GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
ASP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Ketika Mamat melayan lagu heavy metal dendangan Metallica, DIO dan Iron Maiden di walkmannya, Dollah pula melayan lagu rap dan Senah melayan rentak R&B, manakala Che Kiah dengan Irama Malaysia. Itu kita yang bernama manusia apabila sekumpulan pemikiran tidak sama dalam masyarakat berbeza.

Namun kita tetap sekumpulan insan meneruskan kehidupan direncanakan Tuhan Yang Maha Esa.

Penulis ingin nyatakan walaupun kita berbeza genre dalam pemikiran dan meneruskan kehidupan dengan komitmen sendiri, kita sebenarnya tetap sama sebagai watak tanpa ada bezanya.

Kehidupan perlu diteruskan walaupun dengan berlainan pendapat dan pemikiran, jadi kita perlu mencari satu titik persamaan untuk membentuk satu kelompok insan sejati dan mulia dan konteks penulisan kali ini berkisar mengenai sahabat.

Penulisan ini berkisar perhatian kepada pemahaman khas dalam hubungan antara peribadi dan sosial. Dalam pengertian ini, istilah persahabatan menggambarkan suatu hubungan membabitkan pengetahuan, penghargaan, hati dan perasaan.

Sahabat akan menjalin hubungan bersama dengan nilai kesetiaan satu sama lain, sering kali hingga pada peradaban. Keseragaman mereka biasanya sama dan mungkin saling bertemu dan menikmati kegiatan yang mereka sukai. Mereka akan terbabit dalam perilaku saling menolong seperti bertukar-tukar nasihat dan saling menolong dalam kesulitan.

Penulisan kali ini turut mengupas erti sebuah persahabatan sejati dalam kehidupan murni. Teruskan bersahabat sampai tiba waktunya untuk 'pulang'. Ketika ada kesempatan bersama-sama teman walaupun berlainan agama dan bangsa berkumpul bukan sekadar untuk makan dan minum atau bersembang sahaja, sebaliknya gunakan peluang dan kesempatan bersama kerana hidup kita semakin singkat.

Rapatkan kembali ikatan dan ukhuwah bersama kawan tidak kira waktu atau agenda dibuat sama ada menziarahi mereka atau konsep moden sekarang iaitu reunion.

Jauhkan daripada sifat dengki, iri hati kerana mungkin esok atau lusa sudah berakhir hidup kita atau dia dan tidak mungkin akan berjumpanya lagi.

Jangan sesekali membuang sahabat kerana tidak mencapai kata sepakat atau persefahaman kerana satu keburukan daripadanya, hilang sembilan kebaikan pernah dilakukan serta ada padanya.

Siapa tahu nanti mereka ini akan menjadi penolong kita di akhirat kelak, buang sifat ego dan iri hati sesama kita dalam menjalin sebuah persahabatan. Terima kekurangan sahabat dengan seadanya, nikmati waktu indah bersama dengan gelak tawa dan gurau senda.

Kenang sahabat kita dalam doa kita dan sebaiknya bersahabat dengan hati tulus dan baik.

Dalam konteks kakitangan kerajaan ataupun swasta, berkawan atau bersahabat itu amat perlu dalam menjalin sebuah kehidupan dalam suasana pekerjaan harmoni, jauhkan segala sikap negatif dan nikmati waktu sementara dalam bidang pekerjaan.

Dalam bidang kepolisian pula, tidak harus ada batasan walaupun terdapat berbelas jabatan kerana pemimpin tertinggi kita tetap sama. Jangan jadikan alasan Jabatan Trafik tidak boleh berkawan dengan Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik tidak boleh duduk minum bersama.

Persahabatan adalah hubungan kasih sayang sesama manusia. Ia adalah bentuk ikatan interpersonal yang lebih kuat daripada persatuan dan dipelajari dalam bidang akademik seperti komunikasi, sosiologi, psikologi sosial, antropologi dan falsafah.

Pelbagai teori akademik mengenai persahabatan diusulkan termasuk teori pertukaran sosial, teori ekuiti, dialektik hubungan dan gaya keterikatan.

Persahabatan adalah aspek penting dalam kemahiran membina hubungan. Walaupun terdapat banyak bentuk persahabatan, ia memiliki ciri-ciri hampir sama merangkumi kasih sayang, kebaikan, cinta, kebajikan, simpati, empati, kejujuran, altruisme, kesetiaan, kemurahan hati, pengampunan, saling memahami dan belas kasihan, kesenangan antara satu sama lain, kepercayaan, dan kemampuan untuk menjadi diri sendiri, meluahkan perasaan seseorang kepada orang lain dan melakukan kesalahan tanpa rasa takut akan penilaian daripada rakan berkenaan.

Erti persahabatan itu memang besar dan bermula sebaik kita melangkah dalam sesuatu organinasi, lebih-lebih lagi agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diterapkan kerja berpasukan sejak di pusat latihan dalam sebuah bilik dipanggil platun.

Bersama platun itu kita habiskan siang malam, bersusah senang sebelum diayak dengan latihan yang membuatkan perut one pack bertukar six pack. Warna kulit bertukar hitam kelam seperti langit sebelum hujan sebelum ditugaskan ke bahagian lain dalam Malaysia.

Berpisah untuk mencari rezeki berdasarkan pengkhususan di tempat baharu dengan suasana kerja dan sahabat baru sehingga berpindah-randah ke jabatan lain dan akhirnya mencapai garisan penamat atau pencen.

Apabila sudah pencen, ingat sahabat yang pernah bersama ketika kita susah dan senang, bahagia dan derita. Berjumpa mereka yang mahu berjumpa kita dan berkongsi kenangan sambil menghirup secawan kopi dan melarik roti canai garing di restoran mamak.

Pada penghujung usia, usah menjauhkan diri daripada sahabat dan berdiam diri di rumah kerana ingin bersendirian sebab situasi itu tidak baik untuk kesihatan dan emosi diri.

Cari sahabat, luangkan masa sekiranya dijemput ke majlis atau kenduri. Ingatlah, hidup ini terlalu singkat dan belajarlah menikmatinya serta cari nilai istimewanya sesebuah persahabatan.


Penulis Ketua Polis Balai Nusa Bestari, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 6:01 AM