HARRY dan Meghan dalam program wawancara eksklusif dengan Oprah pada 7
HARRY dan Meghan dalam program wawancara eksklusif dengan Oprah pada 7
Syah Rul Aswari Abdullah

Kira-kira 17 juta orang rakyat Amerika Syarikat (AS) menonton wawancara eksklusif Putera Harry dan Meghan Markle yang disiarkan menerusi stesen televisyen utama negara itu, CBS, pada 7 Mac lalu.

Program dua jam itu menyaksikan pasangan itu ditemu bual oleh personaliti media terkemuka, Oprah Winfrey.

Ia dipenuhi dengan dakwaan demi dakwaan menggemparkan daripada Harry dan Meghan yang sebelum itu membuat keputusan mengejutkan dunia apabila mengumumkan menarik diri daripada tugas rasmi sebagai pasangan kanan diraja pada awal tahun lalu.

Mereka mendedahkan berkahwin secara rahsia, tiga hari sebelum seluruh dunia menyaksikan pasangan itu melafazkan ikrar perkahwinan di Istana Windsor pada 19 Mei 2018.

Selain itu, Meghan memberitahu Oprah mengenai keinginan untuk membunuh diri dan percubaan untuk mendapatkan sokongan daripada keluarga diraja, tetapi ia tidak diendahkan.

Ini belum lagi dengan dakwaan pasangan itu mengenai unsur perkauman dalam keluarga diraja.

Meghan mendakwa mendapat tahu daripada Harry bahawa ada ahli keluarga diraja tanpa memberikan butiran terperinci individu berkenaan yang bertanyakan mengenai warna kulit anak sulung mereka Archie sebelum bayi itu dilahirkan.

Selain itu, Meghan memberitahu mengenai kemungkinan bahawa Archie tidak akan dikurniakan gelaran diraja kerana 'mungkin' disebabkan warna kulit.

Namun, bekas pelakon televisyen AS itu menegaskan gelaran itu bukannya perkara utama.

Tetapi, katanya, tanpa gelaran itu, ia boleh menyebabkan anaknya itu tidak menerima perlindungan daripada pasukan keselamatan khas yang melindungi keluarga diraja.

Dari satu segi, impak daripada wawancara itu mengulang sejarah kesan wawancara ibu Harry, Puteri Diana yang disiarkan stesen televisyen United Kingdom (UK), BBC pada 1995.

Kali ini, Istana Buckingham terpaksa mengeluarkan kenyataan Ratu Elizabeth II menzahirkan kebimbangan dan bersimpati dengan kesukaran dialami Harry dan Meghan, ketika menempuhi hidup sebagai pasangan diraja.

Bagaimanapun, kenyataan itu berkata, perkara berkenaan akan ditangani keluarga secara peribadi.

Namun, persoalannya, pihak mana yang mengaut keuntungan dengan penyiaran wawancara ini?

Menurut Business Today, Meghan dan Harry tidak dibayar satu sen pun untuk tampil dalam temu bual ini.

Sebaliknya, CBS dilaporkan membayar antara AS$7 juta (kira-kira RM28 juta) dan AS$9 juta (kira-kira RM37 juta) kepada syarikat penerbitan milik Oprah, Harpo Productions untuk hak penyiaran wawancara itu.

Ini bermakna CBS memegang hak pelesenan untuk memasarkan program itu ke seluruh dunia.

Wawancara itu terbukti menjadi antara taruhan paling bernilai untuk CBS apabila lebih 49.1 juta penonton menyaksikan program berkenaan menerusi televisyen atau platform penstriman.

Malah, ia berhasrat untuk menyiarkan siaran ulangannya di AS. Menurut CBS, wawancara itu menjadikannya program hiburan paling ramai ditonton di AS sejak Anugerah Akademi pada Februari 2020.

Bayangkan, bagi setiap 30 saat iklan ditayangkan ketika program itu, CBS mengenakan AS$325,000 (kira-kira RM1.3 juta).

Ini belum dikira yuran yang perlu dibayar stesen penyiaran lain kepada CBS untuk menyiarkan program sama.

Bayangkan pula pulangan daripada pendapatan iklan diraih CBS pada siaran ulangan wawancara berkenaan.

Jadi berbalik kepada persoalan asal? Mengapa Harry dan Meghan tidak dibayar langsung untuk 'menjaja' kisah eksklusif sepanjang mereka memangku tugas rasmi sebagai anggota keluarga diraja?

Sedangkan Harry mengakui bahawa istana sudah menghentikan sebarang bentuk sokongan kewangan terhadapnya apabila mereka memilih untuk 'hidup berdikari.'

Hakikatnya, menarik diri daripada keluarga diraja tidak bermakna Harry dan Meghan hidup seperti rakyat biasa.

Beliau dilaporkan mewarisi harta benilai 10 juta pound sterling (kira-kira RM57 juta) yang diwarisi daripada Diana ketika usianya genap 30 tahun.

Pasangan itu juga sebelum ini menubuhkan syarikat produksi dan menandatangani perjanjian dengan Netflix dilaporkan bernilai AS$100 juta (RM411 juta) untuk menghasilkan kandungan di platform penstriman popular itu.

Ini belum lagi dikira dengan perjanjian Spotify untuk kandungan podcast eksklusif yang didakwa bernilai AS$40 juta (RM164 juta)? Jadi berbalik kepada persoalan asal, pihak mana yang untung?

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 7:10 AM