GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Najiy Jefri


ANGKA 2020 memang cantik dan dinantikan semua orang. Malah, ramai yang sudah berangan-angan besar untuk menikmati kehidupan yang lebih moden dan makmur.

Jika diimbas kembali, sekitar tiga dasawarsa lalu iaitu pada 28 Februari 1991, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Perdana Menteri ke-4 ketika itu membentangkan satu kertas kerja bertajuk Malaysia Melangkah Ke Hadapan.

Kertas kerja itu mengandungi satu pemikiran dan rangka kerja mengenai matlamat Malaysia menjadi sebuah negara maju pada 2020 atau lebih dikenali sebagai Wawasan 2020.

Kemajuan yang dimaksudkan bukan terhad pada bidang ekonomi semata-mata, malah ia merangkumi segala aspek kehidupan dan pemikiran kita.

Bagaimanapun impian untuk menyaksikan Malaysia ke arah negara maju, bertamadun, beradab, beretika dan mengikut undang-undang diperuntukkan hanya tinggal kenangan dan ‘mimpi buruk’ apabila negara masih belum cukup ampuh untuk mencapai segala yang dicita-citakan.

Masakan tidak, jika dilihat daripada sudut industri seni hiburan paling jelas yang ingin ditekankan masalah dalam kalangan rakyat Malaysia yang terus melayari laman web yang menyediakan rakaman atau streaming secara haram, demi menikmati semua kandungan diinginkan tanpa had dan percuma.

Tidak dinafikan, kepesatan teknologi hari ini membolehkan kita menikmati segala bentuk hiburan daripada muzik, filem, buku, majalah, akhbar sehingga siaran televisyen secara digital dalam talian, namun tidakkah kita sedar pencerobohan itu akan meragut hasil karyawan yang bergantung hidup kepada jualan dan royalti produk dihasilkan.

Malah sama ada sedar atau tidak, realitinya cetak rompak digital dinikmati secara haram ini salah di sisi undang-undang kerana membabitkan perlanggaran isu hak cipta dan harta intelek pemilik karya.

Lebih memburukkan keadaan, ia memberi keuntungan kepada penyedia ‘laman web cetak rompak’ dengan menjana pendapatan hasil pungutan iklan berdasarkan jumlah pengunjung yang melayari halaman mereka.

Biarpun wujud penguatkuasaan undang-undang, cetak rompak digital tetap berleluasa apabila setiap hari laman web berkenaan dilawati ratusan juta kali. Barangkali penghasilan teknologi yang canggih memungkinkan aktiviti cetak rompak ini lebih berleluasa.

Menerusi laporan MUSO pada 2017 menunjukkan halaman cetak rompak cukup popular apabila lebih 300 bilion kunjungan dicatatkan, meningkat sebanyak 1.6 peratus berbanding 2016.

Berdasarkan data diperoleh MUSO, rancangan televisyen paling popular menjadi mangsa cetak rompak digital dengan 106.9 bilion kunjungan pada 2017, diikuti muzik (73.9 bilion) dan filem (53.2 bilion).

MUSO ialah syarikat teknologi global yang mengumpulkan data berbilion pelanggaran cetak rompak digital setiap hari meliputi 196 negara. Ia membantu syarikat hiburan dan pemilik harta intelek mendapatkan gambaran jelas mengenai situasi yang berlaku.

Statistik di Malaysia menunjukkan jumlah tontonan di lima laman web sah di Malaysia mencatatkan 21.9 juta tontonan, berbanding 71.4 juta tontonan di lima laman web haram.

Justeru isu cetak rompak daripada pelbagai platform ini harus segera dihentikan supaya ia tidak mengganggu gugat perniagaan yang dijalankan pihak penerbitan atau pengkarya seni tempatan memandangkan idea kreatif yang disalurkan kepada rakyat Malaysia adalah hasil kerja manusia yang mencari pendapatan setiap bulan.

Dan tidakkah kita sedar, menonton halaman cetak rompak ini, ia secara tidak langsung akan menggugat ekonomi hingga akan berlaku masalah pengangguran apabila tiada keuntungan diperoleh sesebuah syarikat atau individu itu.

Segala penat lelah yang diberikan dicuri dan melumpuhkan keinginan untuk mereka terus menghasilkan karya yang lebih baik untuk memberi hiburan kepada rakyat Malaysia khususnya.

Malah, segala perancangan untuk menghidangkan segala bentuk hiburan menerusi kaedah yang lebih terkini dan mudah akan turut terbantut akibat masalah yang melanda negara saban tahun.

Bayangkan sekiranya masalah cetak rompak ini terus berlaku, ia akan mengakibatkan penutupan beberapa medium hiburan akibat ‘bencana’ besar yang melanda negara ini. Sudah pasti idea kreatif anak tempatan tidak dapat diteruskan selain ramai rakyat Malaysia tiada pekerjaan kerana pengecilan yang terpaksa dibuat.

Malah baru-baru ini juga, penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa kecewanya apabila lagu terbaru berjudul 7 Nasihat didakwa dimuat naik beberapa individu secara haram di laman YouTube peribadi mereka.

Perkara itu pantas menarik perhatian Siti yang memuat naik entri di Instagram meminta perbuatan seumpama itu dihentikan kerana ia karya terbitan Siti Nurhaliza Productions (SNP) dengan kerjasama Universal Music Malaysia.

Jadi, kepada semua rakyat Malaysia dimohon untuk ambil tanggungjawab dan melihat isu ini secara serius supaya masalah cetak rompak dapat ditangani dengan baik. Jangan hanya menuding jari kepada kerajaan mahupun pihak penguasa kerana mereka akan sentiasa memantau dan mengambil isu ini secara serius seiring dengan perkembangan teknologi.

Namun kita tuding apa yang berlaku ini kepada diri kita sendiri yang masih enggan berubah dan mahu melihat negara mencapai sebuah negara maju dan moden.

Kita harapkan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 bagi membentuk suatu ekosistem ekonomi yang bernilai tinggi secara holistik untuk dikongsi bersama segenap lapisan masyarakat, akan turut menyaksikan penurunan yang amat ketara terhadap masalah cetak rompak yang melanda negara ini.


>>Penulis Wartawan Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 6:00 AM