal dari Limbang, Sarawak.

Terbukti, faktor budaya sememangnya mampu mengangkat sesuatu naskhah itu ke tahap yang lebih tinggi dalam industri perfileman. Namun ia tidak mungkin berhasil tanpa sokongan padu daripada semua pihak.

Jangan apabila menang saja baru terbuka mata mengenai naskhah sebegini. Baik filem indie atau arus perdana, jangan dianaktirikan filem sebegini tanpa mendalami hasil kerja yang disalurkan dalam pembikinannya.

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 6:00 AM