FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mejar (B) Ramli Abdul Rahim

Program Rice and Roses pernah diusahakan pendakwah Misi Syahadah, Mohamad Fadli Yusuf dengan dokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin dengan golongan gelandangan yang tidak terurus dan tidak mempunyai tempat tinggal dengan memberikan bantuan makanan di Pulau Pinang.

Pendakwah, Ebit Lew juga sering mendekati manusia gelandangan yang tidur di bawah kolong jambatan dengan sentuhan nasihat dan dakwah kepada mereka serta memberikan sumbangan wang dan makanan untuk mereka meneruskan kehidupan mereka.

Kewujudan gelandangan bukan sahaja berlaku di negara dunia ketiga, bahkan ia adalah masalah yang turut melanda negara maju seperti Amerika Syarikat dan ia diakui bahawa kehilangan tempat tinggal adalah fenomena kesihatan sosial dan awam yang lebih kompleks daripada ketiadaan tempat tinggal.

Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa melepaskan kesusahan seorang Muslim daripada kesusahan dunia, Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari kiamat. Barang siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Barang siapa menutup aib seseorang, Allah akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan sentiasa menolong hamba-Nya selama ia menolong saudaranya." (Hadis Riwayat Muslim)

Di dunia ini, apa sahaja yang dilakukan ada balasannya, baik atau buruk, kecil atau besar, jadi jangan takut untuk berbuat baik kerana selain amalan itu mulia, ganjarannya pasti besar dengan kenikmatan berbakti di dunia dan akhirat.

Bagaimanapun, di sebalik bukti kaitan antara kehilangan tempat tinggal dan faktor sosial, terdapat kajian yang mengkaji konteks sosial yang lebih luas merentasi kehilangan tempat tinggal dari perspektif orang kehilangan tempat tinggal itu sendiri.

Kehadiran individu gelandangan adalah kerana pelbagai faktor seperti kesempitan hidup, kemiskinan bandar, konflik keluarga, gejala sosial, gangguan mental, penyalahgunaan dadah, sikap dan lain-lain, hatta gelandangan juga bukan isu terpencil yang hanya menghimpit negara membangun.

Tetapi, gelandangan adalah isu universal yang turut dialami negara kuasa besar dan orang gelandangan secara umum bermaksud individu yang tiada perumahan sebenar, kekurangan keperluan asas dan peribadi serta hidup dan tidur di jalanan.

Di negara kita, data berkaitan gelandangan sukar didapati dengan tepat namun Anjung Singgah yang ditubuhkan sebagai pusat transit gelandangan merekodkan 6,936 gelandangan sudah mendaftar di seluruh negara secara sukarela sejak ditubuhkan pada 2011.

Isu gelandangan adalah lebih daripada sekadar tidak mempunyai rumah dan tidur di jalanan semata-mata dan timbul rasa belas dan simpati melihat terutama wanita, kanak-kanak dan orang tua bergelimpangan di kaki lima atau di bawah jambatan.

Meski fenomena ini sebenarnya diperhatikan dan golongan yang dilihat tidak berumah ini ada dalam pemantauan dan bantuan baik oleh agensi yang berkaitan ataupun NGO terpanggil untuk menangani fenomena gelandangan. Mungkin bagi orang awam, kita kurang memahami kerumitan isu gelandangan ini, sebagai contoh dapur percuma makanan yang disediakan agensi dan NGO yang membantu bagi individu gelandangan sudah mencapai kesepaduan.

Oleh itu, apabila ada pihak yang baharu bermula dengan kegiatan kesukarelawanan ia perlu merujuk kepada agensi yang terbabit terlebih awal, ia bagi mengelakkan pembaziran dan pencemaran sampah sarap di kawasan sekitar gelandangan bermukim.

Persis kemiskinan, bukan semua masalah orang gelandangan adalah sama dan ada antara mereka bukan warganegara yang menjadi orang gelandangan termasuk pelarian dan bagi warganegara pula, ada yang mempunyai pekerjaan, namun tidak mampu menyewa tempat tinggal kerana dihimpit kos sara hidup.

Ada juga yang menjadi gelandangan sementara kerana berada dalam proses mendapatkan tempat tinggal selepas berhijrah dari tempat lain untuk mencari pekerjaan dan gelandangan ini adalah individu yang terbabit dalam konflik keluarga seperti ibu yang melarikan diri bersama anak-anaknya daripada belitan keganasan rumah tangga.

Tanpa sebarang sumber kewangan, mereka akhirnya bergelandangan di kawasan awam, lantas, keperihatinan kita untuk mendekati kumpulan ini perlulah mengikut keutamaan selepas kita mengambil data latar belakang individu terbabit.

Sebahagian daripada mereka yang merayu-rayau di kaki lima atau di jalanan adalah mereka yang tidak mempunyai pekerjaan dan mereka tidak punya apa-apa apatah lagi sumber pendapatan untuk menyara hidup mereka.

Ada juga yang mempunyai pekerjaan dengan pendapatan rendah dan mereka terdiri daripada orang miskin yang menjalani hari tua sebatang kara tanpa sanak saudara untuk melayan mereka dan menikmati kehidupan berkeluarga.

Ada juga mereka yang gelandangan tidak tentu arah dan tanpa tujuan hidup yang jelas selepas terbabit dengan penagihan dadah dan pusat pemulihan yang mereka lalui tidak dapat menghilangkan tabiat menagih dadah yang tegar.

Perjalanan hidup yang simpang-perenang daripada institusi keluarga yang bercerai berai juga menjadi faktor mereka hidup terasing dan teraba-raba daripada menerima belaian kasih sayang dalam kehidupan.

Ada antara gelandangan mempunyai kes penyakit mental yang menjadi asbab mereka tidak dapat membezakan antara baik dan salah dan memahami jalan hidup yang sewajarnya sebagai manusia yang waras untuk diterima masyarakat.

Setengah daripada mereka yang tiada tempat tinggal memilih kolong jambatan atau kaki lima sebagai istana persinggahan mereka untuk melepaskan lelah selepas mundar-mandir mencari entah apa untuk mengalas perut dan menyambung kehidupan sebagai gelandangan.

Ada juga bekas banduan yang tidak dapat menyesuaikan diri untuk menjalani kehidupan biasa di tengah masyarakat yang beraneka rupa dan melakukan aktiviti yang berfaedah untuk menjalani hidup yang sempurna.

Apabila keluarga sendiri sudah tidak peduli, maka, mereka menjadi gelandangan, justeru, terputus hubungan kasih sayang dan ada yang terjebak dengan ketagihan arak untuk melupakan realiti hidup persis mimpi fatamorgana.

Hidup tidak selalu sempurna, apa yang berlaku kita tidak selalu suka, tetapi kita boleh berasa bahagia dengan mensyukuri nikmat Allah SWT dan menaruh empati pada penderitaan orang lain walaupun mereka hanya manusia gelandangan di jalanan.

Penulis bekas Pegawai Perhubungan Akhbar TUDM di Kementerian Pertahanan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 6:15 AM