Syafil Syazwan Jefri


Shah Alam: "Setengah perjalanan seni saya adalah bersama arwah," kata penyanyi dan juri tetap program Terpaling Juara, Datuk Hattan yang berkongsi kenangan dan kerinduannya kepada sahabat, Allahyarham Bob Lokman yang meninggal dunia, Jumaat lalu.

Hattan menerusi program itu yang disiarkan secara langsung di TV3 berkata, pemergian Bob adalah kehilangan besar buat industri seni tanah air.

"Pembabitan arwah terhadap karier seni saya sangat dalam. Dia pernah menguruskan kerjaya seni saya. Tak lama, setahun lebih saja. Tapi, kami sangat rapat dalam berkarya," katanya dalam nada sebak.

Hattan berkata, kebanyakan lirik lagu popularnya adalah hasil karya Bob.

"Satu kehilangan besar bukan saja buat saya, tetapi juga buat industri seni tanah air," katanya.

Antara lirik lagu popular Hattan yang ditulis Bob ialah Memburu Rindu, Rendang Tak Berbuah dan terakhir lagu berjudul 5 Oktober.

Bob meninggal dunia pada usia 58 tahun akibat komplikasi jantung di kediamannya di Kubang Kerian, Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 11:02 PM