Rozita Che Wan
Rozita Che Wan
Najiy Jefri


Petaling Jaya: Walaupun sudah berhijab, pelakon Rozita Che Wan, 49, masih berasa dirinya tidak sempurna dan mahu menutup aurat dengan lebih baik.

Rozita atau mesra disapa Che Ta berkata, sebagai individu yang bekerja dalam dunia glamour, dia seboleh-bolehnya mahu mengejar saham akhirat memandangkan usianya semakin meningkat.

"Apabila sudah berusia ini, saya ingin menutup aurat dengan lebih baik. Ya, memang sekarang sudah tutup aurat tetapi belum lengkap.

"Kalau boleh saya nak pakai stoking tangan dan kaki kerana dua benda itu memang saya nak buat. Bila kita asyik kejar dunia, lambatlah nak sampai ke akhirat," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Wonder Suit by Jovian di Tropicana Golf & Country Resorts, di sini, semalam.

Menurut Che Ta, dia juga mengaku usianya kini sudah menghampiri separuh abad dan itulah realiti yang perlu diterima.

"Orang kata saya tua, ya saya memang sudah tua. Saya tiada masalah mengenai perkara itu kerana walaupun sudah berusia tetapi saya masih mampu untuk bekerja dan menguruskan banyak perkara.

"Berkedut itu memang ada dan pada saya golongan muda juga ada kedutan di wajah tetapi sehingga sekarang saya masih tiada uban," katanya.

Menurut Che Ta, dia bagaimanapun mengaku bimbang jika suatu hari nanti dia menjadi nyanyuk dan kini kerap mengamalkan membaca surah Yasin setiap kali selepas solat Subuh.

"Saya pilih untuk tua dalam keadaan sihat berbanding cantik tetapi sakit. Apa yang saya takutkan adalah menjadi nyanyuk tetapi Insya-Allah perkara itu boleh diatasi sekiranya kita mengamalkan bacaan surah Yasin setiap kali selepas solat Subuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 3:16 PM