LANDASAN paling sesuai untuk berkomunikasi dan mendekati generasi muda di internet adalah di media sosial atau medsos.
LANDASAN paling sesuai untuk berkomunikasi dan mendekati generasi muda di internet adalah di media sosial atau medsos.
Mejar (B) Ramli Abdul Rahim

Sejarah dakwah dan pengkaderannya bermula sejak zaman Rasulullah SAW dan Islam masuk ke China seiring gelombang hijrah sahabat ke Habsyah (Ethopia) yang kemudian mendapat perlindungan daripada Raja Atsmaha Negus di Kota Axum perlu dimuhasabah kembali.

Selepas misi Habsyah, ada sahabat yang tidak kembali ke Makkah, mereka kemudian berlayar dan tiba di daratan China pada ketika Dinasti Sui berkuasa (581-618) dan ada disebutkan sebenarnya Rasulullah SAW sendiri yang melepaskan beberapa sahabat untuk berdakwah ke China.

Sahabat yang diutus antara lain adalah Sa'ad bin Abi Waqqas, Qais bin Abu Hudzafah, 'Urwah bin Abi 'Uttan dan Abu Qais bin al-Harits dan peristiwa ini berlaku sebelum Nabi SAW berhijrah ke Madinah dan Sa'ad bin Abi Waqqas mengetuai kelompok pendakwah 15 orang.

Delegasi yang dipimpin Sa'ad bin Abi Waqqas diterima baik oleh Kaisar Yung Wei daripada Dinasti Tang dan atas perintah Kaisar, dibangunkan sebuah masjid yang diberi nama Masjid Huaisheng atau Masjid Memorial di Kanton, Guangzhou dan ia adalah masjid pertama di benua China.

Ilmu tersebar dengan pendidikan dan peranan pendidik yang paling utama bagi menyampaikan ilmu pengetahuan supaya dapat membina rohani, jasmani, emosi, intelektual dan sosialisasi masyarakat murid yang mendambakan diri kepada peningkatan ilmu yang seimbang.

Islam menitikberatkan ilmu pengetahuan dan meletakkan darjat yang tinggi kepada orang yang menyebarkan ilmu seperti dirakamkan Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud: "Allah meninggikan darjat orang yang beriman dan di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama beberapa darjat."

Ayat ini menunjukkan bahawa orang yang berilmu mempunyai darjat lebih tinggi dari kaca mata Islam lebih-lebih lagi orang yang menyebarkan ilmu pengetahuan seperti pendidik sama ada di peringkat rendah ataupun di peringkat institusi pengajian tinggi.

Sebagai pendidik yang diberkati Allah, mereka mesti menjaga sahsiah selaras kesucian dan keberkatan profesion ini yang membabitkan proses transformasi ilmu dan ia diterjemahkan dengan amal.

Komunikasi berasal daripada perkataan Yunani iaitu communicare yang bermaksud menjadikan sesuatu itu milik bersama dan sebagai penyampai menyampaikan sesuatu mesej kepada pendengar dan pendengar pula bertindak dengan memberi maklum balas yang sesuai.

Komunikasi dakwah dalam Islam ialah proses bagaimana seseorang pendakwah berfungsi sebagai komunikator, berkongsi pengalaman dan maklumat dengan pendengar yang diseru yang diajak untuk kembali kepada Allah SWT.

Komunikasi Islam berasaskan nilai keagamaan yang bersumberkan al-Quran dan hadis, justeru segala sesuatu yang berhubung dengan proses komunikasi, sama ada secara prinsip, kaedah, mesej, matlamat dan media hendaklah berasaskan panduan wahyu dan sunah Rasulullah SAW. Komunikasi konvensional hanya menitikberatkan soal etika dalam penyiaran dan komunikasi luaran saja dan hukuman kepada pelanggaran etika bagi komunikasi konvensional berlaku di dunia saja, sedangkan hukuman bagi pelanggaran terhadap etika komunikasi secara Islam berlaku hingga akhirat selagi ia tidak mendapat keampunan daripada Allah SWT.

Generasi muda perlukan bimbingan untuk terus melayari kehidupan berpaksikan kepada kehendak agama, meskipun kaedah biasa seperti bimbingan melalui komunikasi bersemuka atau menghadiri kelas khusus di sekolah, institusi latihan dan masjid mungkin kurang berkesan.

Biasanya generasi muda yang menyertai kelas seumpama itu agak terhad dan mereka tidak selesa atau tidak berkesempatan untuk menghadirinya, apatah lagi situasi biasa orang muda tidak suka kepada sesuatu yang diadakan secara formal kerana sukar untuk memberi komitmen dan pengurusan masa.

Justeru, cara alternatif perlu disediakan untuk menjadi medan bagi remaja mendapatkan sesuatu yang bermanfaat untuk dijadikan panduan hidup dan umum mengetahui, landasan paling sesuai untuk berkomunikasi dan mendekati generasi muda di internet adalah di media sosial atau medsos.

Interaksi sosial menerusi WhatsApp sudah menghubungkan ahli komuniti di alam maya dengan lebih aktif dan kemudahan interaksi ini membantu penyebaran dakwah dengan lebih fleksibel kerana pendakwah boleh berkongsi maklumat secara langsung dan berinteraksi dengan khalayak sasaran dengan lebih interaktif.

Internet membolehkan mesej dakwah disampaikan dengan pantas, mudah dan fleksibel, walaupun dakwah menerusi medium ini tidak mudah seperti disangka kerana ia mempunyai cabarannya tersendiri seperti persaingan antara maklumat Islam dengan maklumat lain dalam persekitaran kebanjiran maklumat.

Senario kebanjiran maklumat Islam itu relevan dan memenuhi kehendak serta kepentingan khalayak sasaran yang boleh dimanfaatkan dalam membincangkan konsep komunikasi dakwah dalam interaksi menggunakan WhatsApp menerusi dua aspek asas iaitu menyuntik kesedaran Islam dan membentuk kesedaran beragama.

Semua interaksi menerusi medium ini yang membawa elemen kesedaran Islam dan membentuk kesedaran ini boleh diklasifikasikan sebagai WhatsApp dakwah, justeru pendakwah perlu membimbing interaksi ini bagi mencapai dua elemen supaya mampu membawa masyarakat kepada pembentukan dan nilai-nilai yang dituntut oleh agama.

Anjakan paradigma usaha dakwah secara maya membolehkan dakwah sampai kepada semua golongan di mana saja dan ia sesuai dengan hobi generasi muda yang lebih banyak menghabiskan masa di talian.

Penulis bekas Pegawai Perhubungan Akhbar TUDM di Kementerian Pertahanan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 7:20 AM