GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
ASP Dr Mohd Roslan Mohd Tahi

"Tayar bas berpusing pusing..pusing-pusing, hon bas berbunyi bunyi..bunyi, bunyi," bergema lagu rancangan kanak-kanak popular, Didi & Friends di televisyen.

Ibu serta bapa turut menyanyi sambil melayan telatah anak kecil melenggok-lenggok dan berjoget dengan bergaya.

Alhamdulillah, kesempurnaan dan kebahagian keluarga ini dinikmati bersama dalam sebuah rumah walaupun ia hanya rumah kos rendah, yang penting kebahagiaan terpancar pada raut wajah mereka.

Semua orang akan mengatakan mereka sayang keluarga masing-masing dan berusaha membentuk kehidupan sempurna bagi menjamin masa depan keluarga paling cemerlang, tetapi ramai kurang berjaya dalam menguruskannya disebabkan faktor semasa yang berlaku dan dihadapi.

Jika kita berjaya membentuk sebuah keluarga sempurna dengan kecemerlangan, maka bersyukur dan jika kita masih gagal atau samar-samar, maka berusaha ke arah kehidupan lebih cemerlang dan sempurna.

Personaliti dan hos televisyen serta penulis terkenal Amerika Syarikat, Dr Phil Mc Graw pernah mengulas mengenai usaha membina keluarga bahagia.

Katanya, usaha itu amat sukar disebabkan persekitaran dan penyerapan masalah sekeliling yang akan mengganggu putaran kehidupan ini.

Katanya, keluarga bahagia adalah tiang seri bagi kehidupan yang akan menyokong penuh struktur rumah itu, sekali gus menyaksikan segala bentuk ancaman luar dapat diserap serta dibiarkan berlalu dan ini akan membuatkan seseorang individu cemerlang dalam penugasan dan kehidupannya dek sokongan kuat di belakangnya.

Manakala, keluarga bermasalah menyebabkan satu fenomena tidak stabil dalam membentuk pengurusan hidup lebih sempurna.

Penulis percaya dalam kehidupan masa kini, keluarga adalah tulang belakang kepada penerusan kehidupan seharian.

Kerja tidak pernah habis, tetapi andai kita tidak menyempurnakan keluarga kita dengan baik, akan menjejaskan mutu kerja.

Keharmonian keluarga amat penting dan cara terbaik untuk membuatkan anak berada di rumah adalah mewujudkan suasana cukup selesa dan sempurna.

Banyak saat berharga dan indah dalam suasana berkeluarga, jadi jangan biarkan masa dan kesibukan pekerjaan harian merampas masa berharga itu daripada kehidupan kita.

Beri masa kepada anak untuk bersama dengan kesempurnaan hidup dan membentuk keluarga berjaya.

Sebagai ketua keluarga dan nakhoda kapal, tanya diri sendiri dalam usaha membentuk kesempurnaan keluarga.

Aktivis sosial terkenal, Klare Heston menyarankan beberapa perkara bagi megimbangi mutu kerja dan keluarga serta membahagikan masa antara dua elemen penting dalam kehidupan iaitu:

Menentukan nilai keutamaan anda (pilih yang mana perlu diberi keutamaan dulu)

Fikirkan yang baik-baik dan mendalam (berfikiran positif dengan mengambil kira keadaan semasa)

Mencuba mencari titik keseimbangan antara kedua-duanya (perlu ada keadilan pada kedua-dua situasi ini)

Menentukan tujuan dan pengurusan akan datang (membuat perancangan terbaik antara kedua-duanya)

Bersikap fleksibel dan pandai menyesuaikan diri (pandai menyesuaikan masa dan keadaan di dua keadaan berbeza)

Menguruskan masa dan perlu beri keutamaan kepada yang mana lebih penting

Menentukan batasan yang ada (ada panduan untuk menguruskannya dengan cara kita sendiri kerana perbezaan suasana dan tempat, maka panduan untuk semua keluarga adalah berbeza mengikut persekitaran dan keadaan keluarga itu sendiri)

Membuat perancangan dan komunikasi baik (membuat komunikasi baik antara kedua-duanya iaitu majikan dan keluarga)

Jangan membazir waktu (bila kita teperangkap dengan dua keadaan berbeza dan menguruskan masa antara kedua-duanya dengan betul, jangan ditambah dengan masa untuk pembaziran seperti melepak dengan kawan di kedai kopi dan lain-lain hal tidak berfaedah)

Keikhlasan diri (ikhlaskan diri untuk menguruskan kedua-duanya dengan adil)

Melepaskan rasa bersalah, jangan dibebani rasa bersalah yang ada kerana urusan seharian (tidak memikirkan anda telah melakukan kesalahan kerana mengabaikan apa yang tidak sepatutnya)

Pastikan ada masa rehat yang diluangkan bersama keluarga

Hindari orang negatif di sekeliling (amat mustahak kerana aura positif akan menyerap aura positif manakala aura negatif akan menyerap aura negatif).

Namun, daripada segi halangan pula, kos sara hidup, peningkatan jumlah isi rumah bekerja, kesibukan bekerja, perkembangan teknologi masa kini dengan masa terhad untuk keluarga menyebabkan ketidak seimbangan aliran bahagia bersama keluarga.

Apabila berdepan realiti terpaksa membuat pilihan antara kerja dan keluarga, akan berlaku tiga situasi berbeza pula iaitu ada individu memilih kerja berbanding keluarga, ada mengutamakan keluarga dan pilihan ideal adalah mementingkan kedua-duanya.

Hakikatnya, kehidupan masa kini ada kalanya amat sukar untuk mencapai kedua-duanya serentak. Bagi menjadikan keseimbangan ini berlaku, waktu bekerja dihabiskan antara lapan hingga 10 jam sehari dan selebihnya adalah milik keluarga.

Dari situ, baru keseimbangan berlaku dan rancang percutian sekurang-kurangnya sehari dalam sebulan untuk masa berkualiti bersama keluarga sambil hadkan masa bersama gajet masing-masing.

Harus diingat, wang bukan segala-galanya dalam hidup, sebaliknya kebahagiaan, kesihatan, ketenangan dan kasih sayang tidak boleh dibeli dengan wang.

Justeru, berpada-pada apabila mengabdikan diri kepada pekerjaan.

Cari titik keseimbangan antara kehidupan peribadi dan kehidupan berkerjaya.


Penulis adalah Ketua Polis Balai Nusa Bestari, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 6:00 AM