KOMUNIKASI Islam berasaskan nilai keagamaan yang bersumberkan al-Quran dan hadis. FOTO Arkib NSTP
KOMUNIKASI Islam berasaskan nilai keagamaan yang bersumberkan al-Quran dan hadis. FOTO Arkib NSTP
Mejar (B) Ramli Abdul Rahim

Sejarah dakwah dan pengkaderannya bermula sejak zaman Rasulullah SAW dan Islam masuk ke China. Ia beriringan dengan gelombang hijrah sahabat ke Habsyah (Ethopia) yang kemudian mendapat perlindungan daripada Raja Atsmaha Negus di Kota Axum perlu dimuhasabah kembali.

Selepas misi Habsyah, ada sejumlah sahabat yang tidak kembali ke Makkah, mereka kemudian berlayar dan tiba di China ketika Dinasti Sui berkuasa (581-618 Masihi) dan ada disebutkan sebenarnya Rasulullah SAW sendiri yang melepaskan beberapa sahabat untuk berdakwah ke China.

Sahabat yang diutus antara lain adalah Saad bin Abi Waqqas, Qais bin Abu Hudzafah, Urwah bin Abi 'Uttan dan Abu Qais bin al-Harits. Peristiwa ini terjadi sebelum Nabi SAW berhijrah ke Madinah dan Saad bin Abi Waqqas mengetuai kelompok pendakwah seramai 15 orang.

Delegasi dipimpin oleh Saad bin Abi Waqqas diterima baik oleh Kaisar Yung Wei dan atas perintahnya, dibangunkan sebuah masjid yang diberi nama Masjid Huaisheng atau Masjid Memorial di Kanton, Guang Zhou dan ia masjid pertama di China.

Susulan itu, ilmu tersebar dengan pendidikan dan peranan pendidik yang paling utama adalah menyampaikan ilmu pengetahuan agar dapat membina rohani, jasmani, emosi, intelektual dan sosialisasi masyarakat murid yang mendambakan diri kepada peningkatan ilmu yang seimbang.

Islam memang menitikberatkan ilmu pengetahuan dan meletakkan darjat yang tinggi kepada orang yang menyebarkan ilmu seperti dirakamkan oleh Allah SWT di dalam Surah al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud: "Allah meninggikan darjat orang yang beriman dan di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama beberapa darjat."

Ayat ini menunjukkan bahawa orang yang berilmu mempunyai darjat yang lebih tinggi di kaca mata Islam lebih-lebih lagi orang yang menyebarkan ilmu pengetahuan seperti pendidik sama ada di peringkat rendah ataupun di peringkat institusi pengajian tinggi.

Sebagai seorang pendidik yang diberkati Allah, mereka mestilah menjaga sahsiah selaras dengan kesucian dan keberkatan profesion ini yang membabitkan proses transformasi ilmu pengetahuan serta ia diterjemahkan dengan amal.

Secara umumnya, sarjana Islam menekankan bahawa pendidik perlu memainkan fungsi seorang guru dan mencapai martabat sebagai pendidik, penyampai yang benar, murabbi (pengasuh dan pendidik dengan kasih sayang), muaddib iaitu pembentuk adab dan akhlak serta mursyid (pembimbing ke arah kebaikan).

Komunikasi berasal dari perkataan Yunani iaitu communicare yang bermaksud menjadikan sesuatu itu milik bersama dan sebagai penyampai menyampaikan sesuatu mesej kepada pendengar, pendengar pula bertindak dengan memberi maklum balas yang sesuai.

Dalam menyampaikan ilmu, guru mempunyai peranan yang besar sebagaimana diungkapkan oleh Al-Imam Ibnu Athoillah al-Sakandary r.a: "Guru sejati bukanlah orang yang engkau dengar (ceramah) sebatas dari lisannya saja.

"Tetapi, dia adalah seorang yang menjadi tempatmu di dalam mengambil hikmah dan akhlak, lantas bukanlah dinamai guru sejati jika seseorang yang hanya membimbingmu sekadar makna daripada kata-kata, tetapi orang yang disebut guru sejati bagimu adalah orang yang isyaratnya mampu menyusup dalam sanubarimu.

"Dia bukan hanya seorang yang mengajakmu sampai ke pintu, tetapi yang disebut guru bagimu itu adalah orang yang menyingkap hijab antara dirimu dan diri-Nya; bukanlah gurumu, orang yang ucapannya membimbingmu, tetapi yang disebut guru bagimu adalah orang yang aura kearifannya dapat membuat jiwamu bangkit dan bersemangat.

"Gurumu yang sejati adalah yang membebaskanmu daripada penjara hawa nafsu, lalu memasukkan ke ruangan Allah SWT, lantas guru sejati bagimu adalah orang yang sentiasa menjernihkan cermin hatimu, sehingga cahaya Allah SWT dapat bersinar terang di dalam hatimu."

Komunikasi dakwah dalam Islam ialah proses bagaimana seseorang pendakwah berfungsi sebagai komunikator, berkongsi pengalaman dan maklumat dengan pendengar yang diseru yang diajak untuk kembali kepada Allah SWT.

Komunikasi Islam berasaskan nilai keagamaan yang bersumberkan al-Quran dan hadis. Oleh itu segala sesuatu yang berhubung dengan proses komunikasi, sama ada secara prinsip, kaedah, mesej, matlamat dan media hendaklah berasaskan panduan wahyu dan sunah Rasulullah SAW.

Komunikasi konvensional hanya menitikberatkan soal etika dalam penyiaran dan komunikasi luaran saja. Hukuman kepada pelanggaran etika bagi komunikasi konvensional berlaku di dunia saja sedangkan hukuman bagi pelanggaran terhadap etika komunikasi secara Islam berlaku hingga akhirat selagi ia tidak mendapat keampunan daripada Allah SWT.

Generasi muda perlukan bimbingan untuk terus melayari kehidupan berpaksikan kepada kehendak agama, meskipun, kaedah biasa seperti bimbingan melalui komunikasi bersemuka atau menghadiri kelas khusus di sekolah, institusi latihan dan masjid mungkin kurang berkesan.

Biasanya generasi muda yang menyertai kelas seumpama itu agak terhad dan mereka berasa tak selesa atau tidak berkesempatan untuk menghadirinya apatah lagi, situasi biasa orang muda tidak suka kepada sesuatu yang diadakan secara formal kerana sukar untuk memberi komitmen dan pengurusan masa.

Oleh itu, cara alternatif perlu disediakan untuk menjadi medan bagi remaja mendapatkan sesuatu yang bermanfaat untuk dijadikan panduan hidup dan umum mengetahui, landasan paling sesuai untuk berkomunikasi dan mendekati generasi muda di internet adalah di media sosial.

Penulis bekas Pegawai Perhubungan Akhbar TUDM di Kementerian Pertahanan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 7:20 AM