Man Kidal ketika sidang media Konsert Rock On 40 The Legends di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
Man Kidal ketika sidang media Konsert Rock On 40 The Legends di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pemuzik legenda, Man Kidal, 58, memberitahu, dia masih lagi menerima bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) sejak Julai tahun lalu.

Menurutnya, bantuan yang diberikan sejak dia hilang punca pendapatan akibat jangkitan Covid-19 itu diteruskan sehingga akhir tahun ini.

"Zakat masih lagi disambung sehingga selesai penghujung tahun ini. Selain itu, pada ketika itu, ramai rakan-rakan serta peminat yang membantu.

"Rakan-rakan wartawan dari BH, Harian Metro pun ramai yang hubungi. Ada yang sumbangkan duit. Memang sangat dahsyat bantuan mereka," katanya.

Man yang sebelum ini diletakkan dalam kategori asnaf sementara turut meluahkan rasa terharunya atas bantuan yang disalurkan.

"Bukan sahaja peminat dari Malaysia, tetapi ada juga dari Singapura dan Brunei yang berikan sumbangan.

"Tapi, pada ketika itu, semua itu dah ada dalam fikiran saya sebab saya dah hilang semangat dan hanya fikirkan kematian.

"Bahkan, ada juga rakan-rakan dari hospital yang datang untuk memeriksa keadaan saya dan isteri sekali dalam seminggu. Memang saya rasa sangat terharu.

"Ini umpama kehidupan baharu buat saya dan saya rasa lebih 'fresh'," katanya.

Terdahulu, pada tahun lalu, Man dan isterinya dijangkiti Covid-19 varian Delta sekali gus menyebabkan dia sekeluarga hilang mata pencarian lebih-lebih lagi dalam situasi pandemik yang 'mematikan' industri seni tanah air buat sementara waktu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 3:22 PM