Pelakon Veteran, Roslan Saleh.
Pelakon Veteran, Roslan Saleh.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Keadaan kesihatan pelakon veteran, Roslan Saleh (Pak Lan) semakin hari semakin uzur. 

Perkara ini dimaklumkan oleh Ustaz Taufik, pemilik agensi umrah UT Travel & Tours yang menziarahinya tiga hari lalu. 

Menurutnya, pelakon terbabit tidak lagi boleh melihat sampai bila-bila kerana saraf matanya sudah pun dimatikan oleh Doktor.

"Tujuannya untuk menghilangkan rasa sakit dan pening kepala yang dirasai oleh Pak Lan bertahun-tahun lamanya akibat kencing manis yang kritikal. 

"Keadaannya yang berada di rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah Melaka sangat lemah untuk bergerak ke mana-mana. 

"Dia juga dipakaikan lampin setiap hari. Kakinya tak boleh bergerak langsung seperti biasa dan terpaksa didukung oleh anak bongsunya setiap kali ingin dibawa ke mana-mana.

"Berat badannya juga susut akibat selera makan yang tak menentu. Sama-sama kita doakan Pak Lan urusan sehariannya dipermudahkan dan dapat menjalani kehidupan seharian dengan penuh ketabahan dan kesabaran," katanya. 

Ustaz Taufik yang sering melawat Roslan memaklumkan, mereka yang ingin membantu meringankan beban Roslan, boleh berbuat demikian dengan menghubungi isteri atau anak-anaknya. 

Terdahulu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020, pelakon yang sering tampil menerusi filem terbitan Skop Productions ini menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual daging dendeng, sambal lado dan sambal hitam belimbing buluh dari rumah. 

Keadaannya yang kurang sihat sejak 2018 membuatkan dia tidak lagi aktif berlakon.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 9:30 AM