MEREKA adalah penyampaian radio.
MEREKA adalah penyampaian radio.
Sudirman Mohd Tahir


BULAN ini saja dua penyampai radio 'dihukum' atas keterlanjuran yang dibuat sehingga mencetuskan amarah dalam kalangan netizen yang menyaksikan kedua-duanya hilang pekerjaan.

Pelawak Shuk Sahar ditamatkan kontrak sebagai penyampai radio Hot FM pada 18 Februari lalu susulan kontroversi membabitkan dirinya yang didakwa menjalin hubungan dengan seorang wanita menerusi pendedahan yang dibuat isterinya sendiri.

Sebelumnya, Shuk digantung perkhidmatan sementara pada 24 Januari lalu bagi membolehkan pihak pengurusan menjalankan siasatan dalaman.

Kemudian, penyampai radio Hitz FM Sarawak, DJ Yusuf pula mengambil keputusan meletakkan jawatan berkuat kuasa kelmarin selepas digantung perkhidmatan pada 19 Februari lalu.

Ia berikutan tindakan Yusuf mempersenda penggunaan bahasa Inggeris seorang guru wanita dengan memuat naik video di aplikasi TikTok yang memaparkan dirinya ketawa terbahak-bahak.

Kelakuan Yusuf itu membuatkan netizen bersuara dan meminta pihak pengurusan mengambil tindakan sewajarnya kerana dianggap biadab dan keterlaluan.

Tidak dilupa juga kes membabitkan pelawak Ammar Titan apabila didakwa menghina bapa bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek pada 2017 sehingga dia digantung tugas sebagai penyampai radio Hot FM.

Tindakan Ammar itu membawa kepada laporan polis yang dibuat atlet kebangsaan itu kerana dianggap satu penghinaan buat seluruh keluarganya.

Apa yang terjadi biarlah menjadi pengajaran terbaik dalam diri mereka supaya lebih berwaspada dalam setiap tindakan, sikap, perbuatan mahu pun percakapan.

Apatah lagi pada era media sosial, komen dan status dimuat naik juga harus diperhatikan.

Kata pepatah ada menyebut, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Namun, masih ramai alpa dan leka kerana memikirkan masih tidak ada tindakan yang dikenakan.

Namun, apabila sudah terkena, nasi sudah menjadi bubur. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Sebenarnya, hukuman yang dikenakan kepada contoh kes yang dinyatakan seharusnya dihadam semua penggiat seni tempatan. Baik pengacara, pelakon, penyanyi, penyampai radio mahupun personaliti TV.

Apa yang cuba ditegaskan di sini adalah sudah sampai waktu pihak stesen TV atau mana-mana pihak berkenaan yang menggunakan perkhidmatan selebriti sebagai talent mereka mengetatkan syarat dalam kontrak kerja mereka.

Malah, dalam penerbitan drama sekali pun, pihak stesen TV perlu bertindak lebih tegas. Sepatutnya, dari dahulu lagi perlu mengetatkan pemilihan pelakon dengan mengambil hanya mereka yang betul-betul bersih daripada kontroversi.

Ini tidak, masih ramai pelakon yang bermasalah bukan saja dari segi sikap, disiplin selain kontroversi yang ditimbulkan, masih 'bebas' dan membintangi drama tempatan.

Jangan kerana mereka popular dan memiliki rupa paras menarik segalanya kembali 'suci' dan diampunkan. Sedangkan apa 'dihidangkan' itu membabitkan salah laku moral. Tapi, orang bertanggungjawab memandang serius perkara ini seakan dibutakan mata dan dipekakkan telinga dengan apa yang berlaku.

Mata mereka celik dan telinga mereka peka pendengaran hanya pada perkara yang disogokkan seperti memiliki jutaan pengikut di Instagram.

Dengan alasan, jika pelakon yang membuat kontroversi itu tidak berlakon dalam drama mereka, maka drama itu tidak akan mendapat rating yang baik.

Dalam masa sama, kehendak 'nafsu' peminat yang rata-rata adalah wanita terus membela artis kesayangan mereka.

Buatlah kontroversi apa sekali pun, jika artis itu adalah lelaki, kacak dan ciri-ciri kekasih idaman, lupakan apa yang terjadi. Maka, bertepuk tanganlah dan selamatlah artis itu.

Ada juga suara dalam kalangan penggiat penerbitan menyifatkan jika tidak ada kontroversi industri hiburan akan sunyi.

Malah, ada yang bertuhankan nafsu dan bangga mahu mengambil artis yang mempunyai salah laku moral ini membintangi drama mereka.

Alasan, tidak mengapa, perlu diberi peluang. Lebih keji, ada yang memandang rupa paras selain untuk hidangan mata mereka.

Sedangkan, masih ramai pelakon yang lebih layak tidak diberi peluang. Tapi, mereka tewas hanya kerana jumlah pengikut yang sedikit.

Stesen TV dan orang penerbitan sampai terlupa mereka ini pernah menang anugerah. Disebabkan otak mereka sudah diracuni dengan industri perlukan mereka yang ada rupa paras dan kontroversi panas, maka anak seni yang berjuang atas nama bakat akan terus dilupakan.

Jika ada pun nama mereka dicadangkan ke pihak stesen TV, jangan terlalu cepat meletakkan harapan kerana belum tentu diluluskan. Simpan dulu cita-cita mahu muncul di slot kegemaran ramai, kerana belum tentu mereka layak diangkat sebagai pelaris drama itu.

Jadi, jangan hairan jika wajah sama muncul di stesen TV yang sama. Selepas dia, dia, dia dan dia. Penonton dan peminat juga jangan marah atau persoalkan kenapa asyik pelakon sama, sebab ia juga berpunca daripada anda.

Apapun isunya, apa saja berlaku perkara utama yang perlu diperbaharui dalam 'sistem' penerbitan hari ini adalah, jangan simpan mereka yang ada sikap favouritism dan pilih kasih kerana tidak akan berkesudahan sampai bila-bila.

Sudah sampai masa juga, stesen TV lebih telus dalam memberikan kontrak atau tawaran penerbitan drama kepada pihak produksi.

Sudah-sudahlah orang sama juga muncul di stesen TV sama. Ada banyak lagi produksi drama menanti peluang untuk berkarya tapi tidak diberi peluang.

Jadi, jika inginkan industri kita maju dan terus dipandang secara terhormat, berubahlah. Bukan terus bermain dengan sentimen sama dan mementingkan nafsu semata-mata.

Jangan sampai bayi yang baharu lahir hari ini akan terus melihat wajah sama di kaca TV.

Penulis Wartawan Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 6:31 AM