PENSTRIMAN muzik secara atas talian kini medium baharu untuk pendengar.
PENSTRIMAN muzik secara atas talian kini medium baharu untuk pendengar.
Mohd Zaini Othman

MENDENGAR lagu melalui kaset, cakera padat (CD) mahupun cakera padat video (VCD) kini mungkin dianggap sesuatu yang rare (janggal) pada generasi kini.

Mungkin sedikit masa lagi semua ini akan menjadi barang muzik antik seperti piring hitam yang dialunkan muziknya dari mesin fonograf.

Peredaran masa dan kecanggihan teknologi melenyapkan sedikit demi sedikit kaset, CD dan VCD sebagai barang yang dibeli orang ramai apabila ingin mendengar lagu daripada penyanyi pujaan mereka.

Penstriman muzik secara atas talian kini adalah medium baharu untuk pendengar 'melayan' pelbagai jenis lagu daripada pelbagai genre muzik dari dalam dan luar negara.

Perkhidmatan seperti Spotify, Pandora, Google Play Music, Apple Music, Amazon Music dan SoundCloud adalah antara platform penstriman muzik yang tidak asing lagi kepada masyarakat kerana pelbagai kelebihan yang ditawarkan perkhidmatan ini yang menepati cita rasa pendengar yang pelbagai.

Perubahan zaman tidak menjanjikan semua perkara akan turut berubah menjadi lebih baik, masih ada satu masalah sama yang masih kekal membelenggu industri muzik tempatan merentas zaman.

Cetak rompak, itu sumpahan yang terus menjadi api dalam sekam yang membunuh industri muzik tanah air.

Penulis masih ingat sekitar 2003, kerajaan mengisytiharkan perang besar-besaran terhadap cetak rompak.

Sarang cetak rompak digempur di seluruh negara oleh pihak berkuasa dan mereka yang terbabit dihadapkan ke muka pengadilan.

Pada satu ketika selepas itu, kerajaan mengambil langkah mengumumkan pula penetapan harga siling bagi penjualan CD dan VCD di pasaran untuk memastikan harga jualan yang lebih kompetetif kepada pengguna.

Sesuatu yang cetak rompak selalu 'menang' sejak dulu dalam menambat hati pembeli ialah harga jualan yang lebih murah dan mempunyai pelbagai variasi untuk dipilih.

Jika pada era 80-an, 90-an dan awal alaf baru dulu, cetak rompak yang membunuh dan menutup periuk nasi penggiat dan karyawan seni suara dilihat secara nyata melalui cetak rompak dalam bentuk kaset, CD dan VCD yang 'bersepah' di pasaran.

Kini, cetak rompak berevolusi dalam rupa digital untuk terus menjerut industri muzik kita bahkan seantero dunia.

Perlu diakui bahawa teknologi internet bukan setakat mewujudkan peluang yang banyak dan pelbagai kepada industri muzik untuk berkembang, tetapi pada masa sama turut mendatangkan cabaran dan masalah kepada industri muzik itu sendiri.

Penulis melihat perkhidmatan atas talian yang berkembang pesat membolehkan kegiatan menyalin muzik tanpa kebenaran menjadi semakin rancak dan ini satu ancaman besar kepada penggiat seni suara tanah air seperti artis, komposer mahupun penulis lirik.

Cetak rompak melalui internet menjadi amat mudah dan boleh dilakukan oleh sesiapa saja dan sudah semestinya semua kegiatan yang dilakukan tanpa kebenaran yang sah ini menatijahkan bahawa tiada satu sen pun masuk ke kocek artis atau syarikat rakaman terbabit.

Akhirnya industri muzik dan negara terus mengalami kerugian berbilion ringgit akibat musibah tidak berpenghujung ini.

Sedari bahawa industri muzik memainkan peranan penting dalam mencorak hidup artis, karyawan dan pemuzik kerana ini yang menjadi sumber pendapatan mereka.

Era new media (digital) membuatkan kita dapat lihat semakin kurang produk baharu berada di pasaran, sementelahan syarikat rakaman juga tidak lagi berani melabur besar untuk menerbitkan album.

Impak daripada pandemik Covid-19 juga menambahkan lagi kesuraman industri muzik tempatan dengan penggiat industri menjangkakan penyusutan kutipan royalti sehingga akhir 2021.

Pengkarya seperti komposer, penulis lirik dan penyanyi adalah kumpulan yang terkesan secara langsung dengan keadaan semasa ini.

Jika dilihat dari pandangan yang lebih besar, kesuraman industri muzik turut menyuramkan pendapatan negara.

Atas sebab itu dapat dilihat inisiatif kerajaan menyalurkan kemudahan kewangan RM225 juta bagi pelan pemulihan industri kreatif dan seni dalam Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek adalah bagi mengelakkan industri sudah sedia ada malap ini menjadi semakin kelam di kemudian hari.

Penulis meletakkan keyakinan bahawa industri muzik kita tidak akan mati jika karyawan seni kita terus menghasilkan lagu yang menarik, pemain industri radio tempatan dan media massa terus menyokong dengan memainkan pelbagai jenis muzik kepada masyarakat dan penggiat seni muzik juga perlu lebih serius, kreatif dan berani berinovasi dalam bidang ini untuk terus kekal relevan dan istimewa.

Industri muzik tanah air sudah ada suri teladan untuk dijadikan penanda aras iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza yang kekal bertahan kerana punyai kualiti tersendiri.

Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik Usim serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Pragmatis) Usim. Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 6:59 AM