VAKSIN dihasilkan Pfizer-BioNTech antaranya membawa harapan kepada usaha membendung pandemik.
VAKSIN dihasilkan Pfizer-BioNTech antaranya membawa harapan kepada usaha membendung pandemik.
Syarifah Dayana Syed Bakri

Lagi beberapa minggu memasuki tahun 2021 namun kes Covid-19 masih belum reda.

Ini bermakna hampir setahun juga virus bernama Covid-19 ini hidup 'bermasyarakat' dengan penduduk dunia memandangkan kes pertama dikesan di Wuhan adalah pada Disember 2019.

Ketika itu, seluruh dunia paranoid dengan China. Banyak kecaman diterima China.

Jika 'China' itu adalah akaun media sosial milik individu, sudah pasti akaun itu sudah dinyah aktif kerana tidak tahan diasak pelbagai soalan dan kejian netizen.

Ketika artikel ini ditulis, Amerika Syarikat (AS) mencatatkan lebih 3,000 kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam.

Berdasarkan angka dikeluarkan Universiti Johns Hopkins, ia adalah jumlah harian tertinggi sejak April.

Pihak berkuasa AS memberi amaran bahawa lonjakan kematian mungkin berlaku selepas berjuta-juta orang melakukan perjalanan di seluruh negara untuk cuti Thanksgiving bulan lalu, mengabaikan permintaan supaya tinggal di rumah untuk memperlahankan penularan virus.

Kes jangkitan baharu juga melebihi angka 200,000 dalam tempoh 24 jam.

Selama dua minggu kebelakangan ini, AS beberapa kali mencatatkan kematian akibat Covid-19 melebihi 2,000 setiap hari.

Walaupun dunia masih bergelut dengan peningkatan kes baharu setiap hari, namun ada sinar yang menanti dengan kejayaan ujian klinikal vaksin dibangunkan beberapa syarikat farmaseutikal.

Vaksin dihasilkan Pfizer-BioNTech antaranya, mungkin membawa harapan kepada usaha membendung pandemik ini.

Britain menjadi negara terawal yang meluluskan penggunaan vaksin Pfizer/BioNTech dan telah memberikan suntikan kepada kumpulan pertama minggu lalu.

Individu pertama yang menerima vaskin berkenaan adalah wanita berusia 90 tahun manakala, individu kedua, lelaki berusia 80 tahun.

Berdasarkan laporan AFP, sebahagian besar penduduk Britain menyatakan persetujuan terhadap pemberian vaksin, tetapi menteri dan profesional kesihatan sedar bahawa mereka masih perlu memerangi ketidakpercayaan terhadap rawatan yang disediakan.

Namun, laporan ujian klinikal Pfizer-BioNTech yang dikeluarkan baru-baru ini mencetuskan kegelisahan orang awam.

Dalam laporan setebal 53 muka surat yang dikeluarkan Rabu lalu, enam individu meninggal dunia dalam fasa terakhir ujian klinikal.

Laporan yang didedahkan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) itu dibuat beberapa jam selepas Britain melaksanakan program imunisasi untuk Covid-19.

Namun, usah panik, usah gundah. Laporan itu menegaskan bahawa kadar kematian itu tidak membangkitkan isu keselamatan atau keberkesanan vaksin berkenaan memandangkan ia berlaku ke atas populasi umum pada kadar yang sama.

Selain itu, ia menunjukkan bahawa vaksin berkenaan mempunyai tahap keberkesanan 95 peratus, sekurang-kurangnya tujuh hari selepas individu menerima suntikan kedua.

Data juga menunjukkan bahawa vaksin itu berkesan pada tahap 52 peratus selepas dos pertama.

Tidak lama lagi, Malaysia juga akan mula menerima vaksin. Ketika ini, ada pihak giat menyebarkan pelbagai maklumat untuk memburukkan usaha pemberian vaksin.

Ada yang mendakwa kandungan vaksin itu meragukan, ada bahan haram, ada cip mikro.

Belum pun sampai vaksin itu di Malaysia, mereka sudah tahu apa kandungannya, hanya berdasarkan maklumat daripada sumber yang boleh diragui kebenarannya.

Sekiranya anda terbaca apa-apa maklumat sama ada menyokong atau memburukkan vaksin, bacalah dari awal hingga akhir coretan artikel itu.

Jangan baca tajuk saja dan jangan baca satu perenggan cuma.

Jika tidak faham istilah sains atau perubatan, rujuklah mereka yang ahli dalam bidang itu.

Kita serahkan pada yang pakar untuk membuat keputusan terbaik kerana dalam keadaan sekarang kita tidak mahu berdepan situasi seperti peribahasa sudah kalah baru berkubu.


Penulis adalah Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 6:00 AM