RAYSHA bersama kekasihnya, Nabil Jeffri. Foto dari Instagram Raysha Rizrose
RAYSHA bersama kekasihnya, Nabil Jeffri. Foto dari Instagram Raysha Rizrose
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon Raysha Rizrose, 26, pernah sekali mengalami 'putus cinta' dengan kekasihnya, Nabil Jeffri, 29, juga seorang pelumba kereta Formula 3 sepanjang 10 tahun percintaan mereka sejak dari sekolah menengah.

Raysha atau nama sebenarnya Farza Naquraisha Mohd Fariz ditemui berkata, mereka pernah putus hubungan selama empat bulan, sebelum akhirnya berbaik semula selepas Nabil berjaya memujuknya.

"Kami berkenalan dan bercinta sejak dari sekolah lagi. Saya pun tak sangka, cepatnya masa berlalu dan sekarang hubungan kami dah 10 tahun. Tak dinafikan juga, memang sudah ada perancangan ke arah perkahwinan.

"Tapi, semuanya bergantung kepada saya kerana dia (Nabil) sudah bersedia untuk kami melangkah ke fasa perkahwinan. Cuma, saya yang perlukan masa lagi dan tidak mahu terburu-buru membuat keputusan," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Raysha tampil pada acara pratonton RR Bridal RTW 22 oleh pereka fesyen tersohor,  Rizman dan Ruzaini yang sekali gus memperkenalkannya sebagai 'muse' untuk rekaan berkenaan yang nampak mewah, tapi harganya berpatutan.

Ditanya juga cabaran dilaluinya dalam mempertahankan hubungan dibina, Raysha berkata dia dan Nabil menjalani hubungan cinta jarak jauh (LDR) kerana tuntutan karier kekasihnya itu yang lebih banyak berada di luar negara sebagai pelumba kereta.

"Sepanjang tempoh 10 tahun ini, kami saling memahami tuntutan karier masing-masing. Malah, kalau ada masalah pun, kami segera berbincang dan selesaikannya. Tapi, tipulah kalau kami tak pernah bergaduh dan merajuk.

"Apapun, pada umur sekarang kami dah fikir ke arah perkahwinan. Maklumlah, umur setiap tahun meningkat dan buat masa ini, masih dalam perancangan lagi," katanya mengakui belum dirisik oleh buah hatinya itu.

Mengulas pula impian perkahwinannya, Raysha berkata sebagaimana wanita lain, dia juga mahu merasai proses merisik, bertunang dan seterusnya majlis perkahwinan. 

Apapun, katanya, dia menginginkan majlis yang sederhana dan tidak terlalu mewah, tapi meriah dengan dihadiri keluarga, saudara mara serta kenalan rapat bagi meraikannya bersama-sama.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 9:37 PM