SALJI turun di ibu kota Syria, Damsyik, kelmarin. FOTO EPA
SALJI turun di ibu kota Syria, Damsyik, kelmarin. FOTO EPA
Nadir Al-Nuri

Antara tempat yang sangat dekat dengan saya ialah bumi Syria. Walaupun hanya sempat menuntut ilmu di Syria setahun setengah, ia cukup bermakna.

Barangkali kerana tujuan ke sana tahun 2011 hanya untuk menuntut ilmu menjadikan diri lebih fokus dan ikhlas, tidak terbeban dengan pemikiran bagaimana mahu menyuap makanan ke mulut anak-anak yang lapar atau melindungi tubuh mereka yang sejuk seperti di Gaza.

Ketika rakan berkongsi gambar Kota Dimashq yang masih megah berdiri atau bercerita berkaitan para syeikh kami di sana, hati akan menjadi sebak mengenangkan mereka kerana hati masih lembut, air mata mudah tumpah.

Syria adalah bumi yang sangat diberkati di mana roh keimanan dan penghayatan Islam seolah-olah membuatkan kita berasa bahawa bumi sedang membisikkan zikir ke telinga.

Selain menuntut ilmu, kami juga diajar untuk beruzlah dan menyucikan jiwa di tempat asing dan jauh daripada hiruk-pikuk dan perkumpulan pelajar lain. Antara tempat yang saya gemari untuk beruzlah ialah di Halab di utara Syria bersama seorang syeikh dipanggil Syeikh Abas.

Saya teringat suatu hari kami dibawa oleh Syeikh Abas untuk keluar menghadiri majlis bacaan doa di sebuah tempat. Memang begitu sifatnya, tatkala ada majlis atau keraian, beliau membawa kami bersama dua atau tiga anaknya untuk menemani.

Selesai majlis tuan rumah mula menghidangkan makanan. Hidangan demi hidangan dibentangkan sehingga kami terbeliak. Selepas diberi lampu hijau, kami mula menerjah. Sehinggalah saya mula menyedari kehadiran anak-anak kecil yang ramai di sekeliling khemah yang kami duduki.

Pakaian mereka lusuh, rambut mereka kusut masai dan mata mereka mencanak ke sana-sini memandang makanan yang terhidang di depan kami. Sebahagian mereka memberanikan diri mendekati, tetapi dihalau tuan rumah demi menghormati keselesaan kami.

Seorang anak itu memandang saya lalu berlalu dengan wajah sayu memandangkan saya tidak memberikan reaksi.

Ketika itu air mata mula bergenang. Saya mengangkat tangan menyeka air mata sebelum ada yang memerhati. Tetapi, air hangat terlalu deras turun dan enggan disekat.

Di dalam kepala, bagaimana saya sanggup bermusafir begitu jauh sehingga ke Halab untuk meneladani kehidupan zuhud Rasulullah SAW, beruzlah meninggalkan dunia, tetapi tingkah dan teladan yang kami bawa jauh melencong daripada akhlak Rasulullah SAW. Makan dan kenyang ketika ada yang lain memerhatikan dengan wajah lapar?

Sehingga kini, di Gaza, kisah itu menghantui saya setiap kali menjalankan projek kemanusiaan kemudian pulang ke rumah yang selesa dan serba mencukupi.

Kali terakhir berita berkaitan Syria sampai kepada kami ialah berita pemergian seorang pelajar Malaysia di sana yang meninggal dunia kira-kira sebulan lalu dan kisah ini juga tidak kurang hebatnya menjentik hati.

Pelajar itu, Ustazah Nurul Fahima Abdul Rahim, isteri kepada sahabat saya Ustaz Yaser Haji Yusoff.

Pelajar Malaysia yang tinggal di Syria hanya beliau dan isterinya. Ustazah Nurul Fahima meninggal dalam keadaan yang sangat dicemburui apabila rohnya ditarik di malam Jumaat ketika mengkhatamkan al-Quran lalu meninggal di pangkuan suami.

Ustazah Nurul Fahima memiliki sanad hafalan al-Quran di bumi Syam yang jarang dimiliki pelajar Malaysia, malah diberi amanah mengajar orang Arab di sana memperbetulkan bacaan mereka.

Dua anak beliau juga dipanggil Ilahi sebelumnya, juga di bumi Syam. Setelah meninggal jasadnya diiringi ribuan orang yang tidak pun mengenali beliau sebelum itu. Kemudian ia disemadikan di sisi 25 ribu jasad sahabat yang ada di bumi Syam.

Tidak cukup dengan itu, jenazah as-syahidah yang meninggal dunia dalam urusan menuntut ilmu ditutup pula dengan selembar kain dengan tulisan khat termaktub ayat al-Quran yang bermaksud 'masuklah ke dalam syurga dengan sejahtera dan aman.'

Tulisan itu adalah antara penulisan terakhir as-syahidah sendiri yang seolah-olah menghidu bau syurga sebelum pemergiannya!

Di sekeliling kita banyak cerita berkaitan orang lain yang boleh menghidupkan hati yang mati. Hidup ini bukan berkaitan kita saja, tentang bagaimana mengisi perut sendiri dan menggembirakan anak dan isteri sendiri.

Di dalam rezeki kita, ada hak orang lain yang dengannya akan menentukan bagaimana sebuah pengakhiran.

Penulis adalah rakyat Malaysia tunggal menetap di Palestin. Beliau boleh dihubungi melalui WhatsApp +60135132140 untuk pertanyaan dan kerjasama. Salurkan sumbangan ke Tabung Kecemasan Covid-19 melalui akaun Persatuan Cinta Gaza Malaysia Maybank 564810507826.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 7:20 AM