JURURAWAT mengeluarkan vaksin dari botol ketika sesi latihan vaksinasi Covid-19 di Seoul, Korea Selatan.
JURURAWAT mengeluarkan vaksin dari botol ketika sesi latihan vaksinasi Covid-19 di Seoul, Korea Selatan.
Syah Rul Aswari Abdullah

PADA 24 Februari lalu, Korea Selatan memulakan penghantaran 1.5 juta dos vaksin Covid-19 ke seluruh negara itu.

Ia membabitkan vaksin AstraZeneca buatan gergasi farmaseutikal Britian-Sweden.

Bagaimanapun, vaksin berkenaan dihasilkan di Andong, Korea Selatan menerusi perjanjian kerjasama di antara pengeluar ubat Korea Selatan, SK Bioscience Co dengan syarikat pengeluar vaksin itu di Eropah.

Dua hari selepas itu, pihak berkuasa memulakan program imunisasi Covid-19 secara besar-besaran dengan menyasarkan 750,000 orang dengan keutamaan kepada petugas kesihatan serta penghuni dan kakitangan rumah jagaan orang tua.

Selain itu, Korea Selatan sudah menandatangani perjanjian untuk mendapatkan vaksin jenis lain termasuk Pfizer, Moderna dan Janssen.

Namun bagi sesetengah pihak, negara itu dilihat agak terlewat dalam melaksanakan program pemvaksinan. Ia jika dibandingkan negara maju lain seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).

Malah, negara membangun seperti Malaysia dan Indonesia lebih ke hadapan dalam melaksanakan program seumpamanya.

Indonesia, umpamanya memulakan program pemvaksinan berskala besar pada 14 Januari lalu dengan menggunakan vaksin buatan China, Sinovac Biotech.

Perkembangan itu menimbulkan tanda tanya. Sedangkan, Korea Selatan antara negara contoh yang dapat mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan rakyatnya.

Jadi, persoalannya, mengapa Korea Selatan menunggu sehingga tempoh masa tertentu untuk memulakan program imunisasi untuk rakyatnya?

Berdasarkan liputan beberapa media asing, negara itu berbuat demikian kerana kerajaannya tidak mahu terburu-buru untuk melaksanakan pemvaksinan.

Pihak berkuasanya berpandangan situasi Covid-19 di negara itu masih terkawal dengan lebih 90,000 kes dengan lebih 1,600 kematian.

Sebagai perbandingan, kes positif Covid-19 di Malaysia (setakat kelmarin) adalah pada 307,943 dengan 1,153 kematian.

Perdana Menteri Korea Selatan Chung Sye-kyun pula mempertahankan langkah kerajaan yang memulakan program imunisasi agak lewat kerana ia memberikan masa untuk menilai keberkesanan vaksin Covid-19 di negara lain.

Ia juga mengambil kira beberapa varian baharu Covid-19 yang dikesan di beberapa negara pada akhir tahun lalu.

Selain itu, Pengerusi Institut Kajian Bio-Vaksin di Universiti Katolik Korea, Dr Kang Jin-han berkata, pihak berkuasa tidak terburu-buru untuk memulakan program imunisasi Covid-19 di negara itu.

Menurutnya, ia mengambil kira jumlah kes di negara itu yang jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan UK dan AS.

"Fokus diberikan kepada keselamatan berbanding pelaksanaan yang cepat (program pemvaksinan)," katanya seperti dilaporkan menerusi ABC News.

Hakikatnya, setiap negara mempunyai strategi tersendiri untuk melenyapkan virus ini. Tidak terkecuali, Korea Selatan.

Apa yang pasti, ia menyasarkan untuk mewujudkan imuniti kelompok menjelang musim luruh, meskipun agak lewat dalam memulakan program pemvaksinan.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 6:30 AM