PETUGAS barisan hadapan KKM membuat persiapan sebelum melakukan saringan COVID-19.
PETUGAS barisan hadapan KKM membuat persiapan sebelum melakukan saringan COVID-19.
Noor Mohamed Shakil Hameed

PENANGAN wabak Covid-19 bukan saja memberi kesan kepada aspek kesihatan dan ekonomi, tetapi turut mencetuskan krisis sosial yang serius dalam kalangan anggota masyarakat.

Ini dapat dilihat apabila rakyat semakin bergelut untuk meneruskan kelangsungan kehidupan terutamanya dalam konteks bagaimana mengurus dan mengawal diri serta keluarga ketika mengharungi serangan pandemik ini.

Antara masalah sosial yang menghantui kita sepanjang wabak ini ialah, jumlah gelandangan terus meningkat di samping berlakunya pelbagai masalah rumah tangga dan keluarga seperti perceraian, keganasan serta jenayah seksual terutamanya sumbang mahram.

Rakyat yang tertekan dengan kesan wabak ini mula bertindak di luar kawalan serta mudah hilang pertimbangan. Ironinya, ramai yang hilang pekerjaan dan punca pendapatan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), misalnya jumlah pengangguran dilaporkan meningkat kepada 772,900 orang pada Disember tahun lalu.

Kesempitan kewangan dan desakan untuk menyediakan keperluan seisi keluarga menyebabkan ramai yang hilang arah tuju dan pedoman untuk meneruskan kelangsungan kehidupan.

Pada dasarnya, jumlah rakyat yang hilang pekerjaan dijangka terus bertambah, sekali gus meningkatkan jumlah gelandangan. Analogi yang mudah ialah, golongan ini diberhentikan kerja, tidak mampu membayar sewa rumah atau bilik, tiada tabung simpanan yang boleh digunakan serta turut sukar untuk menikmati sesuap nasi.

Maka apa lagi pilihan yang mereka ada selain menjadi gelandangan, mencari teduh di pelbagai lokasi awam seperti hentian bas, bawah jejantas, surau dan sebagainya sambil mengharapkan ihsan orang ramai untuk menghulurkan bantuan kewangan mahupun makanan.

Cukup sedih tatkala melihat keadaan ini, namun itulah hakikat yang sedang berlaku di negara kita. Wabak ini seolah-olah membunuh atau menghilangkan kehidupan mereka secara total.Apabila terlalu lama terperap di rumah ketika PKP, kes keganasan rumah tangga juga dilaporkan terus meningkat.

Tatkala kita berharap hubungan kekeluargaan akan lebih harmoni dan kukuh bila sentiasa berada di rumah, kita dikejutkan dengan fakta yang sebaliknya.

Misalnya, pada penghujung tahun lalu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerima 1,929 aduan berkaitan kes keganasan rumah tangga sejak PKP mula dilaksanakan pada 18 Mac tahun lalu. Hakikatnya, kita boleh menjangkakan statistik ini akan terus meningkat kerana kehidupan rakyat semakin meruncing. Apa yang lebih menyedihkan ialah, jenayah seksual kanak-kanak seperti sumbang mahram juga dilaporkan terus meningkat sepanjang PKP.

Di samping itu, hilang punca pendapatan, menganggur dan tekanan ketika PKP turut dilaporkan menjadi punca peningkatan kadar perceraian di negara kita ketika musim Covid-19. Misalnya, data ketika PKP bermula Mac hingga Oktober tahun lalu menunjukkan Johor saja mencatatkan 2,625 kes perceraian.

Jelas sekali kes seperti ini meranapkan institusi keluarga di negara kita.Oleh itu, secara prinsipnya krisis sosial mula menghantui masyarakat. Krisis ini dijangka berlarutan kerana belum ada sebarang petanda jelas bila kita dapat mengawal penularan wabak serta situasi ekonomi negara akan pulih seperti sedia kala.

Meskipun pihak kerajaan mula menyediakan pelbagai bantuan namun ia masih tidak mampu meleraikan pelbagai masalah sosial seperti perceraian dan jenayah seksual di rumah.

Justeru, bagi mengatasi masalah sosial yang sedang melanda, kita perlu menghulurkan bantuan dari aspek sokongan yang lain kepada individu dan keluarga yang terjejas. Misalnya, sokongan dari segi moral dan psikologi sangat penting pada waktu kritikal seperti ini bagi membantu mengurangkan tekanan mereka sekali gus membantu mengharungi detik sukar yang sedang dihadapi bersama keluarga.

Ironinya, masalah sosial ini banyak berlaku dalam kalangan keluarga atau individu yang berpendapatan rendah (B40) dan juga sederhana (M40) terutamanya yang bekerja sendiri.

Mereka ini hilang arah apabila secara mengejut diberhentikan kerja atau perniagaan terjejas dan ada yang terpaksa gulung tikar. Maka kita perlu kenal pasti golongan ini dan segera hulurkan sokongan moral sebelum keadaan menjadi semakin parah dan sukar dikawal.

Bantuan yang disediakan selama ini seperti dari pakar psikiatri, ahli psikologi, kaunselor, dan pekerja sosial di seluruh negara perlu dilipatgandakan kerana bimbang kesan wabak ini terlalu dahsyat, lebih meluas dan di luar jangkaan kita. Dalam konteks ini, pihak berkuasa disarankan bertindak lebih proaktif iaitu tidak tunggu mereka mencari dan meminta bantuan itu sebaliknya perlu mencari mereka mengikut data yang ada supaya dapat membantu ketika diperlukan dan sebelum semuanya terlambat.

Anggota masyarakat yang berada dalam situasi yang ketidaktentuan juga disarankan segera mendapatkan bantuan. Jangan biar emosi dan perasaan akibat tekanan mengganggu pemikiran dan mempengaruhi tingkah laku ketika krisis seperti ini.

Dapatkan bantuan dari pakar supaya boleh redakan tekanan dan menangani situasi dengan lebih tenang, rasional dan matang. Semoga kita dapat terus bertahan dengan semangat juang yang tinggi.

Harus diingat, tidak mungkin wabak ini akan lenyap begitu saja dalam tempoh masa terdekat dan tidak mungkin juga ekonomi akan terus pulih sepenuhnya dengan segera.

Justeru, hanya daya tahan yang tinggi serta mantra 'kita jaga kita' mampu membantu mengharungi segala dugaan ini dengan sabar dan tenang.

Penulis adalah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 5:59 AM