Rain
Rain
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Penyanyi terkenal Korea Selatan, Rain bakal mengadakan persembahan sempena Betadia Night di Axiata Arena Bukit Jalil, di sini, pada 27 Ogos ini.

Rain, 40, atau nama sebenarnya, Jung Ji Hoon cukup dikenali sebagai seorang penyanyi, penari, pelakon dan pengacara pelbagai rancangan dijemput ke Malaysia untuk mengadakan persembahan.

Penampilannya yang terakhir di pentas konsert di Malaysia ialah lima tahun lalu.

Selain Rain, turut diundang dua penyanyi tempatan iaitu Andrew Tan dan Jess Lee.

Andrew adalah penyanyi Mandapop yang sudah lama menceburi bidang nyanyian sejak 2006 selepas memenangi pertandingan Astro Talent Quest di Malaysia dan TVB International Chinese New Talent Singing Championship di Hong Kong.

Pada 2010, Andrew mula menjadi perhatian selepas lagunya Tian Hou mula mendapat tempat di industri muzik Taiwan dan bermula di situ, dia terus mengembangkan bakatnya di bidang lakonan.

Jess Lee pula memulakan kariernya sebagai penyanyi selepas menjadi juara dalam pertandingan nyanyian televisyen popular One Million Star musim ketujuh dan berjaya mengumpulkan markah tertinggi dan memecah rekod pada pusingan akhir.

Kini, dia menetap di Taiwan bagi mengukuhkan lagi bakatnya.

Betadia Night adalah persembahan percuma yang membuka peluang kepada peminat menyertai peraduan untuk mendapatkan tiket dalam talian secara percuma.

Untuk mendapatkan tiket percuma bagi menyaksikan persembahan Rain, Andrew dan Jess Lee, peminat perlu mendaftar dalam talian.

Untuk maklumat lanjut dan cara mendaftar, ikuti laman Facebook Betadia Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 11:50 AM