HANYA di satu negara iaitu di Tunisia demokrasi dapat dilahirkan namun ia turut berdepan 1,001 kesulitan untuk berfungsi.
HANYA di satu negara iaitu di Tunisia demokrasi dapat dilahirkan namun ia turut berdepan 1,001 kesulitan untuk berfungsi.
Nadir Al-Nuri

SEPULUH tahun lalu, dunia dikejutkan dengan peristiwa yang sangat jarang berlaku di rantau Arab iaitu kebangkitan rakyat menentang pemerintah dalam lakaran sejarah yang disebut sebagai Arab Spring.

Hakikatnya, penduduk di negara Arab sudah berdekad hidup dalam kawalan penguasa dan jarang sekali suara mereka kedengaran, khususnya dalam membangkang dan membantah polisi serta cara hidup yang dirangka kerajaan.

Masih ingat beberapa tahun berada di Syria sebelum kebangkitan di sana 'masak', penduduk selalu menyatakan kesyukuran mereka hidup dalam keadaan baik walaupun berada di bawah diktator Bashar Al-Assad yang mewarisi kepemimpinan kuku besi ayahnya, Hafez Al-Assad.

Mereka tidak lupa berkaitan hidup yang diadun ketakutan terhadap pengintip kerajaan, mereka tidak lupa berkaitan penangkapan sulit dan penyeksaan seteru politik pemerintah, mereka tidak lupa pembunuhan besar-besaran 1982 di Hama, tetapi peribahasa Melayu merangkumi kezaliman yang mereka hadapi sekian lama - alah bisa, tegal biasa.

Tindakan pemuda Tunisia, Mohamed Bouazizi yang membakar dirinya apabila perniagaan kecilnya diganggu polis menjadi bukti faktor ekonomi adalah punca utama meledaknya kebangkitan di Tunisia sebelum merebak ke Mesir, Libya, Syria, Yaman dan negara lain.

Negara yang kaya dengan sumber asli yang melimpah-ruah tidak dapat menjaga kebajikan marhaen yang dibelenggu kemiskinan, buta huruf dan agihan kekayaan yang tidak adil.

Jurang perbezaan ekonomi antara mereka yang berada di puncak kuasa dan rakyat di tangga terbawah sangat besar.

Faktor politik juga memainkan peranan penting apabila negara terbabit diperintah secara diktator di mana kronisme dan nepotisme berleluasa.

Takhta menjadi milik keluarga turun-temurun dan cubaan rakyat bersuara dan menuntut keadilan melalui demokrasi dipatahkan dengan penangkapan dan penculikan tanpa ada pendakwaan atau perbicaraan.

Rakyat takut dan kecut, pemerintah bebas melakukan apa saja tanpa ada akauntabiliti dan pemantau yang meletakkan had dan garis betul dan salah.

Badan legislatif, eksekutif dan kehakiman bercampur aduk menjadi rojak yang tidak dapat dibezakan.

Jika ada yang mahu mencari kebaikan di sebalik kegagalan kebangkitan gerakan rakyat ini, maka ia sekurang-kurangnya memberikan harapan baharu kepada rakyat apabila tembok kukuh yang dibina kerajaan dijatuhkan dan bayangan bahawa penguasa adalah kebal dan maha berkuasa menjadi falasi.

Perubahan di 'ibu dunia' Mesir misalnya yang sentiasa menjadi fokus utama perkembangan pemikiran di Asia Barat serta menjadi ikutan negara Arab lain meletakkan mercu tanda baharu dalam lipatan sejarah, walaupun akhirnya diktator berganti diktator dan pemerintah pilihan rakyat ditumbangkan oleh sistem lama dalam tempoh hanya setahun memerintah.

Di negara lain seperti Syria dan Yaman, hakikat yang jauh lebih pahit perlu ditelan apabila perang saudara dan perang proksi berlanjutan sehingga kini dan tidak menunjukkan tanda akan berakhir.

Selepas 10 tahun bukti di alam nyata menunjukkan bahawa Arab Spring gagal.

Hanya di satu negara iaitu di Tunisia demokrasi dapat dilahirkan namun ia turut berdepan 1,001 kesulitan untuk berfungsi.

Genggaman Amerika Syarikat ke atas rantau itu semakin perkasa dan capaian Israel semakin luas dan bergaya.

Negara Arab yang dulu malu-malu memeluk musuh sudah belajar bahawa demi kepentingan dunia, Amerika dan Israel perlu dijadikan kawan setia!

Apa pun kuasa besar dunia sudah menunjukkan wajah mereka yang sebenar apabila cubaan rakyat di negara Arab mendokong demokrasi tidak disokong, malah musuh keadilan dan kesamarataan dijunjung asalkan mendokong aspirasi dan cita-cita mereka.

Bodohnya mereka yang beranggapan bahawa Barat mendokong demokrasi dan akan bersama membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada dunia Islam.

Arab Spring sudah sampai ke penghujungnya dan natijah yang dapat dilihat ialah musim sejuk yang panjang dan kelam untuk dunia Islam sudah bermula semula.

Apakah akan ada pemuda lain yang terpaksa membakar diri untuk memastikan salji tebal yang meliputi sekali lagi dapat dicairkan dan kemarahan rakyat boleh menggegarkan semula kebobrokan pemerintah dan ketamakan penguasa? Hanya masa yang akan menentukan.

Penulis adalah rakyat Malaysia tunggal menetap di Palestin. Beliau boleh dihubungi melalui WhatsApp +60135132140 untuk pertanyaan dan kerjasama. Salurkan sumbangan ke Tabung Kecemasan Covid-19 melalui akaun Persatuan Cinta Gaza Malaysia Maybank 564810507826.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 6:33 AM