SEPANG 29 JANUARI 2020. Kamera thermal bagi mengesan suhu badan di Pusat Pemantauan Saringan Suhu Badan bagi mengesan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) yang berfungsi 24 jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2). NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
SEPANG 29 JANUARI 2020. Kamera thermal bagi mengesan suhu badan di Pusat Pemantauan Saringan Suhu Badan bagi mengesan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) yang berfungsi 24 jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2). NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Syarifah Dayana Syed Bakri


SEJAK minggu lalu, kita semua diselubungi kebimbangan berikutan kemunculan wabak dikenali sebagai koronavirus baharu yang sehingga kini masih belum ada penawarnya.

Kita juga semakin skeptikal dengan warga China sehinggakan muncul pelbagai jenaka di media sosial mempersoalkan budaya, cara pemakanan sehinggakan cara mereka menjaga kebersihan diri turut diangkat sebagai topik ‘membawang’ warganet.

Setakat ini, sekitar 213 kematian dicatatkan dengan 9,929 mangsa jangkitan dilaporkan.

Malah, banyak negara sudah mula mengadakan sekatan perjalanan untuk warga China, termasuk Malaysia yang menggantung sementara semua kemudahan imigresen iaitu eNTRY (kemudahan tanpa visa), Visa Semasa Ketibaan, e-visa dan visa manual kepada rakyat China dari Wuhan, wilayah Hubei dan kelilingnya.

Namun, sekatan itu belum mampu mengubat kebimbangan kita kerana menurut laporan South China Morning Post, kira-kira lima juta penduduk dilapor sudah meninggalkan Wuhan sebelum kerajaan China mengumumkan tempoh berkurung akibat penyebaran koronavirus.

Bercakap dalam sidang media, Datuk Bandar Zhou Xianwang berkata, selepas pengumuman berkurung dilaksanakan, terdapat kira-kira sembilan juta orang masih berada di bandar itu.

Menurut laporan berkenaan, kerajaan China mengarahkan penutupan Wuhan dan beberapa bandar lagi sejak Khamis minggu lalu untuk mengekang virus berkenaan terus tersebar namun kebanyakan penduduk bandar sudah meninggalkan kediaman masing-masing sebelum arahan dikeluarkan.

Malah, ada yang tergesa-gesa meninggalkan kediaman mereka sejurus pengumuman dibuat.

Walaupun kita masih tidak pasti apa yang akan berlaku selepas ini, kita juga tidak seharusnya meletakkan emosi di hadapan akal.

Menyebarkan maklumat tidak tepat, mereka-reka teori tidak masuk akal, mempersoalkan kecekapan kakitangan kesihatan atau lebih memualkan menjual produk pseudosains.

Berdasarkan perkongsian di media sosial oleh doktor perubatan yang juga ahli Medical Mythbuster Malaysia (M3), Dr Amirul Amzar mendedahkan golongan antivaksin mencadangkan pengambilan vitamin C pada dos tinggi sehingga 4,000 miligram sehari setiap empat jam untuk merawat jangkitan koronavirus baharu.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan saintis terkemuka dari universiti di China dan Amerika Syarikat masih lagi garu kepala untuk mencari kaedah rawatan dan vaksin bersesuaian, golongan haluan kiri ini sudah ada ‘penawar’ sendiri.

Tanpa ujian klinikal dan tanpa tauliah, si antivaksin berani memberi nasihat perubatan kepada orang awam.

Teknik ‘konarvirus’ ini jauh lebih berbahaya daripada koronavirus. Menyeleweng fakta dan memutar belit maklumat juga membawa mudarat kerana ia boleh membawa maut.

Satu ketika dulu, Malaysia pernah berdepan wabak berbahaya seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), Virus Nipah dan Japanese Encephalitis (JE) namun bezanya berbanding wabak baharu ini adalah ia berlaku ketika zaman tiada media sosial dan hanya segelintir kecil saja yang tahu menggunakan enjin carian Google.

Ia bermakna, tidak ada golongan ‘perasan pandai’ yang berani mengeluarkam nasihat perubatan selepas membaca beberapa artikel di Internet.

Ketika itu, kita ikut saja saranan Kementerian Kesihatan Malaysia. Mereka lebih arif dalam bidang itu.

Jika kereta rosak kita hantar ke mekanik, kenapa bila tiba bab kesihatan kita percaya kata-kata si penjual produk?

Berdasarkan indeks Keselamatan Kesihatan Global, Malaysia berada di kedudukan ketiga di Asia dalam keupayaan menangani wabak, berada di belakang Thailand dan Korea.

Ia sudah cukup membuktikan kita mempunyai pasukan pakar kesihatan awam yang cekap.

Ikutlah nasihat doktor bertauliah dan jangan terpedaya ‘konar lipat’ mereka yang menangguk di air keruh.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Februari 2020 @ 10:41 AM