PEKERJA pawagam TGV Cinemas, Bukit Tinggi, Klang, menyembur cecair nyah kuman pada kerusi sebelum pembukaan pusat pawagam 5 Mac lalu.
PEKERJA pawagam TGV Cinemas, Bukit Tinggi, Klang, menyembur cecair nyah kuman pada kerusi sebelum pembukaan pusat pawagam 5 Mac lalu.
Najiy Jefri

Sejak panggung wayang kembali beroperasi 5 Mac lalu, rata-ratanya menyambut baik dan meluahkan rasa lega dengan kelonggaran demi kelonggaran yang diumumkan kerajaan.

Malah, menerusi tinjauan di laman sosial, ramai yang teruja untuk menikmati semula keseronokan menonton filem kegemaran di panggung wayang berhampiran.

Masakan tidak, keterujaan menonton filem di layar lebar lebih memberi kepuasan berbanding menonton di skrin televisyen atau telefon pintar.

Malah, sistem audio yang lebih memuaskan dan tempat duduk yang selesa menambahkan lagi 'mood' kepada penonton.

Menerusi perbualan melalui telefon bersama wakil panggung wayang semalam mendapati mereka menerima sambutan baik daripada orang ramai berbanding pembukaan semula panggung wayang selepas fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Barangkali pengalaman berbeza yang dinikmati ketika berada di panggung wayang memberi kekuatan kepada penonton untuk mendapatkan tiket filem kegemaran mereka selain pengumuman suntikan vaksin yang bakal diterima seluruh rakyat Malaysia tidak lama lagi.

Bagaimanapun, dalam keterujaan dan kelonggaran yang diberikan pihak kerajaan, kita perlu sentiasa beringat bahawa wabak Covid-19 belum berakhir walaupun angka positif semakin menurun.

Masih terlalu awal untuk berseronok, sebaliknya kita perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi memutuskan rantaian Covid-19 dengan segera.

Sebelum menonton filem kegemaran di panggung wayang, sentiasalah mengingatkan diri supaya menjaga penjarakan fizikal dan mengikut garis panduan yang diberikan pihak panggung wayang supaya keselamatan diri terus terjaga.

Pastikan membuat imbasan kod MySejahtera setiap kali mengunjungi sesuatu tempat dan hanya keluar rumah jika keadaan kesihatan berada pada tahap sihat saja.

Pembelian secara dalam talian amatlah digalakkan dalam situasi sebegini bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Lagipun daripada perlu beratur panjang untuk ke kaunter pembelian, lebih baik beli secara dalam talian dengan pelbagai promosi yang disediakan pihak panggung wayang.

Selain itu, masa juga dapat dijimatkan apabila dapat menyusun waktu mengikut jadual pembelian filem yang dibeli secara dalam talian daripada perlu datang awal ke pusat beli-belah dan bertembung dengan ramai orang.

Dalam situasi sekarang, kita sudah perlu mengubah corak kehidupan supaya sentiasa dijauhi wabak berbahaya ini.

Bukan melarang untuk keluar rumah, tetapi perlu mengawal diri supaya jangan alpa sebaik kelonggaran demi kelonggaran yang diberikan kerajaan.

Dalam pada itu, kerajaan diharapkan terus dapat membantu pemilik panggung wayang yang sangat terkesan dengan penularan Covid-19.

Barangkali kerajaan boleh pertimbangkan cadangan yang dikemukakan pengusaha panggung wayang iaitu mengurangkan cukai hiburan kepada lima peratus berbanding 25 peratus yang dikenakan ketika ini.

Dalam situasi getir ini cukai hiburan yang tinggi memberi impak kepada pengusaha panggung wayang untuk bernafas dan meneruskan kelangsungan untuk tempoh akan datang.

Apatah lagi negara seperti Hong Kong, Korea Selatan dan Singapura sudah diberikan subsidi panggung wayang dan pengurangan cukai hiburan kepada industri filem yang terkesan pada ketika ini ekoran arahan penutupan operasi.

Terdahulu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memaklumkan aktiviti penggambaran serta tayangan filem di pawagam dibenarkan di seluruh negeri yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 5 Mac lalu.

Penulis, wartawan hiburan Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 7:00 AM