GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rudy Imran Shamsudin

Solehkah sampahkan karya filem?

Baru-baru ini Syamsul Yusuf menempelak seorang pengkritik filem bebas yang dikenali sebagai Zhafvlog di laman sosial kerana menganggap keterbukaannya dalam mengkritik karya filem tempatan keterlaluan dengan penggunaan bahasa agak kasar.

Pengarah yang cukup terkenal menerusi filem Khurafat itu juga turut mengkritik kembali kandungan kritikan dilakukan Zhafvlog dalam waktu sama mempertahankan karya yang pernah dihasilkan pengarah terdahulu dan rakan seperjuangannya yang menerima kritikan daripada pengkritik itu.

Ekoran tindakan itu, pengkritik filem terbabit menyekat Syamsul di laman sosial miliknya.

Kejadian membabitkan Syamsul dan pengkritik filem terbabit bukan baru, malah boleh dikatakan 'perang dingin' antara pembikin filem dan pengkritik filem tempatan sudah lama wujud.

Mamat Khalid turut pernah meluahkan perasaan kecewanya terhadap pengkritik filem yang sama apabila, Zhafvlog menyifatkan karya dihasilkan pengarah prolifik, Manap Karaoke ibarat sampah.

Sebelum ini, Pengerusi Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PPFM), Datuk Yusuf Haslam pernah menegur tindakan beberapa pengkritik filem sama ada penulis bebas mahupun wakil media konvensional agar tidak terlalu merendah-rendahkan karya seni yang dihasilkan dan menyifatkan penat lelah dan idea yang dicurahkan dalam sesebuah filem dihasilkan penggiat seni seperti sampah.

Pengkritik katanya lagi, seharusnya menghormati karya setiap penerbit dan pengarah memandangkan selera penonton pelbagai.

"Bukan saya hendak kata penerbit dan pengarah filem tempatan tidak boleh dikritik. Tapi sebaiknya biar ia dilakukan secara seimbang. Fikirkan juga berapa banyak modal sudah dikeluarkan penerbit dan juga kerja keras dan titik peluh yang diusahakan oleh penggiat yang terbabit dalam pembikinan sesebuah filem," katanya.

Beberapa penggiat filem juga sebelum ini turut meluahkan diskriminasi atau berat sebelah tidak seharusnya ada kepada pengkritik filem yang hanya menyifatkan karya dihasilkan pengarah yang mereka minati saja baik dan sempurna.

Sementara sesetengah pembikinan atau pengarah filem tidak punya hubungan rapat atau tidak diminati sering menerima ulasan yang kurang memberangsangkan dan karya mereka dikritik dilabel kurang berkualiti.

Tegas penggiat lagi, sebagai pengkritik karya seni, penulis harus bersikap bebas dan tidak menyebelahi mana-mana pihak dan andai mahu mengkritik biarlah disokong dengan fakta.

Dalam menyentuh soal kritikan karya seni (filem) ini sejauh mana sebenarnya seseorang pengkritik boleh mengkritik dan dari sudut apa dan bagaimana ia seharusnya dilakukan.

Secara etikanya bukankah pengkritik harus bersikap jujur. Kalau filem dihasilkan itu sudah tidak berkualiti takkan mahu dipuji dan dilambung. Kelak nanti pengkritik yang akan dikritik penonton yang terpanggil ke panggung gara-gara terpengaruh dengan kritikan diberikan.

Mengkritik karya seni tidak salah. Malah ada pengkarya yang mempunyai ilmu dalam bidang pembikinan filem memerlukan pengkritik kerana menganggap kritikan diberikan menjadi 'pengikat' agar pengkarya tidak lari daripada landasan dan sentiasa 'membumi'.

Namun atas dasar mahu bersikap jujur adakah seorang pengkritik itu boleh melabel dan menyifatkan sesebuah karya filem itu sebagai sampah?

Bagi mereka yang biasa membaca kritikan oleh sarjana dalam bidang perfileman biasanya kritikan akan menyentuh membabitkan nilai-nilai estetika yang ada dalam sesebuah filem, dari sudut teori dan teknikal dan juga sosiologi mahupun psikologi.

Jadi adakah ini bermakna mereka yang tidak mempunyai latar bidang perfileman tidak layak bercakap apatah lagi mengkritik sesebuah filem?

Dari sudut prinsipnya siapa saja boleh membicarakan mengenai sesebuah karya seni dalam apa juga bentuk, termasuk filem. Cuma bagi mereka yang tidak mempunyai pendidikan khusus dalam sesuatu bidang seni tidak akan mampu mengkritik secara terperinci namun diskripsi, interpretasi dan analisis boleh dijadikan panduan.

Pengkritik bagaimanapun perlu ada terutama dari sudut teori pembikinan filem. Sedikit kalau tidak banyak dan pandangan tidak boleh diberikan secara semberono mengikut kata hati tanpa mempertimbangkan apa yang pengkarya mahu sampaikan.

Penulisan kritikan dalam erti kata lain memberikan sumbangan dari sudut pandangan cuma apa yang perlu dilakukan penulis yang tidak mempunyai ilmu dalam bidang perfileman namun ada pendapat yang agak kritis mahu dinyatakan sebaiknya ia disertakan dengan perkataan pengimbang seperti contoh 'mungkin'.

Tujuannya apa yang dinyatakan itu apabila dibaca tidak kedengaran seperti kenyataan yang terlalu yakin dan betul. Cukup sekadar menyatakan yang kita mempunyai pandangan terhadap filem terbabit.

Elemen prinsip kesenian filem itu sendiri perlu dimasukkan di dalam kritikan seperti kaedah interpretasi karya atas apa yang difahami.

Begitupun perkara yang paling penting dan utama, sekiranya seorang pengkritik itu memang seorang peminat karya filem sejati dan mengikuti perkembangan industri perfileman tempatan dan menyaksikan semua hasil karya ditayangkan di pawagam pasti dia akan menghargai walaupun seburuk mana pun karya itu yang disangkakan.

Pengkritik perlu bersikap adil kepada karya yang dikritik mahupun kritikan dibuat. Mereka harus faham mengkritik itu berbeza dengan menjatuhkan hukum sesebuah karya itu baik atau tidak.

Lebih kejam sekiranya kritikan dibuat tidak seimbang dan dengan niat mempengaruhi penonton agar tidak menyaksikan sesebuah filem di pawagam adalah perkara paling tidak beretika bagi seorang pengkritik.

  Seperti yang dinyatakan Yusuf Haslam bahawa penggiat filem tempatan bukan tidak boleh menerima kritikan. Malah mereka menantikan kritikan dan pandangan pengkritik apabila filem mereka ditayangkan.

 

Penulis, Pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 8:00 AM