GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Noor Mohamad Shakil Hameed

SETUJU atau tidak kita perlu akui kenyataan betapa pada hari ini nilai dan amalan kejujuran dalam kalangan anggota masyarakat kita cukup serius.

Semakin ramai yang mementingkan diri dan sanggup melakukan pelbagai helah, penipuan dan penyelewengan asalkan dapat menikmati apa yang dihajati.

Ini menunjukkan semakin maju ke hadapan, amalan nilai-nilai murni seperti kejujuran, amanah, integriti, keikhlasan dan tanggungjawab semakin merudum.

Apakah ini wajah dan ciri rakyat yang mahu kita banggakan?

Sebagai contoh, amalan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa terutamanya membabitkan kelompok penguat kuasa yang diberikan amanah dan tanggungjawab untuk mencegah dan membanteras pelbagai salah laku dan jenayah serta melindungi rakyat dan negara dilihat semakin membimbangkan.

Jika ini berterusan, siapa lagi rakyat boleh harapkan? Di mana hilangnya nilai kejujuran dan integriti yang patut menjadi perisai mereka?

Baru-baru ini, kita dikejutkan pula dengan pendedahan penglibatan segelintir ahli akademik termasuk yang bergelar profesor dalam jurnal palsu atau lebih dikenali sebagai jurnal pemangsa.

Ini jelas sekali membabitkan isu kejujuran ilmu dan akademik, sekali gus mempersoalkan amalan nilai etika serta kualiti peribadi seorang ahli akademik.

Bayangkan, jika keadaan ini berleluasa, apa nasib dan kualiti pelajar yang mereka hasilkan kelak? Ironinya, di mana hilangnya nilai kejujuran dan integriti akademik yang sepatutnya menjadi perisai kebanggaan mereka?

Dalam pada itu, satu lagi isu yang menggemparkan masyarakat baru-baru ini ialah pendedahan Sugarbook bahawa semakin ramai wanita di negara ini terutamanya penuntut universiti menawarkan diri sebagai sugar baby di laman web temu janji berkenaan.

Walaupun ramai yang pertikai statistik data yang didedahkan namun hakikatnya kita tidak boleh terus berada dalam dunia penafian.

Pembabitan wanita tempatan terutamanya golongan muda dalam aktiviti sugar baby ini bukanlah perkara baharu.

Umum tahu ia sudah lama bertapak di negara kita dan kemudahan pelbagai teknologi terkini pula merancakkan lagi aktiviti tidak bermoral seperti ini.

Persoalannya, walau apapun alasan golongan wanita ini, di mana nilai dan amalan kejujuran pada diri dan keluarga mereka?

Kenapa mereka begitu mudah lupa ia satu bentuk jerat kemewahan palsu bersifat sementara yang akhirnya akan merosakkan masa depan mereka serta mengaibkan diri dan keluarga.

Banyak lagi siri insiden yang berlaku dalam negara kita mutakhir ini yang cukup membimbangkan kita.

Tuntasnya, tidak keterlaluan untuk dikatakan anggota masyarakat semakin menyimpang jauh dari amalan nilai-nilai murni yang menjadi sumber kekuatan selama ini terutamanya sebagai masyarakat timur.

Justeru, pada ketika mengejar kemajuan dan kemewahan, jangan sesekali melupakan amalan nilai murni seperti kejujuran dan integriti yang sewajarnya bergerak seiring supaya akhirnya kita mencapai kesempurnaan hidup yang lebih nyata, berkat dan bahagia.

Pada hakikatnya, nilai kejujuran dan integriti adalah membabitkan sikap seseorang individu yang kebiasaannya dibentuk dan diasuh sejak dari kecil lagi.

Maka, jika kita mahu melahirkan generasi yang akan terus berpaksikan kepada nilai-nilai murni yang positif dan terpuji, ia perlu dimulakan dari rumah masing-masing.

Mahu tidak mahu, ibu bapa dan penjaga perlu memikul tanggungjawab untuk menerapkan segala amalan nilai murni dalam diri anak-anak bertepatan dengan pepatah, melentur buluh biar dari rebungnya.

Harus diingat sikap tidak boleh diubah oleh orang lain apatah lagi pada peringkat nasi sudah menjadi bubur.

Sebelum anak-anak kita terus hanyut menjelang usianya meningkat dewasa, pastikan kita bekalkan mereka dengan ilmu agama dan nilai murni yang boleh menjadi benteng dan perisai dalam kehidupan seharian di sepanjang hayat mereka.

Sistem pendidikan negara juga perlu menilai semula di mana silapnya apabila semakin ramai rakyat kita mudah hilang pertimbangan sehingga menggadaikan prinsip dan maruah diri atau sedang berhadapan dengan sindrom defisit kejujuran dan integriti.

Kenapa sistem yang ada masih tidak mampu untuk melahirkan rakyat yang boleh berpegang teguh kepada integriti dan kejujuran yang tinggi?

Ironinya, kita melihat daya tahan dan jati diri rakyat semakin lemah sehingga tidak mampu menepis godaan yang datang. Misalnya, masih ramai yang begitu mudah menerima rasuah tanpa rasa bersalah.

Bukankah mereka yang ditawarkan rasuah ini perlu berani menolak dan mengatakan tidak kepada rasuah serta tampil membuat aduan kepada pihak berkuasa supaya dapat membantu membanteras amalan rasuah.

Tapi, malangnya ini tidak berlaku, sebaliknya semakin ramai pula yang hanyut dengan rasuah.

Anggota masyarakat perlu sedar, segala kemajuan dan pembangunan yang dikecapi pada hari ini akan menjadi sia-sia jika rakyat tidak mampu mengamalkan nilai-nilai murni yang sepatutnya.

Secara prinsipnya, kita tidak mahu nilai kejujuran dan integriti menjadi mangsa pengorbanan atau kos yang perlu kita bayar untuk menikmati kemajuan yang dihasratkan.

Pada dasarnya, tidak boleh ada sebarang kompromi dalam soal amalan nilai murni seperti kejujuran dan integriti dalam soal kehidupan seharian kita.

Justeru, masyarakat perlu segera membina semula daya tahan dan semangat jati diri yang mampu menonjolkan sikap dan tingkah laku yang terpuji.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 6:30 AM